Messi hilang semangat untuk terus bermain

Messi hilang semangat untuk terus bermain
MESSI pernah menitiskan air mata selepas menjaringkan gol ketika menentang Algeria. FOTO AFP

Buenos Aires: Lionel Messi mengakui mempunyai ‘keraguan serius’ untuk meneruskan karier bola sepak lebih lama selepas kematian bapanya, Jorge Messi, minggu lalu.

Bintang Argentina berusia 39 tahun itu berkata, kehilangan bapanya yang juga ejennya sejak awal karier menyebabkan dia tidak pasti bagaimana mahu meneruskan kehidupan tanpa insan penting itu di sisinya.

“Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan tanpa kamu, saya tidak tahu bagaimana untuk meneruskannya. Saya hanya bermain bola sepak dan kini saya mempunyai keraguan serius untuk terus bermain lebih lama,” kata Messi menerusi media sosial.

Kontrak Messi bersama kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami masih berbaki sehingga penghujung musim 2028.

Messi turut mengimbas bulan-bulan terakhir kehidupan bapanya yang berlaku ketika kempen Piala Dunia 2026.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Pasar Sejahtera Rakyat Perak Bantu Ringankan Kos Sara Hidup

“Saya sering memberitahu kamu bahawa kami akan sampai ke final supaya kamu boleh datang menyaksikannya.

“Kami berjaya sampai ke final tetapi kamu tidak dapat berada di sana. Saya mahu memenanginya untuk diberikan kepada kamu dan menunjukkan trofi baharu kepada kamu.

“Saya cuba melepasi had fizikal kali ini tetapi tidak mampu. Kaki saya sudah tidak berdaya. Saya tidak pernah berasa betul-betul cergas,” katanya.

Messi membuat kenyataan itu buat kali pertama selepas Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol pada final Piala Dunia di New Jersey.

Pemenang lapan kali Ballon d’Or itu turut menegaskan betapa besar peranan bapanya dalam kehidupan dan kariernya.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Belanjawan: Setiap Perancangan, Peruntukan Mesti Sampai Kepada Rakyat – Wan Rosdy

“Kamu adalah seorang bapa, sahabat dan ejen. Kamu sentiasa menjadi insan yang saya perlukan pada setiap ketika dan kamu tidak pernah melakukan kesilapan,” katanya.

Ketiadaan Jorge pada Piala Dunia Jun lalu turut mencetuskan perhatian, dengan keluarga Messi sebelum ini meminta media memberikan ruang dan “kemanusiaan” susulan khabar angin mengenai kesihatannya.

Messi pernah menitiskan air mata selepas menjaringkan gol ketika menentang Algeria dalam aksi kumpulan dan mengakui ketika itu dia berdepan “situasi di luar bola sepak”.

Pada Ahad lalu, Messi memberi penghormatan terakhir kepada bapanya dalam upacara tertutup bersama keluarga terdekat serta beberapa rakan sepasukan Argentina di Perez, berhampiran Rosario.

Punca kematian Jorge, 68, tidak didedahkan, namun media tempatan melaporkan beliau sebelum ini menghidap kanser.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

80 Peratus RUU Akta MARA Baharu Perketat Tadbir Urus MARA

 

 

 

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker