Mandat Rakyat Bukan Barang Dagangan, Jangan Dipermainkan – Mohd Razlan

Mandat Rakyat Bukan Barang Dagangan, Jangan Dipermainkan – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Mandat yang diberikan rakyat kepada wakil rakyat bukanlah sesuatu yang boleh dipermainkan, apatah lagi ditinggalkan sesuka hati tanpa alasan munasabah serta penjelasan kepada pengundi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, menegaskan bahawa setiap individu yang dipilih ke Parlimen memikul amanah besar daripada rakyat dan seharusnya mempunyai komitmen untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut sehingga tamat tempoh yang telah diberikan.

Katanya, keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat bukan perkara kecil kerana ia bukan sahaja melibatkan kedudukan seseorang individu, tetapi turut menyentuh mandat serta kepercayaan yang telah diberikan oleh pengundi.

“Amat mudah bagi sesetengah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat meletakkan jawatan. Tanpa alasan yang munasabah, tanpa penjelasan kepada pengundi, mereka meninggalkan amanah sesuka hati.

“Ini bukan perkara kecil dan tidak seharusnya dinormalisasikan,” katanya menerusi satu kenyataan berkaitan hal terbabit.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

UMNO Labuan Dekati Gen Z, Perkukuh Agenda Khidmat Untuk Rakyat


Menurut Razlan, walaupun Barisan Nasional (BN) bukan sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), perkara berkaitan disiplin dan amanah kepada rakyat tetap menjadi pegangan yang perlu dihormati oleh setiap wakil rakyat.

Beliau berkata, wakil rakyat yang telah memberikan komitmen untuk terus berkhidmat sehingga tamat penggal Parlimen perlu berpegang kepada janji tersebut, walaupun berdepan tekanan serta cabaran politik.

“Apabila kami berjanji untuk kekal berkhidmat sehingga tamat penggal Parlimen, janji itulah yang kami akan pegang.

“Meskipun berdepan pelbagai tekanan politik, wakil rakyat BN tetap menjalankan amanah demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata, kedudukan sebagai wakil rakyat tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut keistimewaan, peruntukan atau kemudahan yang diterima.

 


DISYORKAN UNTUK ANDA :

21 Kerusi BN Melaka Harus Dipertahankan Atas Amanah – Nurul Amirah


Sebaliknya, katanya, seseorang wakil rakyat mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar untuk memastikan suara rakyat yang diwakilinya dibawa ke Dewan Rakyat serta diperjuangkan melalui saluran yang sewajarnya.

“Menjadi wakil rakyat bukan sekadar menerima dan bergantung kepada wang peruntukan semata-mata.

“Mereka wajib bersuara, memperjuangkan nasib rakyat yang diwakili serta membahaskan setiap dasar dan polisi yang dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, rakyat memilih seseorang wakil rakyat berdasarkan mandat yang diberikan melalui proses demokrasi dan mandat tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai hak peribadi individu yang memegang kerusi berkenaan.

Menurutnya, seseorang wakil rakyat perlu memahami bahawa kerusi Parlimen yang disandang adalah hasil kepercayaan pengundi dan bukannya milik peribadi yang boleh ditentukan nasibnya mengikut kepentingan politik semasa.

“Harus diingat, kerusi Ahli Parlimen bukan milik individu. Kerusi itu ialah amanah rakyat.

“Meletakkan jawatan dengan sewenang-wenangnya bererti mempermainkan mandat serta mengkhianati kepercayaan rakyat,” tegasnya.

Razlan berkata, prinsip tersebut amat penting dipertahankan kerana tindakan melepaskan jawatan tanpa penjelasan yang sewajarnya boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada wakil berkenaan.

Katanya, wakil rakyat tidak seharusnya hanya muncul ketika memerlukan sokongan rakyat, sebaliknya perlu terus berada bersama masyarakat serta melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sepanjang tempoh perkhidmatan.

Beliau menegaskan bahawa perbezaan pendirian politik, tekanan atau cabaran yang dihadapi tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang wakil rakyat melupakan tanggungjawab kepada pengundi.

“Rakyat mesti menolak wakil rakyat yang sanggup menggadaikan prinsip dan meninggalkan amanah sesuka hati. Mandat rakyat bukan barang dagangan. Amanah rakyat bukan permainan,” katanya.

Dalam pada itu, Razlan menekankan bahawa disiplin politik perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab kepada rakyat, khususnya apabila seseorang individu telah dipilih untuk membawa suara pengundi ke Parlimen.

Katanya, kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat memerlukan wakil rakyat yang mempunyai pendirian, prinsip serta kesungguhan untuk terus melaksanakan amanah walaupun berdepan pelbagai tekanan.

Beliau berkata, rakyat pada akhirnya mempunyai hak untuk menilai rekod, pendirian dan komitmen wakil rakyat yang mereka pilih.

“Mandat rakyat bukan untuk dipermainkan. Mereka yang menerima kepercayaan rakyat perlu menghormati mandat tersebut dan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya lagi. – UMNO Online

DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

S. Leza Buktikan Keprihatinan, Terus Dekati Masyarakat Pilah

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker