Lelaki Orang Asli maut dibaham harimau: PERHILITAN gerak anggota kesan, periksa lokasi tragedi

Lelaki Orang Asli maut dibaham harimau: PERHILITAN gerak anggota kesan, periksa lokasi tragedi

Lelaki Orang Asli maut dibaham harimau: PERHILITAN gerak anggota kesan, periksa lokasi tragedi
Laporan BH Online mengenai kejadian seorang lelaki Orang Asli maut, dipercayai akibat diserang harimau belang di Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput (U), Perak, semalam.

PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak menggerakkan anggotanya ke Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput (U) selepas menerima aduan seorang lelaki Orang Asli maut, dipercayai diserang harimau belang semalam.

Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan, pasukan berkenaan akan menjalankan usaha pencarian, mendapatkan maklumat awal, melaksanakan pemeriksaan di lokasi serta menjalankan siasatan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian.

Operasi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat.

“Berdasarkan maklumat dan pemerhatian awal di lokasi, mangsa, seorang lelaki berusia 43 tahun ditemui di kawasan berhampiran jalan balak.

“Pemerhatian awal turut mendapati terdapat kesan pergelutan di lokasi yang dipercayai berkait dengan kejadian, manakala jarak antara lokasi kesan pergelutan dengan lokasi penemuan mangsa dianggarkan kira-kira 200 meter,” menurut kenyataan itu.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Bantuan Makanan Ringankan Beban Mangsa Banjir Kuala Bil


Dalam kejadian semalam, Zamberi Angah, 42, dilaporkan maut, dipercayai akibat diserang harimau ketika mencari rotan bersama rakan di kawasan Hutan Simpan Korbu, berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor.

“Sebarang kesimpulan lanjut akan dibuat berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh di lapangan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pasukan PERHILITAN melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan kejadian, termasuk mengenal pasti tanda kehadiran harimau belang, mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat serta memasang perangkap di kawasan dikenal pasti sesuai.

“PERHILITAN memandang serius kejadian ini kerana melibatkan aspek keselamatan dan nyawa penduduk setempat.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Ekonomi Malaysia Berkembang Positif Dalam Era Ketidaktentuan Geopolitik Global

“Kerjasama dan penyelarasan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), PDRM, pihak berkuasa negeri serta komuniti setempat akan terus diperkukuh bagi memastikan langkah keselamatan dan pengurusan konflik manusia-hidupan liar dapat dilaksanakan secara berkesan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, PERHILITAN menasihatkan penduduk di kawasan berhampiran supaya meningkatkan tahap waspada dan mengelak memasuki kawasan hutan atau kawasan dikenal pasti mempunyai tanda-tanda kehadiran harimau belang, khususnya secara bersendirian.

Jabatan itu turut menasihatkan orang awam tidak menghampiri, mengejar, menangkap atau mengambil sebarang tindakan sendiri terhadap harimau yang mungkin dikesan.

Orang ramai diminta segera melaporkan sebarang penampakan atau tanda kehadiran harimau belang melalui talian 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi jabatan.

Lelaki Orang Asli maut dibaham harimau: PERHILITAN gerak anggota kesan, periksa lokasi tragedi


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Tabung RM50 Juta Bukan Sekadar Sumbangan, Tanda Solidariti Buat Najib

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker