Afieq terpalit dengan video bogel?

Penyanyi, Afieq Shazwan, 23, kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mencemarkan nama baiknya dengan menyebarkan video tidak senonoh didakwa miripnya hingga tular dalam laman sosial, Twitter.

Afieq berkata, dia tak mahu gosip berkelakuan liar memburukkan imej dan reputasi, apatah lagi, cukup menjaga nama baiknya serta keluarga, selama ini.

“Saya terkejut mendengar berita ini. Saya mencari video yang dimaksudkan dalam Twitter. Ini kerana ramai menghantar mesej langsung (DM) mengatakan ada video bogel mirip saya tular. Bagaimanapun, saya tak menemuinya.

“Saya tak pernah membuat panggilan video atau menghantar video tidak senonoh kepada sesiapa. Saya tidak tahu apa motif mereka yang menyebarkan video ini,” katanya kepada BH Online.



Tidak mahu melatah, Afieq berkata, mahu fokus dengan penghasilan single terbaharu berjudul Gerak Lu yang secara rasminya dilancarkan, baru-baru ini.

Mengulas mengenai video muzik single ciptaan DJ Fuzz, Aziquebeats dan Faezal itu, Afieq berkata, dia agak kesal tidak dapat merealisasikan konsep yang dibayangkan menerusi video muzik keempatnya itu.

“Sebenarnya, konsep dan idea muzik ini sudah okay, cuma saya ada menyuarakan pendapat untuk muncul lebih berani dalam video muzik kali ini. Saya mahu keluar dengan konsep lebih ‘daring’ ala barat dan K-Pop.

“Saya minta untuk mengadakan babak saya menari tidak berbaju bersama penari supaya kelihatan lebih maskulin, namun, malangnya idea berkenaan tidak mendapat persetujuan syarikat rakaman.



“Untuk video muzik ini pun saya sudah membuat persiapan dan senaman khusus di gimnasium bersama jurulatih supaya bentuk badan kelihatan tegap, namun hasrat saya tidak kesampaian,” katanya.

Afieq berpendapat, sesuatu video muzik yang dihasilkan perlulah ada faktor tarikan untuk membuatkan penonton mahu mendengar lagu dan menontonnya.

“Sebagai artis, saya harus berani. Jika sekadar video muzik biasa-biasa, saya bimbang penonton jemu. Tambahan pula, ini zaman media sosial, peminat lebih suka menonton sesuatu yang unik.

“Bagaimanapun, saya tak kata video muzik ini tak menarik. Saya tetap berpuas hati dengan pembikinannya, cuma tak semua perkara yang saya dapat. Saya minta maaf pada peminat yang mengharapkan saya tampil seksi dalam video muzik Gerak Lu,” katanya yang bergandingan dengan Malik Abdullah menerusi lagu itu.



Sebelum ini, Afieq pernah tampil dengan single Lelaki Di Telefon, Seandainya dan Darjat.

Berkongsi mengenai lirik single itu, Afieq berkata, secara kebetulan liriknya seperti ada kena mengena dengan kisah hidupnya. Ekoran itu, dia mahu tujukan lagu Gerak Lu kepada seseorang.

“Siapa insan yang dimaksudkan, biarlah rahsia dan saya sahaja yang tahu. Saya berharap, lagu Gerak Lu dapat diterima peminat. Sebelum ini, saya juga tak sangka single Lelaki Di Telefon mendapat sambutan luar biasa,” katanya. BH

Terima Mesej Lucah, Minta Gambar Bogel Adibah Noor… “Akak Macam Gajah Mengantuk Ni Pun Orang Minta…”



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker