Virus dan kapitalisme

Oleh Syed Farid Alatas

Dari sudut pandang sejarah manusia dalam jangka panjang, kejadian wabak penyakit berskala besar, termasuk pandemik, iaitu, penyebaran penyakit di seluruh dunia, adalah fenomena biasa. Manusia diancam oleh wabak penyakit secara berkala.

Terdapat Kematian Hitam (Black Death) pada 1347-1351, pandemik kolera pertama yang muncul pada 1917, Flu Sepanyol pada 1918-1919, dan pandemik Covid-19 pada 2019-2020.

Dalam era kapitalisme akhir-akhir ini, kita sekarang mulai menyedari bagaimana kejadian seperti pandemik Covid-19 menyebabkan kita mempersoalkan keutamaan yang kita beri kepada pembangunan ekonomi dan nilai pasaran seperti pengiraan (calculability), kecekapan (efficiancy), dan kebolehramalan (predictability), yang menentukan kehidupan kita setiap hari, malah di luar pasaran.

Covid-19 mengingatkan kita kehidupan lebih penting daripada pertumbuhan ekonomi. Ia juga memperkukuhkan gagasan persamaan. Sedangkan manusia sering melakukan diskriminasi antara satu sama lain dari segi bangsa, agama, dan kelas, virus tidak membeza-bezakan antara manusia.

Virus ini juga tidak mengenal sempadan negara, yang menekankan kenyataan bahawa manusia sangat berkaitan satu sama lain.

Semasa perintah kawalan pergerakan, kita menyedari betapa tidak bermakna pengejaran kemewahan. Kami lebih bimbang hal membeli keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal, dan sangat menghargai adanya hubungan sosial sesama manusia.

Ahli sosiologi sejarah Maghribi abad ke-14, Abdul Rahman Ibn Khaldun (1332-1406), yang ibu bapa beliau menjadi mangsa Kematian Hitam, membincangkan masalah kemewahan.

Dalam karyanya Al-Muqaddimah, pengantar kepada karya sejarahnya mengenai masyarakat Arab dan Barbar dan bangsa selainnya, Ibn Khaldun membincangkan bagaimana dimensi ekonomi kemunculan dan kemerosotan dinasti penting untuk pemahaman kita mengenai peranan kemewahan.

Dalam petikan terkenal yang dikutip oleh, antara lain, bekas presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan, Ibn Khadun mengatakan:

“Harus diketahui bahawa pada awalnya dinasti, cukai menghasilkan pendapatan yang besar dari penilaian (cukai) kecil. Pada akhir dinasti, cukai menghasilkan pendapatan kecil dari penilaian besar. Sebabnya adalah ketika dinasti mengikuti cara (sunan) agama, ia hanya mengenakan pajak seperti yang ditetapkan oleh hukum agama…”

Masalahnya timbul ketika anggota pemerintahan dinasti dan kroni mereka mengejar gaya hidup yang lebih canggih dan mewah. Perkembangan ini berlaku selama beberapa generasi. Mereka membenamkan diri mereka dalam kehidupan yang makmur dan mewah. Untuk mengekalkan gaya hidup itu, pemerintah mereka meningkatkan cukai penilaian untuk menambah hasil cukai.

Ini akhirnya mengakibatkan keadaan dalam mana kegiatan produktif dikurangkan atau dihentikan, yang seterusnya menurunkan pendapatan cukai. Kitaran kenaikan cukai dan penurunan pendapatan tidak hanya menyebabkan penurunan dalam kitaran pengeluaran dan fiskal dinasti, tetapi akhirnya kehancurannya.

Permintaan untuk kemewahan mengandungi kuman pemecahan, kerosakan dan, akhirnya, keruntuhan negara. Mengejar kemewahan menjadi inti gaya hidup golongan pemerintah dan golongan elit sepanjang sejarah.

Dalam masyarakat kapitalis moden, kehidupan mewah dimungkinkan dan ditopang oleh konsumerisme. Sejauh mana konsumerisme mendasari kepercayaan pengguna, ini merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan, oleh itu, apa yang memungkinkan kehidupan mewah.

Konsumerisme merupakan suatu pandangan yang wujud dalam susunan ekonomi dan sosial tertentu yang menekankan pemerolehan barang dan perkhidmatan yang berterusan dan tidak habis-habis. Ketika abad ke-20, pengeluaran berskala besar menyebabkan pengeluaran barang berlebihan, dan menimbulkan masalah penawaran melebihi permintaan.

Suatu strategi diperlukan untuk mengatasi masalah ini. Di sinilah masuk keusangan terancang (planned obsolescence) dan periklanan.

Yang pertama merujuk kepada dasar membentuk keluaran dengan sengaja supaya jangka hidup yang terhad. Ini bermakna bahawa agar keluaran itu menjadi usang dalam jangka waktu tertentu.

Pada waktu yang sama, pengiklanan, atau pesanan yang ditaja yang bertujuan untuk meyakinkan pengguna untuk “menginginkan” barangan, disebarkan secara lebih agresif.

Kedua-duanya memainkan peranan penting dalam mempengaruhi dan memutarbelitkan perbelanjaan pengguna, agar permintaan pada tingkat yang lebih tinggi dapat dipertahankan.

Dalam buku klasiknya mengenai konsumerisme, “Theory of the Leisure Class”, Thorstein Veblen melihat apa yang terjadi sebagai akibat daripada kemunculan “waktu masa lapang” pada awal abad ke-20. Veblen menarik perhatian kepada aktiviti dan kebiasaan pembelanjaan kelas masa lapang dari segi penggunaan ketara dan pembaziran.

Keusangan terancang dan pengiklanan menimbulkan tersebar luasnya konsumerisme yang semakin meningkat dalam kehidupan seharian. Kosumerisme memberi kepada orang suatu pemahaman yang palsu mengenai tempat unik mereka dalam masyarakat. Menurut sejarawan Gary Cross, variasi pakaian, perjalanan, dan hiburan yang tidak bekesudahan memberikan peluang bagi hampir semua orang untuk mengungkapkan keperibadian mereka, tidak kira bangsa, usia, jantina atau kelas mereka.

Tetapi kosumerisme pada hakikatnya tidak membawa kebahagiaan dan kepuasan dalam jangka panjang. Sebilangan besar bukti daripada kajian perbandingan mengenai negara maju dan membangun menunjukkan pertumbuhan ekonomi tidak menyebabkan kebahagiaan yang meningkat.

Pandemik Covid-19 dan kawalan pergerakan yang menyusulinya yang dilakukan di hampir seluruh dunia bermaksud lebih daripada 1 setengah bilion orang di seluruh dunia kekal di rumah. Sebilangan orang mungkin akan
menganggap kehidupan pra-pandemik mereka sebagai pengguna semata-mata. Sekarang, ahli keluarga dapat meluangkan lebih banyak masa untuk bergaul antara satu sama lain.

Pada masa yang sama, ekologi kita dapat istirahat daripada gangguan dan pencemaran yang dilakukan manusia. Sebagai contoh, terdapat penurunan pelepasan karbon dioksida, kualiti udara meningkat, dan tingkat kebisingan berkurang.

Covid-19 memberi kita peluang untuk but semula kehidupan kita. Masih belum diketahui sama ada kita akan belajar dari pengalaman ini atau kembali ke cara lama kita apabila Covid-19 tidak lagi menjadi ancaman.

FMT

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker