Al-Fatihah: Pesara Meninggal Dunia Selepas Solat Maghrib

KLUANG – Seorang pesara kerajaan menghembus nafas terakhir selepas selesai menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Jamek Al-Yahya, Taman Kluang Barat di sini malam semalam.

Dalam kejadian pada pukul 7.20 malam itu, Ibrahim Nasir, 70, yang juga ahli jawatankuasa masjid atau noja itu meninggal dunia di pangkuan seorang jemaah lain, Kapten (B) Harun Othman, 59.

Ibrahim menghembus nafas terakhir selepas selesai menunaikan solat Magrib di Masjid Jamek Al-Yahya, Taman Kluang Barat, Kluang malam semalam.

Harun berkata, sebelum kejadian, setelah selesai menunaikan solat fardu itu, dia ternampak Ibrahim melambai-lambai tangan kepadanya sebelum menghampirinya untuk mendapatkan kepastian.

“Ketika itu semua baru selesai solat dan mengaminkan doa dibaca imam, dia minta diurutkan badannya kerana mengadu berasa sakit.

“Dia minta untuk baring dipangkuan saya, saya ikutkan sahaja memandangkan dia dalam keadaan sukar untuk bernafas.

“Saya sempat melafazkan dan mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, mulutnya mengikut apa yang saya lafazkan sebelum matanya tertutup rapat dan nafas terhenti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Harun berkata, arwah merupakan seorang pesara kerajaan adalah seorang ahli jawatankuasa masjid sentiasa melaksanakan tugas dengan amanah dan baik.

Manakala isteri Allahyarham Ibrahim, Muslimah Badron, 68, berkata, sebelum ke masjid suaminya dalam keadaan baik malah sebelah petang sempat menziarahi seorang warga emas untuk menyampaikan sumbangan sedekah.

“Petang semalam dia bergerak awal ke masjid sebab dia bertugas untuk mengambil suhu jemaah yang datang untuk menunaikan solat.

“Dia sentiasa berdoa supaya Allah SWT mengambil nyawanya dengan keadaan baik dan mudah, Alhamdulillah doanya Allah sudah makbulkan,” katanya.

Jenazah Ibrahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Haji Manan di sini pada pukul 10 pagi hari ini. – K! ONLINE

Peluang raih lailatulqadar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker