Hukum bawa anak ke masjid
Hukum bawa anak ke masjid
Masjid memiliki kedudukan yang sangat istimewa dan penting dalam Islam. Pada zaman Nabi s.a.w. segala urusan pentadbiran dan kenegaraan termasuklah urusan ketenteraan dijalankan di masjid.
Hari ini walaupun peranan masjid sudah berubah dan hanya menjadi medan dakwah dan tempat beribadah bagi umat Islam, namun memakmurkan masjid adalah satu kewajipan kepada semua umat Islam. Dan kerana itulah ada dikalangan umat Islam yang hadir ke masjid membawa anak-anak kecil dengan tujuan mendidik mereka untuk mencintai dan memakmurkan masjid.
Walau bagaimanapun agak kecoh seminggu dua ini terutama apabila ada anak-anak yang dibawa ke masjid ini berkelakuan agak melampau dengan mengganggu solat yang sedang dilakukan jemaah seperti yang viral di dalam media sosial.
Dalam video pertama kelihatan seorang anak kecil menarik kerusi yang digunakan oleh seorang jemaah solat sehingga menyebabkan jemaah itu jatuh terduduk. Manakala dalam video yang lain menunjukkan seorang anak kecil memanjat di atas bahu jemaah wanita sedang duduk antara dua sujud dan juga memukul kepala jemaah wanita yang lain.
Perbuatan anak-anak kecil ini dilihat keterlaluan sehingga ada dalam kalangan warga maya yang berpendapat anak-anak kecil tidak sepatutnya dibawa ke masjid. Malah ada juga yang mengharamkan mereka daripada hadir ke rumah Allah dengan asbab mengganggu jemaah untuk khusyuk dalam solat. Jadi persoalannya wajarkah anak-anak kecil dibawa ke masjid?
Dua pandangan
Tidak dinafikan dalam sejarah Islam kanak-kanak kecil telah dibawa ke masjid dengan tujuan untuk mendedahkan mereka dengan persekitaran masjid supaya subur rasa cinta untuk mengimarahkan masjid apabila meningkat dewasa. Namun kanak-kanak yang bagaimana dibenarkan untuk hadir ke masjid?
Dalam hal ini para ulama berselisih pendapat kepada dua iaitu pertama kanak-kanak tidak diharuskan untuk dibawa ke masjid jika dikhuatiri kemungkinan besar kanak-kanak tersebut akan mencemarkan masjid dan bermain-main. Pendapat ini dipersetujui oleh sebahagian fuqaha Hanafi dan Hanbali.
Manakala pendapat kedua dari fuqaha Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali mengharuskan kanak-kanak mumayyiz hadir dan dibawa ke masjid. Dan jika belum mumayyiz mereka tidak digalakkan untuk dibawa jika tiada keperluan atau kemudaratan bagi menjaga kesucian masjid.
Adapun dalil kepada kepada pandangan pertama berdasarkan firman Allah dalam surah Nur: 36 Allah berfirman,
“Di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya, di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”
Dalam riwayat lain daripada Wathilah bin al-Asqa’ r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Jauhkanlah masjid-masjid kamu daripada kanak-kanak, orang gila, berjual beli, pergaduhan, kebisingan, perlaksanaan hukum hudud dan penghunusan pedang. Letakkanlah pintunya tempat bersuci dan harumkanlah masjid itu pada hari-hari Jumaat” (HR Ibn Majah)
Imam Hajar al-Asqalani, menghukumkan hadis ini berstatus dhaif.
Sementara itu bagi pandangan kedua yang mengharuskan anak kecil hadir ke masjid ia bersandar kepada hadis dari Qatadah r.a bahawa,
“Nabi s.a.w. mengimami solat sambil mendukung Umamah yang merupakan anak perempuan Abi al-As dan Zainab binti Rasulullah s.a.w. Baginda meletakkannya apabila rukuk dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula” (HR Muslim)
Walau bagaimanapun para ulama menambah keharusan membawa kanak-kanak ke masjid ini secara khusus kepada kanak-kanak melebihi usia mumayyiz kerana mereka dianjurkan untuk dididik dengan mengerjakan solat berdasarkan hadis Abdul Malik bin Rabi’ bahawa Nabi s.a.w. bersabda,
“Perintahkanlah kanak-kanak untuk mengerjakan solat apabila mencecah umur 7 tahun. Apabila dia berumur 10 tahun maka pukullah dia jika meninggalkannya” (HR Abu Daud)
Berdasarkan perbincangan di atas kita faham bahawa secara asasnya para ulama sepakat melarang kanak-kanak dibawa ke masjid jika kehadiran mereka boleh menyebabkan masjid tercemar sama ada kekotoran najis atau kebisingan.
Ini kerana masjid adalah tempat khusus melakukan ibadah. Najis, bising dan perlakuan melampau akan mengganggu ketenteraman serta bercanggah dengan maqasid masjid itu sendiri sebagai tempat suci untuk beribadah dan menyatukan masyarakat.
Akan tetapi permasalahan sebenarnya ini boleh diperhalusi lagi terutama pada zaman kini terdapat kemudahan tandas dan lampin pakai buang, jika najis itulah yang menjadi alasannya.
Manakala perlakuan bising atau perbuatan melampau yang menjadi alasan mengapa sebahagian ulama tidak membenarkan mereka dibawa ke masjid kerana itulah sifat semulajadi kanak-kanak. Maka menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak mereka tidak bertindak keterlaluan.
Adalah lebih baik jika sebelum dibawa atau didedahkan dengan persekitaran masjid, ibu bapa perlu terlebih dahulu mendidik anak-anak mereka di rumah tentang adab ketika berada di dalam masjid. Pastikan anak-anak mereka sudah memahami dengan jelas tatacara solat, bagaimana pergerakan, bacaan, akhlak dan adab ketika di masjid barulah mereka dibawa.
Kita tidak mahu dengan asbab perbuatan kanak-kanak kecil yang diluar kawalan nanti menyebabkan jemaah solat terganggu ibadahnya, ibu bapa dan para jemaah lain saling bersengketa, anak-anak kecil menjauh dengan masjid dan masjid menjadi suram.
Secara kesimpulannya hukum membawa kanak-kanak kecil ke masjid dilihat dalam dua keadaan iaitu pertama, jika seorang kanak-kanak itu sudah mumayyiz dan boleh beradab maka diharuskan dan sangat digalakkan untuk dibawa ke masjid.
Kedua, jika kanak-kanak itu belum mumayyiz dan sukar dikawal tingkah lakunya, maka sebaiknya tidak dibawa ke masjid kecuali jika terdapat keperluan mendesak maka diharuskan membawa dengan syarat ibu bapa perlu memantau tingkah laku anak-anak mereka. Wallahu a’lam Utv
Hukum bawa anak ke masjid
Baca Artikel Menarik:
- Stimbot meletup, tujuh beranak menggelupur tubuh badan melecur
- King Sing tidak ada hak desak UMNO tekan Akmal
- Akmal pertahankan hak Islam bukan main politik – KIMMA
- Disiplinkan anak sebelum bawa berjemaah di masjid – Fedtri
- Ibu menangis, Zizan hadiahkan kereta Mercedes Benz GLC300 (Video)
- Ustazah Nurul maut kereta rempuh tiang elektrik
- Kualiti makanan Bazar Ramadan makin teruk?
- Pembekal stoking minta maaf lagi, naikkan kain rentang
- Hinalah, kami ibu bapanya sampai liang lahad – ibu Aliff Aziz
- Penyamun maut dilanggar kereta mangsa
- Saya tak perlu persetujuan DAP untuk pertahankan Islam – Dr Akmal
- Kalau dah ganggu jemaah lain , elok jangan dibawa ke masjid – Dr Zulkifli
- Solat tarawih hanya membaca al-Fatihah?
- Kecewa dengan kerajaan, Jasmine Suraya jual kereta
- Bukan Rafizi saja ada formula, Rosyam pun ada
Layari Laman Facebook MYKMU.NET