Pemerkasaan Sistem KAFA: Memartabatkan Guru, Memperkukuh Pendidikan Islam Negara

Pemerkasaan Sistem KAFA: Memartabatkan Guru, Memperkukuh Pendidikan Islam Negara

JABHAH Ilmuwan Muda Malaysia mengambil perhatian serius terhadap polemik berhubung kebajikan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), susulan kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor, mengenai kedudukan elaun dan peluang pendapatan sampingan guru KAFA.

JABHAH menghormati pandangan beliau. Namun, persoalan kebajikan guru KAFA perlu dinilai melangkaui takrif elaun dan status pelantikan. Ia menuntut penelitian terhadap realiti tugas, kesesuaian struktur perkhidmatan serta hala tuju pendidikan Islam negara.

Berpandukan kepentingan pendidikan Islam dan suara mereka yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan KAFA, JABHAH mengemukakan pendirian berikut:

1. KAFA IALAH AGENDA PENDIDIKAN NEGARA, BUKAN PROGRAM SAMPINGAN

Program KAFA lahir daripada usaha Kerajaan Persekutuan pada penghujung 1980-an, mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada tahun 1989 dan mula dilaksanakan pada tahun 1990.

Matlamatnya adalah untuk memperluas dan menyelaraskan pendidikan asas al-Quran serta fardu ain bagi kanak-kanak Islam berumur tujuh hingga dua belas tahun.

Selepas lebih tiga dekad, KAFA telah menjadi sebahagian penting daripada ekosistem pendidikan Islam negara. Peranannya dalam membina asas akidah, ibadah dan kefahaman agama generasi muda tidak boleh dipandang sebagai pelengkap semata-mata.

Program yang memikul tanggungjawab pendidikan sebesar ini sewajarnya disokong oleh sistem perkhidmatan tenaga pengajar yang setimpal.

2. STATUS ELAUN TIDAK MENYELESAIKAN PERSOALAN KEADILAN

JABHAH mengakui bahawa guru KAFA dilantik melalui kerangka perkhidmatan tersendiri dan menerima bayaran yang dikategorikan sebagai elaun.

Namun, istilah pentadbiran tidak seharusnya menutup perbahasan tentang kecukupan imbuhan, kebajikan dan kesepadanan tanggungjawab.

Begitu juga, peluang melakukan pekerjaan sampingan tidak boleh dijadikan jawapan menyeluruh terhadap keperluan menilai semula struktur imbuhan guru KAFA.

Persoalannya bukan semata-mata apa nama bayaran yang diterima, tetapi sama ada sistem tersebut masih adil dan sesuai dengan tanggungjawab semasa.

3. BEBAN TUGAS MESTI DINILAI BERDASARKAN REALITI PELAKSANAAN

Tanggungjawab guru KAFA merangkumi pengajaran, penyediaan rancangan pembelajaran, pentaksiran murid, pengurusan peperiksaan serta urusan pentadbiran yang berkaitan.

Dalam keadaan tertentu, guru KAFA turut dilibatkan dengan program dan tugasan tambahan di luar sesi pengajaran.

Justeru, penilaian terhadap imbuhan tidak wajar dibuat berdasarkan jumlah jam mengajar semata-mata tanpa mengambil kira keseluruhan tuntutan perkhidmatan.

JABHAH turut memandang serius persoalan ketidakseragaman waktu bertugas dan skop tanggungjawab antara negeri. Perbezaan ini perlu diteliti secara objektif supaya penetapan imbuhan mempunyai asas yang jelas dan boleh dipertanggungjawabkan.

4. KEIKHLASAN MENDIDIK TIDAK MENGGUGURKAN TANGGUNGJAWAB MENJAGA KEBAJIKAN

JABHAH meyakini bahawa keikhlasan dan pengorbanan merupakan nilai penting dalam profesion pendidikan Islam.

Namun, nilai tersebut tidak boleh menggantikan tanggungjawab institusi untuk menyediakan kebajikan yang munasabah.

Guru KAFA juga mempunyai keperluan keluarga, komitmen kewangan dan hak untuk mendapat layanan yang adil.

Menuntut penambahbaikan kebajikan bukan bererti menolak konsep syukur. Sebaliknya, memastikan hak dan kebajikan tenaga pengajar terpelihara merupakan sebahagian daripada amanah pentadbiran.

5. KUALITI PENDIDIKAN ISLAM BERMULA DENGAN PEMERKASAAN GURU

Pemerkasaan KAFA tidak sepatutnya terbatas kepada pembaharuan kurikulum, modul pembelajaran dan sistem pentaksiran.

Keutamaan yang sama perlu diberikan kepada pembangunan profesionalisme, pengiktirafan kelayakan, kestabilan perkhidmatan dan laluan kemajuan kerjaya guru.

JABHAH mengiktiraf sumbangan serta keupayaan guru KAFA sedia ada. Justeru, usaha memperkukuh sistem perkhidmatan hendaklah dilihat sebagai pelaburan untuk mengekalkan tenaga pengajar berpengalaman, menarik bakat baharu dan meningkatkan mutu pengajaran secara berterusan.

Kita tidak boleh bercita-cita melahirkan generasi yang kukuh kefahaman agamanya tanpa memberikan perhatian sewajarnya kepada pembangunan tenaga pendidik yang memikul amanah tersebut.

6. PENYELARASAN NASIONAL PERLU MENGHORMATI BIDANG KUASA NEGERI

JABHAH mengambil maklum bahawa pelaksanaan KAFA melibatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan pihak berkuasa agama negeri, termasuk perbezaan sumber kewangan, waktu bertugas dan kadar imbuhan.

Perbezaan ini tidak semestinya menuntut penyeragaman mutlak. Namun, ia memperlihatkan keperluan kepada suatu kerangka penanda aras nasional yang lebih jelas bagi skop tugas, kebajikan minimum, pembangunan kompetensi dan penilaian perkhidmatan.

Penyelarasan sedemikian perlu dilaksanakan melalui rundingan bersama pihak berkuasa agama negeri, dengan menghormati bidang kuasa masing-masing.

Matlamatnya ialah memastikan perbezaan pentadbiran tidak menghasilkan jurang kebajikan yang tidak munasabah atau menjejaskan mutu pendidikan KAFA.

7. TUNTUTAN JABHAH: DARIPADA PENAMBAHBAIKAN SEDIA ADA KEPADA REFORMASI MENYELURUH

JABHAH mengiktiraf langkah yang telah dilaksanakan kerajaan, termasuk peningkatan elaun dari semasa ke semasa, peruntukan KWSP dan PERKESO, kemudahan cuti, latihan profesional serta usaha merintis model perjawatan baharu melalui Program Rintis KAFA Perdana.

Walau bagaimanapun, kewujudan dasar dan pengumuman penambahbaikan perlu disusuli penilaian yang telus terhadap pelaksanaan serta keberkesanannya.

Sehubungan itu, JABHAH menggesa:

Pertama: Membentangkan kemajuan Program Rintis KAFA Perdana.

JAKIM bersama agensi berkaitan perlu menjelaskan status pelaksanaan, skala penyertaan, dapatan penilaian, kekangan yang dikenal pasti dan hala tuju peluasan model perjawatan tersebut.

DISYORKAN UNTUK ANDA :

Agenda TVET Negara: Industri Perlu Main Peranan Lebih Besar – Manndzri


Kedua: Melaksanakan penilaian nasional terhadap struktur perkhidmatan guru KAFA.

Penilaian hendaklah merangkumi waktu bekerja sebenar, skop tugas, tanggungjawab tambahan, kadar imbuhan, kos sara hidup dan perbezaan pelaksanaan antara negeri sebagai asas kepada cadangan penyelarasan yang munasabah.

Ketiga: Mengaudit keberkesanan pelaksanaan kebajikan sedia ada.

Semakan perlu memastikan kemudahan KWSP, PERKESO, cuti dan tuntutan berkaitan tugas rasmi benar-benar dapat diakses oleh guru yang layak, termasuk mengenal pasti jurang pelaksanaan di peringkat negeri dan institusi.

Keempat: Memperkemas pembahagian tanggungjawab antara KAFA dengan institusi pendidikan yang berkongsi premis.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

BN Masjid Tanah Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi PRN


Arahan tugas tambahan, penggunaan kemudahan dan penglibatan dalam program sekolah perlu mempunyai garis tanggungjawab yang jelas supaya tidak menimbulkan pertindihan tugas tanpa pertimbangan kebajikan yang sewajarnya.

Kelima: Membentuk kerangka pembangunan kerjaya guru KAFA yang lebih tersusun.

Kerangka ini perlu mengambil kira kelayakan akademik, kompetensi pedagogi, pengalaman perkhidmatan, latihan profesional dan peluang peningkatan kerjaya, dengan menilai serta memperluas inisiatif yang telah terbukti berkesan.

JABHAH berpandangan bahawa penambahbaikan ini perlu digerakkan melalui penyelarasan JAKIM, pihak berkuasa agama negeri, Kementerian Pendidikan, agensi perjawatan dan wakil guru KAFA.

JABHAH juga bersedia mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan bagi meneliti cabaran pelaksanaan serta mengemukakan cadangan penambahbaikan berasaskan dapatan lapangan dan bukti dasar.

PENEGASAN

JABHAH tidak mahu polemik kebajikan guru KAFA berakhir sebagai perdebatan tentang istilah elaun, keikhlasan atau kesanggupan seseorang pendidik mencari pendapatan tambahan.

Isu yang lebih besar ialah keupayaan negara memastikan sistem pendidikan Islam asas terus diperkukuh melalui tenaga pengajar yang berkualiti, dihargai dan dipelihara kebajikannya.

Selepas lebih tiga dekad pelaksanaan KAFA, sudah sampai masanya perhatian terhadap pemerkasaan kurikulum diseimbangkan dengan pembaharuan sistem perkhidmatan tenaga pengajarnya.

Memartabatkan guru KAFA bukan sekadar memenuhi tuntutan kebajikan. Ia merupakan pelaburan terhadap kualiti pendidikan Islam dan masa depan generasi negara.

Pemerkasaan Sistem KAFA: Memartabatkan Guru, Memperkukuh Pendidikan Islam Negara

 

MOHAMAD ANAS BIN MOHAMAD NAEM
Pengerusi
JABHAH Ilmuwan Muda Malaysia

Pemerkasaan Sistem KAFA: Memartabatkan Guru, Memperkukuh Pendidikan Islam Negara


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

BN Sayang Rakyat, Terus Semarakkan Gelombang Biru Di Melaka

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker