Tanda-tanda kematian yang berlaku kepada Khulafa’ ar-Rasyidin

Tanda-tanda kematian yang berlaku kepada Khulafa’ ar-Rasyidin

Maut, mati dan ajal, semua orang ngeri mendengarnya. Ketika menyebut perkara ketentuan Yang Maha Esa ini, semua orang akan tertanya-tanya, bilakah hayat mereka akan tiba penghujungnya. “Destinasi terakhir” ini sememangnya tidak boleh dipilih kerana ia telah pun ditetapkan oleh sang Pencipta.

Yang pasti, dalam berlumba-lumba menyasarkan arah kemahuan, secara tiba-tiba “kad jemputan” dari-Nya diedarkan melalui perantaraan malaikat Izrail. Ketika itu, tiada apa yang dapat dilakukan selain “menghadiri” jemputan tersebut dengan iringan air mata serta setangkai doa daripada kenalan-kenalan yang disayangi.



Apakah itu maut ?

Menurut buku nukilan Abdul Hayyi Al-Farmawy, Persediaan Menghadapi Mati, maut bermaksud berpisahnya roh dengan badan. Roh inilah asal dan manusia yang sebenar. Badan atau tubuh yang zahir hanya alat yang digunakan roh untuk berbuat sesuatu sama ada taat atau maksiat sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Anbiya’: 35

“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai suatu fitnah (cubaan yang sebenar-benarnya), dan kepada Kamilah kamu akan dikembalikan”.

Para saintis barat mendefinisikan mati sebagai satu perkara yang tidak terdaya untuk melakukan apa sahaja, seperti makan, minum dan menguruskan kehidupan seharian. Hal ini kerana bagi mereka, mati yang sebenar adalah apabila keseluruhan sel-sel dalam badan sudah tidak boleh berfungsi lagi akibat perkara-perkara yang tertentu.



Bukan sahaja manusia biasa, malah para sahabat Rasulullah mempunyai tanda-tanda kematiannya yang tersendiri. Sahabat terapat Baginda, Abu Bakar As-Siddiq pernah menyatakan satu riwayat mengenai hampirnya saat kematian dengan semua makhluk tidak kiralah manusia dan haiwan. Riwayat itu adalah,

“Setiap orang akan bangun pada setiap pagi melainkan hampirnya ambang kematian, yang diibaratkan dengan sepasang selipar dengan selipar yang lain. Sentiasa ingatlah dengan kematian, persiapkan diri dengan taubat dan kembalilah kepada Allah dengan amalan yang soleh.”

Sebahagian para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. juga mempunyai tanda kematiannya tersendiri berdasarkan mimpi, kata-kata dan pesanan yang boleh dijadikan pendoman hidup. Antaranya:

Abu Bakar As-Siddiq r.a.



Sahabat yang paling rapat dengan Baginda saw. Beliau yang merupakan khalifah Islam pertama menemui ajalnya kerana sakit. Sewaktu kesakitannya makin tenat, dia bertanya kepada puterinya Aisyah r.’anha :

“Hari apakah ini, Aisyah?”

Aisyah menjawab, “Hari Isnin”

Beliau bertanya, “Pada hari apakah Rasulullulah wafat?”



Aisyah menjawab, “Baginda wafat pada hari Isnin,”

Mendengarkan jawapan itu, Abu Bakar pun berkata,

“Sesungguhnya ayahmu ini berharap semoga dapat mengadap Allah antara saat ini dan malam ini.”

Dalam kesakitan yang tidak berapa lama itu, Abu Bakar sempat mewasiatkan seorang hambanya yang berkulit hitam supaya berkhidmat kepada Umar. Di samping itu, hamba tersebut juga pandai membuat pedang untuk kegunaan di jalan Allah.



Sebelum meninggal, Abu Bakar meminta puterinya mengambil kembali apa-apa pemberian kepadanya agar dapat dijadikan memori ketika pemergiannya nanti.

Abu Bakar meninggal dunia pada malam Selasa, seperti apa yang diharapkannya. Jenazah beliau dikebumikan di samping makam Rasulullah s.a.w. di mana kepala beliau disemadikan sama tara dengan Rasulullah s.a.w., seperti yang diminta olehnya ketika pada penghujung hayatnya.

Umar Al-Khattab r.a.

Pemimpin khalifah Islamiyah kedua ini merasai kedatangan ajalnya melalui mimpi ketika sedang nyenyak beradu. Dalam mimpi tersebut, beliau telah dipatuk tiga kali oleh seekor ayam jantan. Sungguh pun aneh, Umar memandang mimpinya sebagai satu petanda yang hayatnya tidak lama lagi.



Sewaktu beliau mengimamkan sembahyang subuh, beliau ditikam oleh Abu Lukluah sebanyak tiga kali, sama situasi dan bilangannya seperti dipatuk ayam dalam mimpinya.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Saiyidina Umar meminta puteranya Abdullah pergi berjumpa Ummu Al-Mukminin Aisyah r.’anha agar memohon dapat disemadikan di samping kubur Saiyidina Abu Bakar sebagai tanda pernah menduduki takhta khalifah.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Umar juga turut sempat berpesan kepada pelantik khalifah untuk menggantinya.

“Barang siapa yang diangkat menjadi khalifah oleh mereka, maka dialah khalifah penggantiku yang sah. Dengarlah segala katanya dan taatilah segalah perintahnya !”

Uthman bin Affan r.a

Uthman bin Affan merupakan pengganti Umar sebagai khalifah Islam yang ketiga. Pernah diriwayatkan dalam sebuah cerita, Uthman mempunyai keistimewaannya yang tersendiri iaitu pernah mengkhatamkan kitab suci Al-Quran dalam solat witirnya di hadapan Kaabah. Beliau juga merupakan menantu Rasulullah s.a.w. serta pemurah orangnya.

Abdullah bin Umar pernah menceritakan bahawa ketika Uthman sedang tidur di awal dinihari Jumaat, beliau bermimpi bertemu Rasulullah dan mengajaknya untuk berbuka puasa di rumah Baginda.

Setelah menerima mimpi tersebut, beliau pun berpuasa dan memberitahu mimpi tersebut kepada orang ramai. Dan malang tidak berbau, apabila pada hari itulah juga beliau meninggal dunia akibat dibunuh oleh beberapa pemberontak angkara mempercayai fitnah kaum Yahudi. Ketika kejadian itu, beliau sedang khusyuk membaca Al-Quran.

Ali bin Abi Talib r.a.

Kanak-kanak pertama memeluk agama Islam. Semasa hayatnya, beliau begitu cerdas dan pintar melantunkan kata-kata hikmah yang mendalam. Beliau adalah sepupu Rasulullulah dan merupakan suami Siti Fatimah, puteri yang amat disayangi Baginda.

Sebagaimana khalifah-khalifah yang lain, Ali juga tidak terlepas daripada menjalankan tugasnya sebagai imam sembahyang sejurus selepas diangkat sebagai khalifah yang keempat.

Akan tetapi lain pula sikapnya pada suatu Subuh. Amat berat sekali Ali untuk bangun daripada tidurnya sehingga memaksakan Ibnu An-Nubaah melaungkan azan sebanyak tiga kali. Lantaran itu, Ali pun ke masjid dengan menyairkan kata-katanya iaitu

“Kuatkan tekadmu menghadapi kematian, kerana sesungguhnya maut akan meragutmu, dan janganlah kamu gundah-gulana dek kematian apabila kelak dia turun di lembahmu.”

Sesampainya Ali di pintu masjid tersebut, secara tiba-tiba beliau ditikam oleh Abdul Rahman Muljam dari kumpulan Khawarij yang telah lama menunggu dan mengintai kedatangannya ke masjid itu.

Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Saiyidina Ali sempat meninggalkan kata-kata mutiaranya buat keluarga dan sahabat handai yang berbunyi,

“Kekayaan yang paling berharga adalah akal (bila dia dipergunakan), kefakiran yang paling ketara ialah kedunguan (kebodohan), mengasingkan diri yang paling terasing ialah ujub (menghairani kebolehan diri tanpa menyandarkannya kepada Allah) dan kemuliaan yang paling mulia ialah indah budi pekerti” Utv

Tanda-tanda kematian yang berlaku kepada Khulafa’ ar-Rasyidin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker