Kanak-kanak 7 tahun, ibu melecur rumah terbakar
Oleh – Syeikh Baran
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dan ibunya melecur tahap dua selepas rumah yang didiami mereka terbakar 90 peratus di Kampung Bukit Gedung, Tanjung Kling, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 pagi itu, dua beranak berkenaan dilaporkan melecur di bahagian kaki serta tangan dan dikejarkan ke Hospital Melaka oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
Komander Operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Tangga Batu, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamed Azuani Mat Yusuf berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima pada pukul 9.48 pagi.
Ujarnya, seramai 16 pegawai dan anggota, yang turut melibatkan pasukan bantuan daripada BPP Cheng dikejarkan ke lokasi bersama-sama dua jentera dan EMRS.
“Terdapat seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun serta ibunya 36 tahun mengalami kecederaan melecur tahap dua dan dihantar ke hospital oleh pasukan EMRS,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, kebakaran turut melibatkan dua buah motosikal masing-masing jenis Yamaha Y15 dan Honda EX5.
“Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 12.17 tengah hari tadi. Setakat ini punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE