Hamdan Senario minta usah ditidurkan sebab nak jumpa peminat – isteri

Hamdan Senario minta usah ditidurkan sebab nak jumpa peminat – isteri

JOHOR BAHRU: Biarpun sakit, Hamdan Ramli, 54, bersemangat dan teruja untuk beraksi bersama anggota Senario pada acara Wonderful Night With Senariounion di sebuah hotel di Johor Bahru, Johor, sempena ambang 2024, malam tadi.

Bagaimanapun, isteri Hamdan, iaitu Norhamalini Ahmed, 53, terpaksa memujuk suami agar tidak beraksi pada acara itu, sebaliknya, meneruskan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).



“Suami tidak mahu ke hospital, malah, minta tidak ditidurkan kerana mahu meneruskan persembahan sempena ulang tahun ke-27 kumpulan Senario… Dia mahu bertemu peminat.

“Dia sangat teruja… Tiada tanda-tanda sakit. Jadi, kami mohon peminat mendoakan agar suami cepat sembuh.

“Suami ada penyakit kencing manis. Namun, saya pasti, dia datang ke sini (Johor Bahru) tiada masalah kesihatan,” katanya.

Bagaimanapun, Norhamalini berkata, selepas makan malam bersama teman-teman Senario, kelmarin, suami demam.



“Ketika itu, mungkin disebabkan perjalanan jauh. Jadi, suami ambil pil Panadol. Pada jam 12 tengah malam, suami cirit-birit dan berlarutan hingga pagi semalam,” katanya ketika ditemui di perkarangan HSA di sini, hari ini.

Sementara itu, anak bongsu Hamdan, Nur Natasya Umairah, 21, berkata, doktor mengesyaki ayahnya mempunyai masalah kegagalan buah pinggang.

“Ketika dibawa ke hospital, pemeriksaan awal mendapati tekanan darah ayah stabil dan diletakkan di zon hijau. Namun, pemeriksaan lanjut mendapati keadaan ayah kritikal dan perlu ditidurkan,” katanya.

Sementara itu, mewakili kumpulan Senario, Azlee Jaafar, 54, sedih apabila Hamdan terpaksa ditidurkan di HSA.



Azlee berkata, Hamdan dilihat dalam keadaan sihat dan ceria apabila dia dan teman Senario lain berjumpa, kelmarin.

“Sabtu lalu, pada sebelah malam, kami dapat berkumpul sekejap. Saya, Apek, Yassin, Wahid dan Pak Ya sempat berbual ketika Hamdan tiba di Showcase Senariounion di Hotel Sentral Johor Bahru.

“Ketika itu, Hamdan tampak sihat. Kami berbual seperti biasa dan Hamdan tampak ceria kerana esoknya (malam tadi), kami hendak buat ‘count down’ sempena tahun baharu 2024.

“Namun, pagi semalam, saya dapat tahu, Hamdan tidak turun bersarapan kerana dia demam.



“Saya beritahu ahli Senario lain agar biarkan Hamdan berehat. Saya cakap dengan Hamdan, tenang-tenang dahulu, biar saya dan ahli kumpulan berlatih.

“Pada jam 5 petang semalam, saya dimaklumkan pula oleh isteri Hamdan bahawa suaminya kritikal dan dimasukkan ke HSA. Kami teruskan persembahan tanpa Hamdan,” katanya ditemui di perkarangan lobi HSA bersama Pak Ya, Yassin dan Apek di sini, hari ini.

Semalam, media tempatan melaporkan Hamdan ditidurkan ketika menjalani rawatan di HSA selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah.

Azlee berkata, dia dan teman-teman Senario risau memikirkan kesihatan Hamdan apatah lagi mereka persis adik-beradik.



“Semalam genap ulang tahun kumpulan Senario yang ke-27… Suatu tempoh panjang di mana kami seperti adik-beradik.

“Tahun ini, kami merancang buat penggambaran Senario Legend termasuk bersama Lan Pet Pet. Perkhabaran (Hamdan ditidurkan) adalah perkara yang menyedihkan buat kami.

“Ini semua ujian. Kami hanya mampu berdoa dan mengharapkan doa semua rakyat Malaysia agar Hamdan segera sembuh dan sihat,” katanya.

Sementara itu, Pak Ya atau nama sebenar, Illya Buang, 56, berkata air muka Hamdan tidak menunjukkan dirinya menanggung sakit.



Pak Ya mengandaikan perjalanan jauh ditempuh Hamdan yang datang dari Ipoh, Perak ke Jenjarum, Selangor, bagi menghantar anak, sebelum bergerak ke Johor Baharu, memberi kesan kepadanya.

“Mungkin perjalanan 12 jam dari Ipoh ke Johor Bahru sangat panjang dengan jalan yang sesak.

“Keluarga Hamdan tiada saudara-mara di Johor. Mereka mengharapkan kami. Saya harap ada pihak yang sudi membantu memudahkan urusan keluarga Hamdan.

“Saya mohon doa peminat dan semua rakyat Malaysia agar Hamdan sembuh seperti biasa,” katanya. BH

Hamdan Senario minta usah ditidurkan sebab nak jumpa peminat – isteri

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

“Awak berhijab tapi berpakaian seolah terlanjang”

Senarai artis bercerai 2023

Pusinglah selagi boleh pusing, jumpa di mahkamah

Rita Rudaini mengamuk dituduh perampas

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker