Tambang E-Hailing Naik, Pendapatan Pemandu Belum Tentu Bertambah

Tambang E-Hailing Naik, Pendapatan Pemandu Belum Tentu Bertambah

Tambang E-Hailing Naik, Pendapatan Pemandu Belum Tentu Bertambah

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Cadangan menetapkan tambang minimum bagi perkhidmatan e-hailing perlu mengambil kira pendapatan bersih pemandu, kos operasi dan kemampuan pengguna, bukannya sekadar menaikkan harga perjalanan sehingga membebankan rakyat.

Naib Pengerusi Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGig), Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, kenaikan tambang tidak semestinya meningkatkan pendapatan pemandu sekiranya jumlah tempahan berkurangan dan masa menunggu semakin panjang.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang berkata, pemandu e-hailing berdepan pelbagai kos operasi termasuk minyak, penyelenggaraan kenderaan dan perjalanan tanpa penumpang, selain perlu menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya demi mencari pendapatan untuk keluarga.

“Pendapatan pemandu bukan ditentukan oleh tambang satu trip sahaja, tetapi oleh berapa banyak tempahan, berapa lama menunggu dan berapa besar kos yang ditanggung,” katanya.

Menurutnya, penetapan tambang minimum perlu berasaskan keadaan sebenar di lapangan bagi memastikan pemandu menerima pendapatan yang munasabah tanpa menyebabkan pengguna terpaksa menanggung kenaikan kos perjalanan yang keterlaluan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

BN Masjid Tanah Perkukuh Kesiapsiagaan Hadapi PRN


Beliau memberikan gambaran bagaimana seorang pemandu yang menerima RM15 bagi satu perjalanan mungkin memperoleh pendapatan harian lebih rendah berbanding pemandu yang menerima RM10 satu perjalanan tetapi berjaya menyelesaikan lebih banyak tempahan dalam tempoh sama.

Situasi itu menunjukkan bahawa kadar tambang yang lebih tinggi tidak semestinya membawa pulangan lebih baik sekiranya permintaan terhadap perkhidmatan berkenaan merosot.

Pada masa sama, kenaikan tambang yang tidak mengambil kira kemampuan pengguna berisiko menjejaskan golongan yang bergantung pada e-hailing untuk urusan harian, termasuk pekerja syif malam, peniaga kecil, warga emas dan pelancong.

Pengguna yang menggunakan perkhidmatan itu untuk ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) juga berpotensi terkesan sekiranya kos perjalanan meningkat.

Tengku Azman berkata, pengurangan permintaan akan menyebabkan pemandu terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan tempahan, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Tuduhan Kewangan JALB Tidak Boleh Dipandang Ringan


“Ini bukan soal pemandu lawan penumpang. Kedua-duanya saling bergantung,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyokong pendekatan yang memberi tumpuan kepada perlindungan pendapatan sebenar pemandu, selaras dengan pandangan My Mobility Vision (MMV) yang diketengahkan menerusi tulisan Wan Agyl Wan Hassan di Free Malaysia Today (FMT).

Antara langkah yang dicadangkan ialah menetapkan bayaran minimum kepada pemandu dengan mengambil kira kos operasi sebenar, masa menunggu dan perjalanan tanpa penumpang.

Selain itu, Akta Pekerja Gig 2025 dan Majlis Perundingan Pekerja Gig perlu dimanfaatkan bagi membantu merangka kadar bayaran yang adil berdasarkan jenis pekerjaan dan keadaan kerja sebenar.

Beliau turut menekankan keperluan memastikan potongan pendapatan dilakukan secara telus supaya pemandu memahami pengiraan bayaran yang diterima bagi setiap perjalanan.

Menurutnya, data sebenar berkaitan kos operasi, tempoh bekerja dan pendapatan bersih pemandu juga perlu dikumpulkan sebelum sebarang formula tambang ditetapkan.

Pada masa sama, peraturan yang melibatkan perkhidmatan e-hailing dan teksi wajar diteliti semula bagi memastikan kedua-dua sektor dapat bersaing secara lebih seimbang.

Tengku Azman berkata, dasar yang baik perlu mencari titik keseimbangan antara kebajikan pemandu dengan kepentingan pengguna, khususnya ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.

“Kejayaan dasar ini tidak diukur melalui berapa tinggi tambang yang ditetapkan, tetapi berapa banyak yang benar-benar dibawa pulang oleh pemandu untuk keluarga,” katanya lagi. – UMNO Online

Tambang E-Hailing Naik, Pendapatan Pemandu Belum Tentu Bertambah


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Agenda TVET Negara: Industri Perlu Main Peranan Lebih Besar – Manndzri

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker