Xiddig dakwa dapat kebenaran guna teks ucapan TPM

Share

Syarikat telekomunikasi, Xiddig Cellular Communications Sdn. Bhd. (Xiddig) mendakwa telah pun mendapat kebenaran bagi menggunakan teks ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam majlis perasmian projek syarikat itu, semalam.

Kebenaran itu diterima daripada Setiausaha Politik Dr. Wan Azizah iaitu Romli Ishak sekali gus membolehkan teks ucapan itu dibacakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dalam Majlis Pelancaran Meningkatkan Gerbang Internet Antarabangsa Malaysia (EM-IIG).

Justeru, Xiddig yang terlibat dalam projek pembinaan fiber gantian optik mempersoalkan kenyataan pejabat Dr. Wan Azizah yang menafikan memberi kebenaran kepada mana-mana pihak menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Pengerusi Eksekutif Xiddig, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahim malah menjelaskan pihaknya telah menerima surat rasmi daripada pejabat Timbalan Perdana Menteri yang mengesahkan Dr. Wan Azizah akan hadir merasmikan majlis berkenaan, namun mendapat makluman ketidakhadirannya sehari sebelum itu.

“Sebelum ini dapat surat rasmi daripada pejabat Timbalan Perdana Menteri untuk hadir dalam majlis itu tetapi kita dapat maklumat Dr. Wan Azizah tak jadi datang, malam kelmarin.

“Saya tanya Setiausaha Politik Dr. Wan Azizah macam mana? Siapa akan hadir? Selepas itu saya nampak Mohd. Rashid. Saya tanya dia boleh tak menjadi wakil Dr. Wan Azizah dan beliau tidak menolak selepas mendapat kebenaran daripada Romli,” katanya seperti dipetik portal berita Free Malaysia Today, semalam.

Beberapa jam selepas teks ucapan beliau dibacakan, Dr. Wan Azizah menjelaskan ia bukan datang daripada pejabat beliau, malah tidak memberi kebenaran kepada mana-mana pihak membacakan teks ucapan tersebut.

Dr. Wan Azizah tidak dapat hadir kerana dikatakan menghadiri mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu dan Mohd. Rashid menggantikan beliau untuk berucap pada majlis itu.

Ucapan itu antara lain memaklumkan mengenai projek jalur lebar berkelajuan tinggi 5G yang bakal dilancarkan di negara ini pada November depan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *