“ADAKAH KERAJAAN MAHU KAMI SIMPAN BOT DI RUMAH SEBAB SELANGOR KERAP SANGAT BANJIR KILAT?”, TANYA PENDUDUK

Semalam saya telah dijemput untuk berjumpa dengan sekumpulan penduduk di kejiranan saya di Sungai Buloh, Selangor.

Sungai Buloh adalah satu mukim yang besar di Selangor merangkumi kawasan bandar dan kampung dengan jumlah penduduk terkini melebihi 400 ribu orang.

Sekumpulan daripada penduduk ini meminta saya untuk membantu untuk menyelesaikan isu setempat di kawasan sekitar mereka berdekatan dengan kampung saya.

Mereka telah membawa isu ini banyak kali kepada kerajaan setempat dan kerajaan negeri PH tetapi isu ini masih tidak selesai dan umpama tidak diendahkan.



Oleh itu mereka meminta saya untuk memuatnaik isu ini dalam Facebook saya supaya ianya mendapat lebih perhatian dan tindakan dari pihak berkuasa dan kerajaan:

……..

Jalan besar di daerah saya di Paya Jaras, Sungai Buloh berhadapan pasar malam Paya Jaras kerap berlaku banjir kilat.

Setiap kali hujan lebat banjir kilat akan berlaku di tempat yang sama.



Kelmarin banjir kilat ini berlaku lagi.

Masalah yang selalu berlaku ini telah berlanjutan sekian lama.

Bulan ini sahaja sudah dua kali banjir kilat berlaku di situ.

Setiap kali banjir kilat berlaku, ia mengakibatkan traffic jam yang panjang kadang-kadang sehingga satu kilometer, dan kerap kali berlaku kemalangan jalanraya.



Kemalangan dan kecederaan juga selalu berlaku terutama kepada penunggang-penunggang motosikal apabila jalan berlubang dan berlopak selepas banjir.

Rumah dan kedai di kawasan sekitar juga berlumpur dan kerap perlu dibersihkan.

Kadang-kadang kerajaan tempatan ada buat pembaikan seperti menampal jalan dan mengorek lubang di situ namun masalah banjir kilat dan jalan berlopak tersebut masih tidak selesai-selesai.

Tindakan kerajaan PH ini umpama menampal koyok, melepas batuk di tangga, dan pahat dan penukul: sekali ketuk sekali bergerak.



Namun punca utama banjir kilat ini masih tidak ditangani dan tidak diselesaikan oleh kerajaan.

Banyak aduan telah dibuat oleh penduduk setempat untuk disampaikan kepada wakil-wakil rakyat PH di sini namun masih tiada penyelesaian dan umpama tidak dipedulikan.

Kedua-dua wakil rakyat iaitu ahli parlimen dan ADUN di sini ialah dari PKR.

Walaupun ini bukan banjir besar, sekiranya banjir kecil kerap sangat berlaku dan menyusahkan rakyat, ia bukan lagi masalah kecil yang boleh diambil enteng.



Wakil rakyat dan kerajaan setempat perlu kaji masalah ini dan menyelesaikannya.

Seorang pemimpin masyarakat dan orang lama di sini bertanya adakah kerajaan mahu penduduk menyimpan bot di rumah sebab Selangor kerap sangat banjir kilat?

Semasa zaman BN, kerajaan banyak buat kerja untuk perparitan dan pembersihan sungai oleh itu walaupun ada berlaku banjir tetapi ianya tidaklah sekerap sekarang, katanya lagi.

……..



Sebelum ini saya selalu bawa isu nasional dan isu negeri seperti isu ekonomi, air, rumah mampu milik, kos sara hidup dan sebagainya.

Kali ini, atas permintaan penduduk setempat di kejiranan saya, inshaAllah saya akan bawa isu setempat juga.

Di Selangor ini air paip bersih selalu tiada, tetapi air longkang melimpah dan banjir kilat memang banyak.

Pemimpin-pemimpin kerajaan PH di peringkat nasional iaitu Dr. Mahathir, Anwar Ibrahim dan Azmin Ali sibuk berebut kuasa dan memikirkan isu video seks oleh itu barangkali tidak ada masa untuk fikir hal lain.

Pemimpin-pemimpin PH tempatan pula sibuk menyusun sokongan untuk bos-bos mereka.

Masalah banjir kilat seperti di atas berlaku di banyak kawasan di negeri Selangor sejak PH memerintah Selangor 11 tahun yang lalu.

Oleh itu Menteri Besar Selangor buatlah kerja betul-betul dan jangan asyik berpolitik sahaja.

Jangan hanya sibuk berebut kuasa dan jawatan tetapi tanggungjawab kepada rakyat dilupa.

Dan kepada wakil rakyat PH selama tiga penggal bagi Parlimen Sungai Buloh iaitu YB Sivarasa Rasiah, turunlah padang dan selalu-selalulah jenguk kawasan.

Rakyat memerhati, selepas menang pilihanraya jarang sekali nampak batang hidung dan sekali sekala sahaja muncul.

Selagi masalah banjir kilat penduduk setempat ini terus berlarutan, saya akan bersuara dan menulis surat sekerap-kerapnya kepada anda berkenaan isu ini sehingga anda mengambil endah dan sehingga masalah ini diselesaikan.

ISHAM JALIL
Pengundi,
Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor
24 Julai 2019

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker