#PrkP078CH : Jangan ‘rendahkan’ Orang Asli, calon BN beritahu parti lawan

Hanya tinggal 3 hari lagi hari mengundi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor optimis beliau mendapat sokongan kira-kira 6,000 Orang Asli di kawasan Parlimen itu.

Calon berketurunan Orang Asli itu berkata mereka letih dengan sikap lawannya yang mengandaikan komuniti itu menagih pemberian daripada kerajaan, menyifatkannya sebagai merendah-rendahkan kaumnya.

“Hormati dan hargai mereka. Mereka tak perlukan apa-apa pemberian. Adakah kamu nampak mereka meminta-minta dan merayu-rayu?

“Tidak, mereka percaya kepada semangat sukarelawan, dan itu menjelaskan kesudian mereka membantu kami pada pilihan raya kecil ini.



“Saya secara peribadi tidak percaya pada pemberian kerana ia mendekatkan kita pada rasuah. Dalam erti kata lain, ia diterjemahkan sebagai ‘tiada duit, tiada kerja’,” katanya kepada FMT.

Walaupun partinya mempunyai sumber yang terhad, katanya, beliau yakin mampu menang kerana “semangat” yang ada di sana.

“Kita pernah lihat bagaimana parti ‘hampir kalah’ menang pilihan raya lalu. Dalam hal ini, mengambil hati rakyat secara peribadi, terutama pengundi, amat penting.

“Mungkin kita tidak ada sumber secukupnya tetapi kita ada semangat untuk menang,” katanya.



Ramli, 61, adalah suku Semai dari Kuala Menson, Ringlet. Bapanya daripada suku Semai dari Cameron highlands dan ibunya suku Temiar dari Gua Musang, Kelantan yang tinggal di penempatan Orang Asli di Gombak, Selangor.

Beliau akan melawan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran dan 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong seng Yee pada PRK ini.

Ditanya mengenai calon lawan, Ramli berkata beliau “sangat menghormati” mereka dan merasakan setiap mereka menyumbang kepada rakyat dengan cara tersendiri.

Bagaimanapun, beliau percaya sebagai “anak tempatan” beliau mampu menang di sana.



“Walaupun sibuk berkhidmat dalam pasukan polis di banyak negeri, saya akan pulang ke Cameron Highlands sekiranya ada masa,” kata bekas pegawai kanan polis itu.

“Saya suka bersama kawan-kawan dan keluarga daripada suku saya.

“Hati saya di sini, dan orang Cameron Highlands mengetahuinya.”

Ramli berkata jika terpilih, beliau tidak akan berasa kekok selaku ahli Parlimen pembangkang di Parlimen yang dikuasai PH.



Rancangannya untuk Cameron Highlands, Ramli mahu menangani kebanjiran pendatang haram terutama di sektor perladangan kerana ia memerlukan “perhatian khusus”.

“Beberapa pengendali ladang dilindungi pihak berkuasa atau pihak tertentu. Kita mesti tangani masalah itu sama sekali. Ini bukan politik tapi realiti sosial.

“Untuk mencapainya, kerajaan dan pembangkang harus bekerjasama secara padu untuk membasmi masalah itu,” katanya.

Beliau juga mempunyai rancangan untuk menambah baik keadaan lalu lintas tetapi ia akan didedahkan kemudian.



Ditanya mengenai isu alam sekitar di mana pernah terjadinya beberapa insiden sebelum ini, Ramli berkata usaha sedang dijalankan untuk melindungi alam sekitar oleh kerajaan BN sebelum ini.

Beliau mengakui masalah “pencerobohan alam sekitar” sering berlaku di Cameron Highlands tetapi beliau akan menghuraikan masalah itu dengan lebih lanjut pada masa akan datang.

Ramli merupakan satu-satunya Orang Asli yang memegang jawatan tertinggi dalam pasukan polis, yang bersara sebagai asisten komisioner selepas 34 tahun berkhidmat.

Jawatan terakhirnya ialah Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.



Beliau dilatih di Quantico, akademi kebangsaan Biro Penyiasatan Persekutuan AS.

Dari segi pencapaian akademik, beliau lulus dengan kepujian kelas pertama dalam Pengajian Perniagaan dari University of East London dan mengikuti bidang kedoktorannya dalam bidang yang sama.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker