Dividen KWSP dijangka setinggi 6.5 peratus

Dividen KWSP dijangka setinggi 6.5 peratus

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen pada kadar 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, kadar yang lebih baik berbanding 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi 2022.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata jangkaan positif dalam pengagihan kadar dividen lebih baik 2023 adalah berdasarkan prestasi suku tahun semasa KWSP.

“KWSP memiliki skala ekonomi yang lebih mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM1.1 trilion. Justeru, dana persaraan nasional ini mempunyai kelebihan dari segi pilihan pelaburan mahupun proses rundingan dengan pengurus dana luar.

“Namun. disebabkan saiz dana pelaburan yang besar, KWSP perlu bekerja lebih keras untuk mendapat pulangan tinggi dari sudut ringgit, walaupun peratusan yang kecil. Misalnya, untuk setiap satu peratus dividen, KWSP dengan aset RM1.1 trilion perlu membayar RM11 bilion dan ini cukup mencabar dalam situasi ekonomi semasa.

“KWSP dijangka memberikan pulangan dividen lebih baik dengan unjuran untuk 2023 adalah antara 5.5 hingga 6.5 peratus,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, selain laporan prestasi KWSP yang baik untuk setiap suku tahun 2023, ekonomi Malaysia juga terus berkembang tahun lalu.

“Tambahan lagi, pergerakan pengurusan kanan KWSP berpindah dengan memegang portfolio yang lebih besar di Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri pada akhir tahun lalu juga memberikan petunjuk kecemerlangan pengurusan KWSP yang menarik perhatian pucuk pimpinan negara,” katanya.

Beliau menambah, antara cabaran besar KWSP adalah mengimbangi pelaburan dalam dan luar negara, terutama dalam menyokong syarikat tempatan dari aspek pelaburan modal dalam mengembangkan keuntungan dan memakmurkan negara.

“Indeks komposit Bursa Malaysia tidak menunjukkan peningkatan ketara. Indeks pernah melebihi 1,500 mata pada Januari 2022, namun untuk keseluruhan 2023, ia hanya berlegar pada aras 1,400 ke 1,450 mata.

“Ini disebabkan oleh faktor pasaran modal dunia yang terarah kepada Amerika Syarikat (AS) berikutan Rizab Persekutuan (Fed) yang terus menaikkan kadar faedah pada 2023,

“Justeru, ia mempengaruhi pengurus dana asing, terutama untuk mengubah portfolio pelaburannya dari Bursa Malaysia ke negara AS,” katanya.

Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, ada syarikat besar tempatan tersenarai di Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan mantap seperti institusi perbankan, minyak dan gas serta pembinaan walaupun ekonomi dunia malap, lantaran masih terus membayar dividen yang baik.

“Jelas ini pasti membantu KWSP merealisasikan pelaburannya dalam syarikat tempatan secara strategik dan mampu memberikan pulangan dividen yang lebih baik kepada pencarum.

“Kebijaksanaan KWSP amat dituntut oleh pencarum, terutama penurunan AUM selepas pelbagai pengeluaran dibenarkan ketika pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, berkata pengumuman kenaikan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) baru-baru ini boleh menjadi penanda aras untuk kemungkinan bahawa dividen KWSP juga akan meningkat.

Katanya, melihat kepada prestasi baik yang direkodkan dalam tiga suku pertama tahun ini disokong ketiadaan pengeluaran khas yang besar, membolehkan KWSP mengagihkan kadar dividen lebih baik berbanding beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ditambah dengan keadaan pasaran buruh yang semakin mengukuh (penurunan kadar pengangguran dan membawa kepada kenaikan bilangan pencarum secara keseluruhan).

“Faktor ini menjadikan saiz keseluruhan pelaburan menjadi semakin besar dan menyumbang kepada pulangan lebih besar untuk diagihkan.

“Akan tetapi, secara mutlak, ia tidak boleh dianggap seperti sesuatu yang pasti. Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) bergantung lebih kepada prestasi ekonomi negara, di mana KWSP meletakkan 35 peratus pegangannya menerusi pelaburan luar negara,” katanya.

Mohamad Khair berkata, selain ASNB, KWSP juga dilihat sebagai antara portfolio yang paling stabil dan selamat, menjadikannya ia kekal kompetitif, selain dijangka kekal tinggi berbanding penanda aras pelaburan jangka panjang, iaitu deposit tetap. BH

Dividen KWSP dijangka setinggi 6.5 peratus

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

“Awak berhijab tapi berpakaian seolah terlanjang”

Senarai artis bercerai 2023

Pusinglah selagi boleh pusing, jumpa di mahkamah

Rita Rudaini mengamuk dituduh perampas

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker