RCI: Jangan Jadikan Tabung Haji Mangsa Polemik Politik – Siti Aminah

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Jangan biarkan kemelut dan polemik berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mencalarkan keyakinan rakyat terhadap institusi amanah umat Islam itu, tegas Ahli Parlimen Beaufort Datuk Siti Aminah Aching.
Beliau berkata, Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan, sebaliknya merupakan institusi amanah yang telah dibangunkan lebih enam dekad bagi membantu umat Islam membuat simpanan untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
Katanya, Tabung Haji juga merupakan antara kejayaan Malaysia dalam pengurusan haji sehingga modelnya mendapat pengiktirafan dan menjadi rujukan negara-negara Islam lain.
“Jangan sampai institusi yang menjadi kebanggaan umat Islam ini terjejas akibat permainan politik.
“Tabung Haji adalah amanah milik jutaan pendeposit rakyat Malaysia yang menyimpan dengan satu cita-cita yang suci untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima,” katanya ketika membahaskan Laporan RCI berkaitan Lembaga Tabung Haji di Dewan Rakyat, hari ini.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- RM1 Juta Telah Disumbangkan Kepada Tabung Kasih Johor-Palestin
- ICQS Serikin Jadi Penanda Aras Perkasa Pengurusan Sempadan Pengkalan Hulu
S. Leza Buktikan Keprihatinan, Terus Dekati Masyarakat Pilah
Siti Aminah berkata, apa juga isu yang dibangkitkan berhubung Tabung Haji perlu dilihat secara adil, menyeluruh dan berasaskan kepentingan pendeposit, bukannya dijadikan bahan untuk membina naratif politik sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, rakyat bukan sahaja mahu mengetahui kedudukan kewangan Tabung Haji, tetapi turut mahu melihat sejauh mana institusi berkenaan mampu melindungi simpanan mereka, memberikan pulangan yang munasabah serta membantu meringankan beban kos menunaikan haji.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Laporan RCI yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 14 Disember 2022 tidak dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen pada ketika itu, sebaliknya kembali menjadi polemik politik.
“Persoalan saya mudah, jika laporan RCI ini telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 14 Disember 2022, mengapa ia tidak dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen pada ketika itu?
“Mengapa isu ini kembali menjadi polemik ketika Pilihan Raya Negeri?” soalnya.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Johor Keluarkan Duit Negeri Untuk Bantu Sistem Kesihatan Persekutuan
- UMNO Perkukuh Kesatuan Saf, Bina Keyakinan Rakyat
UMNO Labuan Dekati Gen Z, Perkukuh Agenda Khidmat Untuk Rakyat
Dalam pada itu, Siti Aminah menegaskan bahawa Tabung Haji perlu dinilai berdasarkan mandat dan model operasinya yang berbeza daripada bank komersial.
Katanya, Tabung Haji mengurus simpanan umat Islam dan pelaburan patuh syariah bagi tujuan haji, justeru penilaian terhadap prestasi institusi itu perlu mengambil kira fungsi serta tanggungjawab khususnya kepada pendeposit.
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai manfaat yang diterima rakyat selepas penstrukturan semula Tabung Haji, termasuk kadar hibah dan kos menunaikan haji yang perlu ditanggung jemaah.
“Rakyat berhak bertanya, apakah ukuran sebenar kejayaan Tabung Haji?
“Adakah hanya melihat kepada ukuran rizab dan nilai aset yang dimiliki? Atau kita juga perlu melihat sejauh mana Tabung Haji mampu meringankan kos jemaah, melindungi simpanan pendeposit dan memastikan rakyat berkemampuan menunaikan Rukun Islam kelima?” katanya.
Siti Aminah turut meminta penjelasan menyeluruh berhubung aset Tabung Haji yang dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), termasuk hasil, keuntungan atau pulangan yang dijana daripada aset berkenaan selepas pemindahan.
Katanya, penelitian dan audit tidak seharusnya terhenti pada tempoh 2014 hingga 2020 sahaja, sebaliknya perlu meliputi perkembangan selepas penstrukturan termasuk struktur sukuk, pembayaran balik, penjadualan semula serta kedudukan kewangan UJSB.

“Kita perlu melihat keseluruhan rantaian transaksi: aset LTH dipindahkan kepada siapa, pada nilai berapa, apa yang diterima oleh LTH, bagaimana aset itu diurus selepas pemindahan, berapakah hasil yang dijana, siapa yang menerima manfaatnya dan apakah kedudukan kewangan UJSB hari ini.
“Saya mohon supaya perkara ini diberi perhatian serius dan UJSB turut diaudit secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, segala persoalan itu perlu dijawab bukan untuk menimbulkan keresahan, tetapi bagi memastikan pendeposit mendapat gambaran yang jelas tentang kedudukan aset dan kewangan Tabung Haji.
Siti Aminah pada masa sama turut membangkitkan mekanisme rayuan haji, terutama apabila terdapat rakyat yang rayuannya diluluskan tetapi kemudiannya perlu berdepan kos yang tinggi.
Katanya, rayuan haji bukan semestinya dibuat kerana seseorang itu mahu mendapatkan tempat lebih awal, tetapi ada yang terpaksa membuat rayuan kerana mahu menunaikan haji bersama ibu bapa, pasangan atau anak-anak yang telah menerima tawaran terlebih dahulu.
Justeru, katanya, prinsip keadilan dan kemampuan rakyat perlu menjadi antara pertimbangan dalam mekanisme rayuan haji.
Siti Aminah juga menyeru semua pihak supaya bersama-sama mempertahankan Tabung Haji sebagai institusi amanah umat Islam dan tidak membiarkan polemik politik menjejaskan kepercayaan rakyat.
“Marilah kita bersama-sama mempertahankan institusi ini, memperkukuh tadbir urusnya dan memastikan setiap aset serta hasil yang dijana benar-benar memberi manfaat kepada para pendeposit dan rakyat Malaysia.
“Jangan biarkan kemelut dan polemik hari ini mencalarkan keyakinan rakyat terhadap Tabung Haji.
“Sebaliknya, marilah kita memastikan Tabung Haji terus menjadi institusi yang kukuh, amanah dan diyakini, agar cita-cita rakyat untuk menjadi tetamu Allah dapat terus direalisasikan,” katanya lagi. – UMNO Online
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- ‘Tak Banyak Alasan’, Teruskan Khidmat Bersama Rakyat – Tengku Adnan
- Mandat Rakyat Bukan Barang Dagangan, Jangan Dipermainkan – Mohd Razlan
- Kerajaan Tempatan Johor Fokus Permudah Urusan, Tingkat Kualiti Hidup Rakyat
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Tabung Haji Bukan Tempat Bermain Kuasa, BN Tuntut Akauntabiliti Tegas – Ir Hasni
You must be logged in to post a comment.