Kepemimpinan UMNO beri sokongan kepada presiden parti

Seluruh kepemimpinan UMNO hari ini menyatakan sokongan penuh dan setia kawan yang mendalam terhadap Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan keluarganya yang berhadapan saat mencabar ketika ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin petunjuk dan kebenaran daripada Allah dalam segala hal yang berlaku pasti akan hadir.

“Saya dan rakan-rakan dalam UMNO ingin menzahirkan sokongan dan setia kawan yang mendalam terhadap Ahmad Zahid dan keluarganya dalam saat yang mencabar seperti sekarang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhak diberi peluang membela diri dan mendapatkan keadilan sepenuhnya berdasarkan kepada prinsip kedaulatan undang-undang.



“Selagi tidak disabitkan hukuman, Ahmad Zahid berhak dilayani sebagai seorang yang tidak bersalah berasaskan prinsip perundangan.

“Ini suatu ujian yang hebat untuk orang yang hebat. Jus­teru, Wanita UMNO mendoakan semoga Allah sentiasa mengurniakan kecekalan dan ketabahan kepada beliau dalam menghadapi ujian,” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, Pakatan Harapan mahu membunuh imej Ahmad Zahid dengan memberikan gambaran buruk terhadap UMNO seterusnya membunuh parti itu.

Kata beliau, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan tindakan yang sama terhadap bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).



“Dr. Mahathir kini nampak­nya masih berusaha keras supaya Ahmad Zahid juga dianggap jahat oleh masyarakat apabila cuba memburukkan imej pemimpin Islam itu ko­nonnya Yayasan Akal Budi yang diasaskannya menerima dana daripada 1MDB.

“Kita percaya tindakan Mahathir ini bertujuan melenyapkan UMNO dan mendorong orang Melayu berpaut kepada PPBM dan menjadikan partinya itu sebagai satu-satunya parti Melayu terkuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Exco Perge­rakan Puteri UMNO, Dr. Masliha Harun berkata, tindakan penahanan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan terbaharu barangkali disusuli dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan diketuai oleh Dr. Mahathir mahu memburukkan dan memadamkan UMNO dalam kancah politik negara.

Perkara itu juga katanya, dilihat sebagai usaha awal untuk mengharamkan parti terbesar Melayu di negara ini.



“Usaha untuk mengharamkan UMNO ini biarpun tidak ada sebarang kenyataan rasmi di pihak kerajaan, namun perkara itu bukanlah satu rahsia lagi dalam kalangan ahli politik, bahawa sememangnya wujud usaha ke arah itu,” katanya.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker