Pakar neorologis M’sia terpilih sertai program sulung Pertubuhan Strok Sedunia

Terkini di My KMU !!!!---->

Pakar neurologis Dr Wan Asyraf Wan Zaidi menjadi rakyat Malaysia pertama terpilih menyertai Program Pemimpin Masa Depan Bagi Penyakit Strok, Pertubuhan Strok Sedunia (WSO FLP) selama dua tahun, mulai November ini.

WSO FLP, program yang julung kali diadakan, merupakan inisiatif yang dijalankan secara global bagi memperlengkap kerjaya petugas perubatan, pengajar dan penyelidik perubatan dengan ilmu dan cabaran masa kini berkaitan penjagaan dan penyakit strok (angin ahmar).

Dr Wan Asyraf, 35, Naib Pengerusi Majlis Strok Malaysia (MSC) dan pensyarah klinikal di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Kuala Lumpur, adalah antara 32 calon yang dipilih dalam kalangan 113 pemohon dari seluruh dunia yang diterima WSO.

Pengalamannya sebagai penyelidik utama negara bagi beberapa penyelidikan klinikal di pelbagai pusat perubatan di Malaysia, menjadi antara faktor dia memenuhi syarat WSO FLP sekali gus dipilih menyertai program berkenaan.

“Saya berharap dengan penglibatan saya dalam program ini bersama-sama pakar antarabangsa dalam merawat penyakit strok, saya dapat membangunkan suatu sistem yang lebih berkesan dan memberikan rawatan berkualiti tinggi dan menjadi amalan terbaik untuk pesakit strok di Asean, Malaysia dan khususnya di hospital kami (HCTM).

“Saya juga sangat teruja untuk bekerjasama dengan mentor dan rakan sekerja yang lain. Bersama-sama rakan kolaborasi, kami akan membentangkan projek pada Kongres Strok Sedunia 2021 dan 2022 kelak. Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada pasukan di HCTM, UKM dan MSC yang sentiasa menyokong saya,” katanya kepada Bernama dalam temu bual, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program WSO FLP selama dua tahun (2020 hingga 2022) bukan sahaja untuk melengkapkan pengetahuan petugas perubatan dan kesihatan tetapi juga penyelidik dalam penyakit strok, malah dapat mendedahkan calon pilihan dengan mendalam mengenai cabaran utama penyakit ini dan bagaimana ia dapat ditangani melalui sistem perawatan strok yang pelbagai.

“Program WSO FLP ini membolehkan saya sebagai salah seorang pakar neurologi (untuk strok) di negara ini terlibat dalam perbincangan komprehensif dan multi disiplin terkini mengenai pencegahan strok, kesedaran strok, rawatan strok dan perancangan pemulihannya.

“Pemilihan kohort pertama ini dilakukan dengan mengambil kira keseimbangan gender dan dari rantau/benua asal calon pilihan bertugas. Calon terpilih mengalas tugas berat sebagai duta besar mewakili WSO dengan kerjasama Akademi Strok Dunia, bagi memastikan usaha-usaha berterusan (sedang dan akan dilakukan) dalam meningkatkan rawatan strok di peringkat global. Bagi saya, ia sudah pasti suatu kehormatan terpilih sebagai rakyat Malaysia pertama untuk program ini, ” tambah Dr Wan Asyraf.

Pada Mac lepas, badan dunia itu mempelawa penyertaan program WSO FLP ini dalam kalangan individu berusia bawah 40 tahun yang berpotensi memimpin transformasi pencegahan, rawatan dan sokongan strok di peringkat nasional, serantau dan global.

Walaupun berdepan cabaran susulan pandemik Covid-19, sebanyak 113 permohonan diterima iaitu dari Asia (34), Afrika (23), Eropah (23), Amerika Selatan (21), Amerika Utara (tujuh) dan Australasia (lima).

Sebuah jawatankuasa pemilihan yang terdiri peneraju dalam strok diketuai oleh Profesor Werner Hacke bersama Profesor Valeria Caso dan Profesor Christopher Chen serta ahli-ahlinya menemu bual pemohon yang disenarai pendek sebelum 32 pakar klinikal dan penyelidik dari pelbagai latar belakang yang dibahagikan mengikut jantina dan geografi dipilih menyertai Program pertama WSO FLP ini.

Berhadapan dengan ramai calon yang berbakat dan berkelayakan tinggi, ahli jawatankuasa pemilihan telah membuat pemilihan calon yang mempunyai kelebihan latar belakang pencapaian akademik, kepakaran profesional dan peribadi yang cemerlang.

Kurikulum bagi program ini yang akan memanfaatkan kurikulum Akademi Strok Sedunia WSO, diketuai oleh ketua pengarangnya yang baru Gustavo Saposnik, merangkumi skop yang sangat luas melalui rantaian yang berterusan dalam pengurusan strok bermula dari pencegahan, rawatan akut, penjagaan selepas strok melalui pemulihan.

Ia juga akan menyokong pembangunan dan perkembangan kemahiran termasuk penyelidikan, penilaian rakan sejawat, penulisan untuk penerbitan, instrumen penilaian untuk kualiti penjagaan, kerjasama merentas disiplin, reka bentuk projek dan pengurusan serta advokasi strok. Bernama

Legenda badminton Indonesia, Rudy Hartono diserang strok

Leave a Reply