PKP hapus pertumbuhan ekonomi dua setengah tahun, kata pakar


Pandemik Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) memberi kesan buruk kepada Malaysia dengan menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup ke paras tahun 2018, iaitu lebih dua tahun lepas.

Ia merupakan kemerosotan yang jauh lebih besar daripada jangkaan banyak pihak, termasuk kerajaan, dan satu pelan pembangunan baharu perlu digubal bagi memulihkan keadaan, kata seorang pakar ekonomi.

“Paras KDNK mengundur ke tahap pada pertengahan 2018. Ini bermakna PKP menterbalikkan dua setengah tahun pembangunan ekonomi Malaysia,” kata pakar ekonomi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams.

“Data daripada Jabatan Perangkaan meletakkan KDNK sebenar Malaysia sebanyak RM1.36 trilion pada 2018 dan RM1.34 trilion pada 2020.



“KDNK meningkat sebanyak 4.3% pada 2019, tetapi turun sebanyak 5.6% pada 2020, jadi ia menghapuskan pertumbuhan 2019 dan membawa kita kembali ke pertengahan tahun 2018.

“Dari segi perkapita, Malaysia semakin jauh daripada status berpendapatan tinggi.”

Williams mengulas pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa KDNK negara menyusut sebanyak 5.6% pada 2020, penurunan terbesar sejak krisis kewangan Asia – ketika ia meningkat sebanyak 7.4% pada 1998.

KDNK Malaysia meningkat sebanyak 4.3% pada 2019 dan 4.7% pada 2018.



Penyusutan tahun ini juga lebih teruk daripada unjuran Kementerian Kewangan iaitu sebanyak 3.5% hingga 5.5% yang dinyatakan awal bulan ini.

Walaupun terdapat langkah rangsangan lebih RM300 bilion yang bertujuan memerangi kejatuhan ekonomi susulan pelaksanaan PKP, Williams berkata, penguncupan itu merosakkan ekonomi Malaysia sehingga potensi pertumbuhan akan menjadi jauh lebih rendah pada masa depan kecuali jika kerajaan menumpukan pada pelan pembangunan baharu.

“Kekuatan pemulihan bergantung pada penamatan PKP dengan segera.

“Kerajaan sekarang mesti memisahkan dasar ekonomi daripada dasar kesihatan dan menyedari bahawa kita tidak mengurangkan angka kematian dengan menutup ekonomi,” katanya.



“… (ini) kerana PKP 2.0 telah menelan belanja sebanyak RM24.5 bilion, atau 1.7% daripada KDNK, kita menjangka pertumbuhan semula pada 2021 akan jauh lebih rendah daripada yang diharapkan.”

Pada taklimat maya bersama dengan gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus semalam, ketua perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, penyusutan tahun lalu disebabkan oleh penguatkuasaan PKP untuk mengekang wabak Covid-19.

Menyifatkan kelonggaran sekatan ekonomi semasa PKP sekarang adalah langkah yang tepat, CEO Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berharap untuk melihat lebih banyak perbincangan mengenai haluan masa depan ekonomi negara.

Seperti Williams, Ferlito juga menekankan bahawa penutupan tidak banyak memberi kesan dalam melawan virus di seluruh dunia, dan akan memberikan senarai hampir 100 kajian penilaian bagi membuktikan dapatan beliau.



“Kita tidak boleh mengubah masa lalu, jadi untuk menumpukan perhatian pada angka ini (KDNK 2020) adalah membuang masa,” katanya.

“Ingatlah bahawa ini bukan hanya angka semata-mata, tetapi disebaliknya ada keluarga yang bergelut untuk memenuhi keperluan hidup.

“Apakah yang kita buat sekarang untuk kembali semula ke haluan asal? Apakah kita berada di jalan yang betul?” FMT

Bank Dunia ramal KDNK M’sia 2020 negatif 0.1%



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker