Sorok syabu RM10 juta dalam guni beras, seorang lelaki ditahan

Oleh – Syeikh Baran

Sorok syabu RM10 juta dalam guni beras, seorang lelaki ditahan

Taktik seorang lelaki warga tempatan menyembunyikan bungkusan dadah jenis syabu di dalam guni beras untuk mengaburi mata pihak polis, tidak berhasil apabila dia diberkas di kawasan parkir restoran makanan segera di sini pada Sabtu.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV pada jam 8.38 malam.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menjumpai 15 guni yang didalamnya mengandungi 20 bungkusan dadah syabu seberat 315 kilogram anggaran nilai RM10 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini pada Khamis.

Kok Chin berkata, lelaki itu berperanan sebagai ‘runner’ dengan mendapat upah sebanyak RM10,000 untuk sekali penghantaran.

Kok Chin (tengah) menunjukkan bungkusan dadah syabu yang dirampas.
Kok Chin (tengah) menunjukkan bungkusan dadah syabu yang dirampas.
 

“Modus operandi sindiket dadah yang aktif sejak awal tahun ini adalah menjadikan kenderaan sebagai tempat untuk menyimpan dadah, sebelum diedarkan kepada pembeli di kawasan Lembah Klang.



“Dadah itu dipercayai diseludup dari negara jiran melalui pantai timur. Jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 1.58 juta penagih dadah,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan kes dadah dan jenayah.

“Suspek direman enam hari bermula Ahad hingga Jumaat bagi membantu siasatan.



“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kok Chin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk diheret ke pengadilan.

“Kita bertekad untuk memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN ditalian 012-2087222,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker