Zahid serik seserik-seriknya
Zahid serik seserik-seriknya
Oleh Hishamuddin Aun
Lama juga jawaban Zahid Hamidi dinanti-nantikan. Kesudahannya, kata-kata presiden Umno itu boleh dimengertikan sebagai pintu rundingan dengan PAS untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) sudah dihempas hingga tertutup rapat.
Dihempas dan bukannya ditutup perlahan-lahan harus gambaran lebih tepat jika boleh dibayangkan betapa terhiris dan sakit hatinya dipermain dan diperdayakan PAS hingga menimbulkan rasa serik yang tidak boleh diubah-ubah lagi.
Menyebut rentetan pelbagai isu menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam akhir-akhir ini, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, pada 16 Feb lalu berkata beliau yakin ada perbincangan secara tidak langsung antara pimpinan PAS dengan Umno bagi menghidupkan semula MN. Di sebalik mendapat reaksi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi bahawa parti itu tidak mahu pisang berbuah dua kali, Hashim enggan berputus asa kerana akar umbi Umno didakwanya mahukan kerjasama kedua-dua parti diteruskan semula.
Hanya kelmarin barulah Zahid membuka mulut dengan mengatakan tawaran kerjasama daripada PAS itu dianggapnya tidak ikhlas sambil mengingatkan bahawa bukan sahaja parti itu yang keluar daripada MN, malah dalam proses itu turut menikam Umno dari belakang apabila PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu pada 2020. Umno membantah keras tindakan PAS itu kerana menganggap Bersatu pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.
Apa yang tidak dikata Zahid terhadap PAS sejak itu?
Parti hipokrit, munafik, talam dua muka, gila talak dan menikam dari belakang semuanya pernah diungkapkannya, seolah-olah tiada apa yang mampu mengubah tanggapan buruknya terhadap apa yang dipanggilnya parti ‘pak lebai’ itu yang didakwanya tidak setia dan tidak berpegang pada Piagam MN yang ditandatangani Umno dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur pada 14 Sept 2019.
Sebagai rekod, pelawaan Hashim itu bukan kali pertama PAS berura-ura mahu “rujuk” semula dengan Umno. Pada Disember lalu, timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menolak kerjasama dengan Umno di sebalik sejarah ‘pahit’ hubungan mereka. Ia susulan cadangan penyatuan untuk mengambil alih pentadbiran Putrajaya yang dibangkitkan Ahli MKT Umno Isham Jalil.
Apa reaksi Zahid ketika itu? Jawabannya bahawa Umno belum terbuka hati untuk kembali menjalinkan kerjasama turut terselit sindiran tajam dengan mengatakan PAS dilihat sebagai ‘gila talak’ apabila mempunyai bilangan kerusi terbanyak — parti tunggal terbesar dengan 43 kerusi di Dewan Rakyat — tetapi terus menjadi pembangkang.
“Mungkin ada pihak yang gila talak kerana dahulu mereka pernah berada di dalam kerajaan. Alangkah sakitnya apabila mereka mempunyai kerusi yang banyak tetapi terus jadi pembangkang,” katanya pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di Putrajaya pada 6 Disember 2023.
Lantaran itu, jawabannya menolak pelawaan Hashim Ahad lalu untuk menghidupkan semula MN sebagai tidak ikhlas harus bukan sesuatu yang mengejutkan, malah sudah boleh dijangkakan dari awal. Ia sama seperti reaksi terdahulu Puad yang awal-awal menegaskan partinya sudah “tutup buku” terhadap sebarang cadangan hidupkan semula MN. Walaupun mendahului ketuanya, Puad tahu tiada silap kenyataannya itu kerana Zahid sentiasa konsisten pendiriannya dalam soal berkenaan.
Ambil contoh satu ceramahnya menjelang PRK DUN Simpang Jeram pada Ogos tahun lalu apabila Zahid menyeru jentera Umno menghalang PAS daripada bertapak di Johor setelah serik untuk berbaik-baik dengan parti itu ketika bekerjasama dalam MN. PAS dianggapnya seperti buluh runcing yang sentiasa menikam dari belakang.
Kenyataan paling kerasnya terhadap PAS dibuat ketika Karnival Kerjaya Madani di Gombak menjelang PRU15 bahawa parti itu tidak pernah ikhlas.
“Umno dan BN telah cuba untuk bekerjasama dengan ‘Pak Lebai’ selama dua tahun. Kami (Umno) telah bekerja keras untuk menjayakan kerjasama dalam MN tapi kami ditikam dari belakang (oleh PAS). Mereka tidak ikhlas, munafik dan penuh pembohongan. Sebaliknya, rakan-rakan dalam Pakatan Harapan jauh lebih jujur. Kerana itulah kami perlu terus memperkuatkan kerajaan Madani,” katanya.
Zahid turut memberi contoh PRN Melaka (20 Nov 2021) dan PRN Johor (12 Mac 2022) apabila PAS menuntut sejumlah kerusi diberikan kepada parti itu.
“Kami sudah menimbangkan untuk memberikannya kepada mereka tapi kesudahannya kami tidak beri satu pun apabila kami dapat tahu mereka merancang suatu dengan ‘Abah’. Malulah sikit,” katanya merujuk kepada PAS bekerjasama dengan presiden Bersatu dan pengerusi PN Muhyiddin Yassin.
Itu juga menjadi titik tolak berakhirnya kerjasama Umno dengan PAS — bermula dengan PRN Melaka dan Johor yang seterusnya membawa ke PRU15 apabila Umno memilih untuk bertanding secara solo dan hanya menang 26 kerusi.
Tidak ikhlas seperti diungkapkan Zahid sebagai reaksinya kepada Hashim boleh ditafsirkan dengan pelbagai cara, antaranya pendedahan Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris bahawa sebarang rundingan oleh PAS untuk menghidupkan semula MN perlu dibincangkan pimpinan tertinggi PN tapi perkara itu tidak pernah dilakukan. Tidak terkecuali juga PAS mahu mempersiapkan diri memikat rakan baru ketika gabungannya bersama Bersatu dalam PN diibaratkan retak menanti belah.
Datangkanlah apa saja penafian mengenai ura-ura itu, termasuk yang terbaru Jumaat lalu daripada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan — bahawa kedua-dua pemimpin PAS dan Bersatu tidak pernah ada perbalahan — tapi ia tidak pun lari daripada apa yang pernah diramalkan Zahid sebelum ini.
Ditemui selepas sambutan ulang tahun Umno ke-77 di WTC Kuala Lumpur pada 11 Mei tahun lalu, Zahid menjangkakan gabungan PAS dan Bersatu dalam PN tidak akan bertahan lama, dengan menyifatkan hubungan kedua-duanya sebagai kahwin muta’ah.
“Kita mendengar bahawa ‘perkahwinan muta’ah’ (kontrak/sementara) politik itu pasti dalam bentuk sementara. Kita tunggulah apabila retak menjadi belah,” katanya.
Umpama keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah disifatkan PAS sebagai sejarah hitam kepada umat Islam dan undang-undang syariah, tidak menghairankan jika parti itu selepas ini menafsirkan pendirian Zahid itu sebagai menolak pentingnya perpaduan ummah.
Pada 15 Feb lalu, Ahli Parlimen Arau dari PN Shahidan Kassim dipetik berkata beliau percaya bahawa penghalang kepada kerjasama Umno-PAS adalah kepimpinan tertinggi Umno, terutama Zahid, di sebalik ia sentimen itu tidak dikongsi oleh pimpinan dan ahli di peringkat akar umbi.
“Kalau dilihat politik di peringkat akar umbi kita akan dapat sokongan yang luar biasa (terhadap kerjasama dalam MN). Yang tidak mahu kawan (MN) itu kebanyakannya Ahli Parlimen dan yang ada jawatan utama dalam parti,” katanya seperti dilaporkan Majoriti.
Ia tidak pun berbeza dengan kenyataan Ahli Majlis Syura Ulama PAS Mahfodz Mohamed pada 31 Ogos 2023 bahawa PAS yakin Umno akan bersama mereka dan Bersatu apabila Zahid tidak lagi menjadi presiden parti Melayu terbesar itu.
Jika Shahidan dan Mahfodz berada di tempat Zahid yang berasa serik dan sakitnya ditikam dari belakang, apakah mereka tidak boleh memahami?
FMT
Zahid serik seserik-seriknya
Baca Artikel Menarik:
- Pemandu dipukul mati sah positif dadah
- Bekas setiausaha sulit kanan Menteri Pelancongan diperintah bela diri terima suapan
- ‘Ibu ayam’ paksa budak 11 tahun melacur ditahan
- Zarina Zainuddin nak ‘azan’ telinga penyondol
- Malaysia desak Israel undur, bayar pampasan penuh kepada Palestin
- Setiap kali bergerak, saya akan dihentak, ditendang tentera Israel
- Mahathir berisiko ditahan jika tak sertai RCI Batu Puteh bila dipanggil
- Masalah Hadi-Muhyiddin masih tak selesai walau jumpa 2 kali
- Keluarga pemandu dipukul mati tuntut keadilan
- Kucing kayangan disamun, pemilik ditetak
- Doktor dituduh amang seksual 6 pesakit kanak-kanak
- ‘Sugar baby’ berpakaian mewah bernilai RM176k (Video)
- Harta Mokhzani terlalu banyak, lanjutan masa wajar diberikan – Azam
- Puad sedia berdepan Rafizi
- Masalah Hadi-Muhyiddin masih tak selesai walau jumpa 2 kali
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.