Bagaimana Guan Eng jadi akauntan?
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diminta menjelaskan bagaimana beliau berjaya menjadi akauntan profesional bertauliah setahun sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Monash.
Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, hal itu kerana terdapat dua perkara pelik mengenai maklumat yang disiarkan dalam laman web limguaneng.com berkenaan kelayakannya menjadi seorang akauntan profesional bertauliah.
“Saya tidak pernah meragui kelayakan ijazah Guan Eng dari Universiti Monash tetapi bagaimana beliau dapat menjadi seorang akauntan profesional bertauliah pada 1983, setahun sebelum memperoleh ijazahnya dari universiti itu?
“Bagaimana proses pengiktirafan akauntan profesional bertauliah dijalankan dan adakah pengiktirafan dari negara kita atau luar negara? Negara mana yang sudi menerima pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi untuk menjadi akauntan profesional bertauliah,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya di sini hari ini.
Ka Siong menambah, Guan Eng perlu memberi penjelasan terhadap perkara tersebut memandangkan beliau sentiasa melaungkan slogan Cekap, Akautabiliti dan Telus (CAT).
Sementara itu usaha mendapatkan reaksi daripada Guan Eng menerusi pegawainya gagal.
Utusan