‘Alamak Raya Lagi’, di mana salahnya?

‘Alamak Raya Lagi’, di mana salahnya?

oleh Ronasina

Tahun ini lagu ‘Alamak Raya Lagi!’ meletup sehingga menembusi beberapa negara di rantau Asia. Dahsyatlah. Memang setiap tahun ada sahaja lagu raya baharu dihasilkan dan dinyanyikan oleh ramai penyanyi tapi selalunya meletup atau tak meletup kira nasiblah. Ada yang makan tahun baru popular dan dapat diterima masyarakat, ada pula lagu dan liriknya baik tetapi terus tenggelam.



Kejayaan lagu raya sukar diramal. Formula untuk meletupkan lagu raya ini barangkali ‘sedih-sedih’ tetapi banyak juga tak menjadi. Zaman ini orang dah tak mahu meleret-leret, jadi kalau boleh intro atau solo pun jangan panjang-panjang, tapi itupun belum menjanjikan lagu raya itu naik.

Bagaikan satu keajaiban, lagu ‘Alamak Raya Lagi!’ menjadi. Lagu nyanyian trio De Fam ini berjaya menempatkan diri bersama barisan lagu raya yang akan dikenang zaman. Kalau tak mampu bertahan seperti lagu-lagu lain pun, ia harus diakui berjaya menjadi fenomena pada tahun ini. Ini memang bonus raya untuk mereka. Azira Shafinaz, Sophia Liana, dan Cik Manggis yang menganggotai De Fam barangkali tak menyangka lagu ini akan jadi sebesar itu tapi dah rezeki, maka menjadilah. Rezeki misteri Tuhan. Ini tahun De Fam pula dapat!

Bila meletup pasti akan mendapat perhatian. Yang jadi masalah apabila lagu dikatakan tak bagus, perkataan ‘Alamak’ dikatakan berbaur negatif, dan didakwa tidak membawa maksud ‘hari raya yang sebenarnya’. Gambaran raya di dalam ‘Alamak Raya Lagi!’ ini dikatakan kosong dan melakar raya sekadar hiburan sahaja sedangkan maksud hari raya itu ‘amat besar’. Sosok-sosok berpengaruh turut mengkritik lagu tersebut sebagai entah apa-apa.

Namun ‘Alamak Raya Lagi!’ punyalah meletup hinggakan ramai yang membuat video sendiri gunakan lagu ini siap menari lagi. Minah di Jepun, di India pun buat video menari lagu ini. Ini betul-betul gempak!



Kita tolak ke tepi tarian-tarian itu, ayuh kita tinjau di mana salahnya lagu ini sampaikan ada pihak jadi rimas dan bengang. ‘Alamak Raya Lagi!’ menurut De Fam mengambil kisah betapa kalutnya rakyat ketika berlakunya peristiwa raya terkejut beberapa tahun yang lalu. Itu asas kisah lagu tersebut tetapi ia boleh pergi lebih luas lagi sebab ia juga menggambarkan cara hidup generasi kini.

Lihat rangkap pertama yang menggambarkan kita yang kini hidup di era internet leka dan ralit dengan bermacam hal tetapi semua hal tersebut hanya berlaku pada skrin gajet. Dalam kelekaan di alam maya itu kita tak sedar masa bergerak dan Ramadan pun sampai. Tetapi kita balik semula ke alam maya sebab kita mahu maklumat yang pantas lalu kita gugel bagaimana nak baca niat puasa kerana Google menjawab lebih cepat daripada manusia di hadapan kita, di alam nyata:

Sebulan sebelum Raya
Baru tahu esok puasa
Terlupa niat Google cepat

Masa berlalu begitu cepat
Sedar-sedar malam 24
Nak beli tiket dah tak sempat
Nak sewa kereta dah terlambat



Begitulah keadaan hari ini yang mereka gambarkan. Gajet merampas ketelitian kita pada alam nyata. Gambaran jalan kampung yang melekat dan melekit itupun memang betul. Generasi hari ini ada yang berasa geli dengan jalan berbecak sebab kampung sudah menjadi asing. Mereka hanya mengikut ibu dan ayah beraya kerana orang tua mereka masih ada pertalian manakala orang muda sudah berasa jauh. Suatu hari nanti apabila generasi ini sudah berkeluarga, anak-anak mereka tidak akan berasa apa-apa lagi pada kampung sebab tiada siapa pun yang mereka kenal. Sebenarnya perkara ini bukan pelik, ia memang sentiasa berlaku dan akan terus berlaku.

Dulu kalau raya Kuala Lumpur akan sunyi-sepi seperti dilanggar garuda. Lebih separuh orang Kuala Lumpur adalah perantau yang ada kampung halaman. Kini mereka sudah beranak-pinak. Orang di kampung sudah tiada. Anak-anak telah berkeluarga dan sepanjang hidup mereka sentiasa di Kuala Lumpur. Maka kita lihat hari ini apabila hari raya, Kuala Lumpur tidak sesepi dahulu. Jika sepi pun hanya dua tiga hari sahaja, kemudian ia kembali sesak. Taman perumahan, kondominium di pinggir ibu kota sudah menjadi kampung halaman buat generasi hari ini.

Kemudian ada disebut wifi dalam rangkap berikutnya. Ya, wifi sudah menjadi barang keperluan pada zaman ini. Internet hari ini sudah menjadi dadah kehidupan. Inilah realiti sekarang yang dirakamkan dalam lagu ‘Alamak Raya Lagi!’. Ini mengingatkan saya kepada lagu raya klasik 1950-an ciptaan Ismail Marzuki berjudul Selamat Hari Lebaran yang menyebut judi, mabuk brandi, dan korupsi pada senikatanya.



Apa punya gila lagu raya ada benda-benda negatif begini? Tetapi Ismail berikan gambaran sebenar bagaimana orang kota pasca merdeka di Indonesia (rasanya sama juga di Malaysia) menyambut raya. Cuma, apabila lagu tersebut dinyanyikan semula oleh beberapa penyanyi kemudiannya, seperti Gita Gutawa dan Sharifah Aini, rangkap tersebut dibuang. Menjaga sensitiviti pihak-pihak lain agaknya. Dalam lagu jangan disebut tapi di dunia nyata ia berlaku malah barangkali lebih teruk daripada yang digambarkan.

Mungkin sebab dalam lagu ‘Alamak Raya Lagi!’ ini ada makian kasar terhadap wifi yang perlahan ‘macam ba..’ yang hanya disebut sekerat, mungkin bermaksud ‘babi’ maka itu sebab lagu ini membuatkan sesetengah pihak berasa panas.

Untuk saya, lagu ‘Alamak Raya Lagi!’ cuba mengajak pendengar bergembira dengan ragam kita yang kelam-kabut menyambut raya mengejut. Sejujurnya memang kita semua huru-hara pada waktu itu, kan? Juga pada ketika lainnya, bukan tahun itu sahaja, dek kerana kesibukan dengan urusan kerja dan persaingan hidup, kita juga kelam-kabut membuat persiapan raya. Itu sahaja. Rukun hari raya iaitu lemang dan ketupat tetap ada di dalam liriknya sama seperti lagu-lagu lama.

Generasi sudah berubah. Lagu-lagu raya yang sedih meleweh, syahdu mendayu, intro dan solo yang panjang barangkali mereka sudah tak mahu lagi. Itupun satu hal juga. Seperti yang pernah saya tulis, mengapa lagu raya kerap sedih-sedih? Kita kata generasi hari ini lembik, tak macam kita dulu tetapi lagu raya zaman ini sudah kembali cergas dan meriah meninggalkan kita yang mengaku kuat tetapi lagu, drama, filem yang kita minat semuanya kisah cengeng.

Hendak tak hendak saya kena akur, inilah lagu raya zaman ini. Memang lagu ‘Alamak Raya Lagi!’ ini bukan selera saya tetapi serahkanlah baton kepada generasi bawah yang menggemarinya. Ini roda hidup. Seperti saya waktu kanak-kanak dahulu menggemari biskut raya moden, alih-alih hari ini mencari dodol, putu kacang, dan bahulu. Padahal waktu budak-budak dahulu melihat wajik pun saya geli. Saya lebih suka makan biskut mazola. Suatu masa nanti mereka barangkali akan jadi seperti kita juga agaknya.



Benar, pengertian hari raya itu terlalu besar. Bukan setakat menukil tentang lemang, rendang, dan ketupat saja. Itu lagu raya yang menggambarkan latar budaya kita di nusantara ini. Ada lagu raya mengupas makna yang lebih bersifat sejagat seperti Salam Dunia oleh M Nasir. Makna raya kalau digali dalam-dalam ia menjadi makin besar. Lagu seperti ‘Alamak Raya Lagi!’ ini hanyalah satu cebisan yang sangat kecil dari pengertian raya yang luas, sama juga seperti lagu-lagu raya lain. Bagi saya De Fam melalui lagu ‘Alamak Raya Lagi!’ tidak berniat untuk menghuraikan makna raya seluasnya maka tak usahlah kita mengharapkan sesuatu yang besar pada lagu itu.

Usahlah kita beria-ia hendak menghempapkan pengertian yang berat tentang hari raya ke atas lagu ini. Tak adillah. Rilekslah! Lagu raya sedih-sedih, lemang ketupat, balik kampung itupun hanya cebisan kecil daripada pengertian luas hari raya itu. Ia pun bukan gambaran hakikat sebenar Aidilfitri tapi seolah sudah dipatenkan bahawa itulah makna raya yang hakiki. Yang lain, bukan. Alah! Janganlah begitu. Ayuh! Kita layan ajalah. FMT

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Sheriff pecah rekod, sailang Mat Kilau

Aliff Aziz dengan Sarah Yasmine pulak?

‘Anak ikan’ resah

Sebab Syasya tinggalkan Dolla

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker