RCI TH: Ahmad Zahid Seru Cari Kebenaran, Henti Polemik

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji di Parlimen hari ini perlu dilihat sebagai ruang untuk memperjelaskan persoalan dan merungkai segala perkara berbangkit secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, setiap Ahli Parlimen telah diberikan ruang untuk mengemukakan pandangan, persoalan dan teguran berhubung laporan berkenaan agar isu yang menyentuh institusi besar umat Islam itu dapat dibincangkan secara terbuka berdasarkan fakta dan kebenaran.
“Saya mendengar dengan penuh teliti perbahasan-perbahasan mengenai Laporan RCI berkaitan Tabung Haji yang berlangsung di Parlimen, hari ini.
“Ruang telah dibuka untuk setiap persoalan diperbahaskan, diperjelaskan dan dirungkai dengan sebaik-baiknya oleh Ahli-Ahli Parlimen,” katanya menerusi hantaran di media sosial beliau hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, segala persoalan yang telah dibangkitkan di Dewan Rakyat sewajarnya menjadi asas kepada pemahaman yang lebih jelas, sekali gus mengelakkan tuduhan atau persepsi yang tidak bersandarkan kepada kebenaran.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- ‘Tak Banyak Alasan’, Teruskan Khidmat Bersama Rakyat – Tengku Adnan
- Mandat Rakyat Bukan Barang Dagangan, Jangan Dipermainkan – Mohd Razlan
- Kerajaan Tempatan Johor Fokus Permudah Urusan, Tingkat Kualiti Hidup Rakyat
Tabung Haji Bukan Tempat Bermain Kuasa, BN Tuntut Akauntabiliti Tegas – Ir Hasni
Jelas beliau, perbahasan tersebut juga diharapkan dapat menamatkan polemik berpanjangan yang sebelum ini mengelilingi Tabung Haji, sebaliknya membuka ruang kepada tindakan yang lebih konstruktif demi memastikan institusi itu terus kukuh.
“Mudah-mudahan selepas ini, tiada lagi pihak yang memilih untuk melemparkan tuduhan keterlaluan atau membina persepsi tanpa bersandarkan kebenaran,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, apa jua teguran yang membina perlu disusuli dengan tindakan penuh bertanggungjawab supaya Tabung Haji terus diyakini oleh umat Islam, khususnya para pendeposit yang meletakkan kepercayaan terhadap institusi berkenaan.
“Mana-mana teguran yang membina mesti disusuli dengan tindakan yang penuh bertanggungjawab, bagi memastikan institusi besar umat Islam ini terus kukuh, diyakini dan tidak lagi dibelenggu polemik yang berpanjangan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak agar menjadikan perbahasan mengenai RCI Tabung Haji sebagai landasan untuk mencari kebenaran dan memperkukuh institusi berkenaan, bukannya medan untuk memperbesarkan perbezaan atau mencetuskan polemik baharu.
Katanya, kepentingan pendeposit, kemaslahatan umat Islam dan kepentingan negara perlu terus menjadi keutamaan dalam setiap tindakan susulan berkaitan laporan tersebut.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kita kebijaksanaan dalam menilai, hikmah dalam berbicara dan keikhlasan dalam mencari kebenaran… demi kemaslahatan ummah dan kepentingan negara. Insya-Allah,” katanya. – UMNO Online
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Ibnu Rasyeed Teruskan Khidmat Bakti, Hargai Jasa Pejuang UMNO Terdahulu
- RCI: Jangan Jadikan Tabung Haji Mangsa Polemik Politik – Siti Aminah
- UMNO Labuan Perkasa Anak Muda, Peluang Serlah Potensi Masa Depan
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
RCI Tak Kaitkan Pemimpin BN Dengan ‘Sakau’ TH, Manndzri Tempelak Tuduhan PH
You must be logged in to post a comment.