REE: ‘Kehilangan’ 2 warga China jadi tanda tanya

REE: ‘Kehilangan’ 2 warga China jadi tanda tanya

ALOR SETAR: Pendedahan kewujudan dua warga China yang dibawa masuk ke negara ini oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah untuk melakukan kerja mengorek unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik, terus menjadi tanda tanya apabila tiada pihak mengetahui kedudukan mereka ketika ini.

Menurut sumber, dua individu dikenali sebagai So Lai Fat dan Huang Zhiyi dikatakan masuk ke negara ini bersama kumpulan pekerja warga China, Myanmar dan Nepal antara 2021 hingga tahun lalu.

Difahamkan, kumpulan pekerja terbabit mempunyai kepakaran dalam kerja menggali dan mengekstrak REE kerana pernah terbabit dalam aktiviti melombong bahan berkenaan di China dan beberapa negara serantau seperti Myanmar dan Vietnam.

“Dua warga China itu adalah watak utama dalam kegiatan melombong REE di Kedah berbanding pekerja asing lain, kerana mereka ada pengalaman luas dalam kegiatan menggali REE di negara asal.

“Selain pernah melombong REE di China, mereka juga dikatakan terbabit dalam kegiatan sama di Myanmar beberapa tahun lalu, sebelum di bawa ke Kedah oleh syarikat yang melakukan eksplorasi di Bukit Enggang.

“Bersama kumpulan pekerja mahir warga Myanmar dan Nepal yang lain, mereka memiliki kemahiran menggali dan mengekstrak REE dengan cepat,” katanya ketika ditemui BH.

Januari lalu, operasi khas Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) serta Jabatan Mineral dan Geosains menahan 52 lelaki warga tempatan dan asing kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penerokaan REE secara haram di kawasan Hutan Simpan Bukit Enggang.

Dalam operasi itu, JPNK turut menyita pelbagai peralatan dan jentera digunakan kumpulan terbabit dipercayai bagi melakukan kerja menggali serta mengekstrak bahan REE terbabit.

Berikutan itu, pada 13 April lalu, 40 individu termasuk 35 warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen Baling, atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Loi Fat dan Huang Zhiyi bersama kumpulan individu itu didakwa atas kesalahan memasuki kawasan hutan tertutup, iaitu Kompartment 12 Hutan Simpan Bukit Enggang tanpa memiliki permit sah antara jam 9 malam pada 31 Januari lalu, hingga jam 3 pagi 1 Februari lalu.

Semua mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan mahkamah.

Perlu pekerja mahir

Sumber itu menambah, kegiatan melombong dan mengekstrak REE memerlukan kumpulan pekerja mahir serta berpengalaman kerana bahan itu perlu diproses dalam tempoh masa tertentu bagi dapatkan hasilnya.

Katanya, tiada pekerja di dalam negara ini mempunyai kemahiran untuk bekerja di dalam aktiviti melombong REE kerana industri berkenaan belum pernah wujud secara sah di Malaysia setakat ini.

“Jika ikut kaedah melombong REE di China, Myanmar atau di Vietnam, tanah yang mengandungi REE akan dikorek dan terus diekstrak bagi mendapatkan hasil akhir di fasiliti yang dibina berdekatan tapak lombong.

“Bagaimanapun dalam kes di Kedah, tanah dikorek di Bukit Enggang terpaksa dieksport ke kilang terdekat berkemungkinan di Myanmar sebelum hasil akhir REE dihantar ke China.

“Jadi, bagi memastikan tanah mengandungi bahan REE ini tidak rosak, proses berkenaan perlu dilakukan dengan cepat oleh kumpulan pekerja mahir di bawah seliaan dua warga China yang menjadi ketua terbabit,” katanya.

Berikutan itu, dua lelaki warga China terbabit dikatakan diambil MBI Kedah untuk bekerja di tapak melombong REE di Bukit Enggang, namun difahamkan gaji mereka dibayar pihak syarikat yang mendapat lesen eksplorasi.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan profil dua lelaki warga China yang diambil bekerja di bawah MBI.

Saifuddin turut mendedahkan, mengikut rekod Jabatan Imigresen, dua individu terbabit masuk ke negara ini di bawah Pas Lawatan Ikhtisas sebagai staf pengurusan profesional dengan MBI Kedah adalah majikan mereka.

Berikutan itu, Muhammad Sanusi sebagai Pengerusi MBI Kedah diminta menjelaskan status kedua-dua individu terbabit, berapa gaji, apa bidang tugas dan di mana mereka berada kini.

Saifuddin juga mendedahkan 13 agensi kawal selia aktiviti perlombongan di negara ini pernah tidak memberi sebarang kelulusan kepada Kedah untuk melakukan aktiviti melombong REE di Hutan Simpan Bukit Enggang.

Sebaliknya, beliau mendakwa, kerajaan negeri bawah pimpinan Muhamad Sanusi hanya memberikan kebenaran eksplorasi bawah Enakmen Mineral Negeri kepada syarikat terbabit.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi menjelaskan, pihaknya ada menghantar surat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membawa pakar bagi tujuan penjelajahan dan penyediaan awal eksplorasi REE di Bukit Enggang.

Katanya, pihaknya mengeluarkan surat sokongan kepada KDN kerana ketika itu Malaysia dilanda pandemik COVID-19 menyebabkan tiada pergerakan keluar masuk dibenarkan di negara ini dan China.

Bagaimanapun, beliau menegaskan segala keputusan meluluskan atau tidak kemasukan pakar terbabit dibuat KDN tanpa campur tangan negeri yang hanya memberi sokongan.

SPRM panggil 12 saksi

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil 12 saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya juga menjangkakan akan ada lagi saksi dipanggil untuk dirakam percakapan, termasuk Muhammad Sanusi.

Rabu lalu, SPRM menahan pegawai kanan MBI Kedah bersama seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi membantu siasatan kes kecurian REE babitkan nilai rasuah lebih RM13 juta. BH

REE: ‘Kehilangan’ 2 warga China jadi tanda tanya

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Dia Suka Aksi Ganas & Minta Banyak Kali Sehari – Lucinta Luna

Perubahan wajah Rina Harun jadi bualan, dagu makin pelik

Wanita Mengadu Ebit Lew ‘Stop’ Bayarkan Rumah Sewa Hingga Dihalau

Kulit Kalis Api Neraka Ke? Sharifah Sakinah Diperli Netizen

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker