Najib senarai tiga cadangan atasi masalah Felda

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menjual aset Felda bagi menampung keperluan semasa aliran tunai tidak menyelesaikan masalah utama agensi berkenaan.

Najib berkata, keputusan itu bukanlah langkah jangka masa panjang dan bakal memberi kesan negatif sekiranya kadar pulangan daripada aset yang akan dijual adalah lebih tinggi daripada kadar faedah hutang Felda.

Malah, kata Najib, tohmahan PH bahawa masalah kekurangan wang disebabkan kecurian atau dibazirkan juga tidak benar kerana lebih RM6 bilion daripada hutang berjumlah RM8 bilion yang dihadapi Felda telah dipinjamkan dan masih dihutang oleh peneroka sebagai pinjaman penanaman semula dan perumahan.

Sehubungan itu, Najib turut memberi tiga cadangan bagi menangani isu yang dihadapi Felda ketika ini termasuk pertolongan kewangan sementara daripada kerajaan, mengukuhkan hubungan diplomatik dengan negara-negara pembeli dan melaksanakan penggunaan serta-merta biodiesel B10.

“Walaupun kerajaan sudah menghentikan pembiayaan kewangan kepada Felda, (namun) kerajaan patut memberi kelonggaran dan pertimbangkan untuk memberi peruntukan apatah lagi kerajaan telah mengaut pelbagai hasil dan cukai daripada industri minyak sawit.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan hubungan dengan negara pembeli sentiasa berada pada tahap baik. Tiada manfaat kepada kita jika kerajaan PH terus menuduh China bersubahat dengan kerajaan terdahulu. Jika China tidak membeli minyak sawit dari kita, mereka boleh membeli dari negara jiran ataupun bertukar untuk mengguna minyak-minyak yang lain seperti minyak soya atau minyak jagung.

“Di samping itu, disebabkan harga minyak diesel telah kembali tinggi manakala harga minyak sawit rendah, jadi tiada sebab mengapa penggunaan biodiesel tidak dinaikkan menjadi B10 iaitu 10 peratus kandungan diesel dibuat daripada minyak sawit sekarang,” katanya dalam status Facebook beliau hari ini. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker