Kes serangan di rumah pemimpin DAP, Bomba sahkan ‘molotov cocktail’

MANJUNG: Botol ‘molotov cocktail’ yang disyaki menjadi punca kebakaran kenderaan dan kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di sini, pada 10 Januari lalu, disahkan menggunakan petrol.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pengesahan itu diterima daripada Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, pada 18 Januari lalu.

“Surat laporan rasmi akan diserahkan kepada polis dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Dalam kejadian jam 2.55 pagi itu, Mercedes Benz E300 milik Koo Ham dilaporkan hangus manakala dua lagi kenderaannya iaitu Honda CR-V dan Toyota Hilux serta siling halaman kediamannya rosak.

Siasatan lanjut polis di lokasi kejadian selepas itu membawa kepada penemuan botol ‘molotov cocktail’, sekali gus dipercayai menjadi punca kebakaran terbabit.

Ketika kejadian Koo Kam yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan isteri, sedang tidur di tingkat atas kediaman terbabit.

Mereka sempat keluar menyelamatkan diri selepas dikejutkan bunyi loceng rumah berkali-kali yang ditekan jiran mereka.



Dua hari selepas kejadian, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30an di sekitar Shah Alam, Selangor bagi membantu siasatan.

Beliau kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada pagi 17 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah dilaporkan berkata lelaki terbabit akan dijadikan saksi sekiranya diperlukan dalam siasatan kelak.

Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon kemudian dilaporkan berkata pihaknya mengambil 11 sampel di kediaman Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini, untuk dibawa ke makmal bagi siasatan.



Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata pihaknya sudah merakam keterangan 11 individu setakat ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Sehingga hari ini, sebanyak 11 saksi telah dirakam keterangan dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan suspek yang terlibat.

“Kes masih disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes kebakaran ini boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asistan Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 bagi membantu siasatan,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker