Warisan Dato’ Onn dan Seruan Baharu Penyatuan Bangsa

Warisan Dato’ Onn dan Seruan Baharu Penyatuan Bangsa

Warisan Dato’ Onn dan Seruan Baharu Penyatuan Bangsa
Dato’ Onn Jaafar

Dalam sejarah perjuangan tanah air, nama Dato’ Onn Jaafar sentiasa dikenang sebagai seorang pemimpin yang berani mendahulukan kepentingan bangsa dan negara melebihi kepentingan diri serta kelompok politik. Beliau muncul bukan sekadar untuk memimpin sebuah gerakan, tetapi membawa satu gagasan besar yakni hasrat menyatukan rakyat demi masa depan negara yang lebih kukuh dan bermaruah.

Apa yang menjadikan Dato’ Onn begitu istimewa bukan hanya kerana keberaniannya menentang penjajahan atau membina kekuatan politik Melayu pada zamannya, tetapi kerana beliau memahami bahawa sesebuah bangsa tidak akan mampu bertahan jika terus berpecah akibat ego, dendam dan perebutan kuasa.

Beliau percaya perpaduan bukan slogan sementara, sebaliknya asas kepada kekuatan sebuah negara.

Hari ini, dalam suasana masyarakat yang semakin mudah terheret ke dalam perbalahan politik dan perpecahan sosial, semangat perjuangan seperti inilah yang semakin dirindui rakyat. Ramai melihat bangsa Melayu sedang melalui satu fasa yang mencabar, terlalu banyak perbezaan diraikan, tetapi terlalu sedikit usaha dilakukan untuk mencari titik persamaan.

Dalam keadaan itu, rakyat sebenarnya tidak mengharapkan lahirnya tokoh sempurna. Sebaliknya rakyat hanya mahu melihat keberanian baharu daripada pemimpin-pemimpin negara untuk kembali bercakap tentang penyatuan, tentang merapatkan saf, dan tentang masa depan generasi akan datang yang semakin terbeban dengan pelbagai cabaran kehidupan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Gerak Solo, Tawaran BN Johor Kestabilan Politik Asli – Najib


Sejarah telah mengajar bahawa perjuangan besar hanya akan berjaya apabila dipimpin dengan keikhlasan. Sesebuah bangsa akan menjadi kuat apabila pemimpinnya sanggup membuang ego demi menyelamatkan masa depan rakyat dan negara.

Itulah legasi paling besar yang ditinggalkan oleh Dato’ Onn.

Beliau pernah memilih jalan yang sukar demi mempertahankan prinsip perpaduan walaupun langkahnya tidak selalu difahami pada zamannya. Namun seorang pemimpin besar sentiasa berfikir melangkaui kepentingan politik semasa. Apa yang beliau fikirkan ketika itu ialah bagaimana rakyat di negara ini dapat hidup dalam suasana lebih bersatu dan stabil untuk jangka panjang.

Hari ini, nama besar Dato’ Onn masih hidup dalam ingatan rakyat dan terus diwarisi oleh generasi penerus dalam dunia politik negara. Namun warisan sebenar bukan terletak pada nama keluarga atau kedudukan, tetapi sejauh mana semangat perjuangan itu mampu diteruskan dalam bentuk tindakan.

Mungkin inilah masa terbaik untuk semua pihak, khususnya generasi pemimpin hari ini, merenung kembali apakah makna sebenar perjuangan politik. Adakah politik sekadar medan persaingan dan perebutan pengaruh, atau medan untuk menyatukan kekuatan bangsa demi menghadapi cabaran masa depan?


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Hayati Rukun Negara, Kenyataan Sultan Selangor Wajar Jadi Pedoman Semua Pihak


Rakyat hari ini sudah terlalu penat melihat politik yang dipenuhi pertelingkahan tanpa penghujung. Sedangkan di luar sana, generasi muda sedang memikirkan soal peluang pekerjaan, pendidikan, ekonomi dan kos sara hidup yang semakin menekan. Mereka mahu melihat pemimpin yang mampu membawa harapan, bukan sekadar menambah perpecahan.

Sebab itu, usaha memperkukuhkan perpaduan bangsa tidak boleh lagi dianggap sebagai agenda bermusim. Ia perlu menjadi gerakan yang lahir daripada kesedaran bahawa masa depan negara bergantung kepada sejauh mana rakyatnya mampu berdiri sebagai satu kekuatan.

Dalam konteks itu, sejarah perjuangan Dato’ Onn seharusnya menjadi cermin kepada semua pemimpin Melayu hari ini. Bahawa kekuatan sebenar bukan diukur pada siapa paling lantang atau paling berkuasa, tetapi siapa yang paling sanggup menyatukan manusia ketika keadaan sedang retak dan berpecah.

Barangkali mesej inilah yang paling penting untuk direnungkan oleh mereka yang mewarisi nama besar perjuangan itu hari ini — bahawa rakyat tidak menunggu nostalgia sejarah semata-mata, tetapi menunggu lahirnya keberanian untuk melakukan sesuatu demi bangsa dan negara.

Kerana nama besar tidak akan bermakna jika sekadar dikenang dalam buku sejarah. Nama besar hanya akan terus dihormati apabila semangat perjuangannya hidup dalam tindakan generasi seterusnya.

Jika dahulu Dato’ Onn bangkit menyedarkan bangsa dalam keadaan rakyat masih mencari arah untuk membina sebuah negara merdeka, maka cabaran generasi hari ini pula ialah memastikan bangsa ini tidak hilang arah akibat perpecahan yang berpanjangan.

Akhirnya, rakyat akan sentiasa menghormati pemimpin yang memilih untuk menyatukan, bukan memecahkan. Dan sejarah pula akan sentiasa mengingati mereka yang sanggup mengetepikan ego demi masa depan bangsa dan negara.

DATUK ZAKARIA DULLAH
Penaung Briged Negaraku
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam

Warisan Dato’ Onn dan Seruan Baharu Penyatuan Bangsa

 

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker