80 Peratus RUU Akta MARA Baharu Perketat Tadbir Urus MARA

80 Peratus RUU Akta MARA Baharu Perketat Tadbir Urus MARA

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Sebanyak 80 peratus kandungan Rang Undang-Undang (RUU) Akta MARA baharu yang bakal dibentangkan di Parlimen memberi tumpuan kepada usaha memperketat struktur tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu merupakan antara usaha penting untuk memastikan MARA sebagai institusi yang menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera terus diurus secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti.

Menurut beliau, sebaik sahaja dilantik sebagai Pengerusi 8 pada 10 Mac 2023, beliau mengambil langkah menubuhkan Pasukan Khas bagi menilai serta memperbaiki tadbir urus korporat dan tatakelola kewangan MARA.

“Pasukan Khas ini diketuai oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim, susulan banyak maklum balas yang diterima ketika itu berhubung pelbagai isu berkaitan kelemahan tadbir urus MARA sebelum ini,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata antara isu yang dikenal pasti termasuk pembelian aset luar negara di Australia dan United Kingdom antara 2012 hingga 2014 yang menyebabkan anak syarikat MARA Corp., MARA Inc mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM286.30 juta bagi tempoh 2012 hingga 2022.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

RCI Tak Kaitkan Pemimpin BN Dengan ‘Sakau’ TH, Manndzri Tempelak Tuduhan PH


Selain itu, katanya, isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW) sekitar 2016 hingga 2017 turut menjadi antara kontroversi besar berkaitan tadbir urus MARA sehingga membawa kepada penggantungan Pengerusi MARA ketika itu.

“Turut dikenal pasti ialah kerugian jutaan ringgit melibatkan pelbagai projek di bawah MARA tanpa pihak yang dipertanggungjawabkan, kelemahan dalam pengurusan kutipan hutang pinjaman serta isu kartel yang menguasai tender-tender perolehan MARA termasuk tender makanan bernilai puluhan juta ringgit.

“Banyak lagi isu lain yang semuanya berkait dengan kelemahan struktur asas tadbir urus institusi dan tatakelola yang lemah,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, hasil dapatan Pasukan Khas berkenaan telah dibentangkan secara berperingkat kepada pihak berkaitan dan tindakan segera dilaksanakan bagi memperkukuh pengurusan MARA.

Antara langkah yang diambil ialah memperketat disiplin kewangan semua bahagian dalam MARA, melaksanakan audit forensik terhadap anak-anak syarikat MARA serta menyelaraskan Audit Dalaman MARA dan MARA Corp secara berpusat.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Tabung Haji Bukan Tempat Bermain Kuasa, BN Tuntut Akauntabiliti Tegas – Ir Hasni


“Bahagian perolehan MARA turut dirombak, selain mewujudkan sistem pelaporan dan penyediaan laporan prestasi kewangan bulanan oleh pengurusan kepada Majlis MARA mengikut piawaian antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, usaha memperkukuh tadbir urus itu kemudiannya membawa kepada persetujuan Majlis MARA untuk menyediakan draf Akta MARA baharu bagi menggantikan Akta MARA 1966 yang telah berusia hampir 60 tahun.

Beliau berkata draf RUU Akta MARA 2026 itu dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum hujung tahun ini selepas mendapat kelulusan dasar Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lalu.

Antara intipati utama RUU berkenaan, katanya, ialah pengurangan kuasa Pengerusi MARA yang selepas ini akan memberi fokus kepada tanggungjawab mempengerusikan Lembaga Pengarah atau Majlis serta menentukan perkara berkaitan dasar.

“Ini berbeza dengan Akta MARA 1966 yang memberikan kuasa besar kepada Pengerusi sehingga melangkaui kuasa eksekutif pengurusan,” katanya.

Selain itu, RUU baharu berkenaan turut memperjelas pengasingan kuasa antara Lembaga dengan pengurusan MARA, menetapkan kriteria pelantikan berasaskan fit and proper criteria bagi ahli Lembaga serta mengehadkan tempoh perkhidmatan.

Asyraf Wajdi berkata, aspek tatakelola kewangan dan perolehan juga akan diperketatkan supaya memenuhi piawaian nasional dan antarabangsa.

Beberapa jawatankuasa Lembaga turut diwajibkan diwujudkan, antaranya Jawatankuasa Audit MARA, Jawatankuasa Pelaburan MARA, Jawatankuasa Kewangan dan Tadbir Urus MARA serta Jawatankuasa Risiko MARA.

“Buat pertama kali juga Jawatankuasa Syariah diwujudkan bagi memastikan segala aspek operasi MARA mematuhi prinsip Syariah,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, RUU Akta MARA baharu itu turut merangkumi pelbagai aspek penting berkaitan amalan tadbir urus yang baik yang sebelum ini tidak dinyatakan dengan jelas dalam Akta MARA 1966.

“Boleh dikatakan Akta baharu yang dicadangkan ini, 80 peratus adalah berkenaan dengan tadbir urus korporat MARA yang tidak pernah dibincangkan pada era 60-an,” katanya.

Beliau berkata pembaharuan tersebut amat penting bagi memastikan MARA mempunyai struktur pengurusan yang lebih kukuh, telus dan bertanggungjawab dalam menguruskan amanah serta sumber kewangan institusi.

“Semua ini dilaksanakan agar tiada lagi kes dan insiden yang terkait dengan salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus, penyelewengan, penyimpangan, ketirisan mahupun keborosan yang boleh berlaku dan berisiko mengakibatkan kemudaratan besar kepada institusi terbesar yang bertanggungjawab menjaga kepentingan Melayu dan Bumiputera negara ini,” katanya. – UMNO Online

DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

RCI TH: Ahmad Zahid Seru Cari Kebenaran, Henti Polemik

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker