Hukuman mati mandatori digantung, Sirul kini digesa pulang

Peguam negara boleh memohon Sirul Azhar Umar dihantar pulang memandangkan kerajaan secara rasmi mengisytiharkan moratorium pelaksanaan hukuman mati susulan pemansuhan hukuman mati mandatori.

Bercakap kepada FMT, SN Nair yang merupakan seorang peguam berpengalaman berkata kerajaan Malaysia patut maklumkan kepada pihak berkuasa Australia bahawa hukuman mati dijatuhi terhadap Sirul boleh disemak semula jika dia memohon.

Sirul, bekas pegawai polis dijatuhkan hukuman mati pada 2006 kerana membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, dibebaskan daripada pusat tahanan imigresen di Australia, dua hari lalu.

Pembebasannya selepas Mahkamah Tinggi Australia memutuskan penahanan imigresen tanpa tempoh sebagai menyalahi undang-undang.

Peguam Sirul, William Levingston, dilaporkan berkata Australia tidak akan membenarkan anak guamnya diusir untuk berdepan hukuman mati di Malaysia.

Namun, mengambil kira hukuman mati mandatori di Malaysia kini dimansuhkan dan moratorium pelaksanaan sedang berjalan sejak 2018, ada pihak mempersoalkan sama ada Australia akan menghantar pulang Sirul bagi mahkamah Malaysia menyemak sabitan hukuman jika dia memohon.

Nair mengambil maklum Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai, manakala Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, berkuat kuasa 12 Sept.

Nair berkata, kerajaan Malaysia harus memberi jaminan kepada pihak berkuasa Australia bahawa kes Sirul antara hukuman mati yang dijatuhi sebelum akta baharu berkuat kuasa, sekali gus ia boleh disemak jika dia mahu mengemukakan permohonan.

“Kerajaan telah mengisytiharkan moratorium pelaksanaan bagi semua hukuman mati dan ia termasuk juga melibatkan kes Sirul,” katanya.

“Seperti mana hukuman mati lain, dia juga berhak mendapat semakan hukuman.”

Minggu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, berkata setakat 31 Okt, mahkamah menerima 807 permohonan semakan melibatkan hukuman mati mandatori susulan pelaksanaan akta baharu.

Pendengaran bagi semakan hukuman mengikut Akta 847 akan bermula pada 14 Nov, di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

KDN sah pembebasan Sirul

Ketika dihubungi, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pembebasan Sirul, namun tidak mengulas lanjut tindakan kerajaan seterusnya.

“Saya akan keluarkan kenyataan dalam tempoh 48 jam,” katanya kepada FMT.

Sirul dan bekas rakan setugas, Azilah Hadri dijatuhkan hukuman mati mandatori pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Altantuya, yang ditembak di kepala pada 2006 di hutan di Puncak Alam, Selangor. Mayatnya kemudian diledakkan dengan bahan letupan.

Mereka berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan mengembalikan sabitan itu pada 2015 dan menjatuhkan hukuman mati.

Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir dibuat. Dia ditempatkan di pusat tahanan imigresen Villawood sejak 2015, selepas ditahan polis Australia. Permohonan pertamanya untuk suaka politik di Australia ditolak pada 2019.

Azilah kini menunggu pelaksanaan hukuman mati di Penjara Kajang.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Khaibar, Khaibar Ya Yahud, Jaysu Muhammad Saufa Ya’ud

Gambar lucah AI, Anna Jobling beri amaran

TMJ Tuju Kepada Ahli Politik Mana?

Ameera Khan dikritik tayang produk pro Israel

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker