Schumacher ‘kembali’ ke Monza menerusi rekaan khas Ferrari
Schumacher ‘kembali’ ke Monza menerusi rekaan khas Ferrari

Monza: Ferrari akan tampil dengan rekaan dan pakaian khas di Monza hujung minggu ini bagi memperingati kemenangan pertama Michael Schumacher di Grand Prix (GP) Itali bersama pasukan Formula Satu (F1) itu, selain meraikan sedekad khidmatnya di Maranello dari 1996 hingga 2006.
Tahun ini genap 30 tahun sejak juara dunia tujuh kali itu, yang ketika itu sudah memiliki dua gelaran dunia, menyertai Ferrari dari Benetton.
Kehadiran pelumba Jerman itu mengubah nasib pasukan berkenaan dan membuka lembaran era kegemilangan Ferrari, apabila Schumacher kemudian memenangi lima kejuaraan dunia berturut-turut, manakala pasukan itu meraih enam gelaran pengeluar berturut-turut.
Schumacher, kini berusia 57 tahun, tidak pernah dilihat di khalayak umum sejak mengalami kecederaan otak serius dalam kemalangan ketika bermain ski di Alps Perancis pada Disember 2013.
Ferrari memaklumkan jentera SF-26 yang dipandu Charles Leclerc dan Lewis Hamilton, yang juga juara dunia tujuh kali, akan menggunakan rekaan khas diinspirasikan daripada Ferrari 310 pertama Schumacher, iaitu didominasi warna merah dengan sedikit warna putih pada sayap, selain warna hitam serta tujuh bintang dan logo pelumba Jerman itu menggunakan huruf M dan S.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Semangat Sehimpun Sehaluan Kukuhkan Perpaduan
- Bajet KKDW Sudah Lulus, Kenapa Duit Tak Sampai?
- Pavilion Perak Serlah Potensi Agromakanan Negeri Di MAHA – Zolkafly
Tiga jentera yang pernah digunakan Schumacher sepanjang kariernya bersama Ferrari turut dipamerkan, iaitu F310, 248 yang digunakan pada 2006 dan F2002 yang menjadi antara jentera paling dominan dalam sejarah F1.
Jentera F2002 itu akan dipandu bekas rakan sepasukan Schumacher, Rubens Barrichello, pada Sabtu, manakala juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, akan memandunya pada Ahad.
Kemenangan Schumacher di Monza pada 1996 adalah kemenangan pertama Ferrari di laman sendiri sejak 1988 dan mereka kembali ke perlumbaan hujung minggu ini dengan peluang cerah untuk meraih satu lagi kemenangan, selepas Leclerc dan Hamilton masing-masing sudah memenangi satu perlumbaan musim ini, selain Ferrari kini menduduki tempat kedua dalam kedudukan kejuaraan.
Ferrari kali terakhir memenangi perlumbaan di Monza pada 2024 menerusi Leclerc, yang turut mencatat kemenangan pada 2019. Hamilton, yang menyertai Ferrari tahun lalu pula sudah lima kali menjuarai perlumbaan di Monza ketika bersama McLaren dan Mercedes.
Pelumba Itali, Kimi Antonelli, yang kini mendahului kejuaraan bersama Mercedes, dijangka bermula dari belakang grid selepas dikenakan penalti susulan pertukaran unit kuasa.
Schumacher ‘kembali’ ke Monza menerusi rekaan khas Ferrari
DISYORKAN UNTUK ANDA :
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.