Pertimbangan maslahah dan mafsadah dalam isu boikot

Pertimbangan maslahah dan mafsadah dalam isu boikot

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli

Boikot adalah tindakan tidak membeli barangan atau perkhidmatan bagi menyatakan bantahan atau kemarahan terhadap sesuatu pihak atau sesuatu perkara. Ia didorong oleh pelbagai faktor, misalnya isu agama, politik, etika, alam sekitar dan sosial. Di Malaysia, seruan boikot biasanya dilaungkan apabila ada sesuatu isu yang sensitif, khususnya melibatkan agama Islam dan umat Islam. Umpamanya boikot produk Sweden dilaungkan apabila ada penghinaan terhadap Rasulullah dan al-Quran, boikot terhadap produk orang bukan Islam (BMF) dikumandangkan apabila ada penghinaan terhadap Islam dan tulisan jawi, dan boikot terhadap produk Israel atau sekutunya diserukan apabila berlaku serangan pengganas Israel ke atas penduduk Palestin.



Kini, apabila berlaku serangan tentera Israel ke atas Palestin, kempen boikot kembali bergema. Banyak pihak yang melancarkan kempen boikot beserta dengan satu senarai panjang produk dan perkhidmatan telah dikeluarkan dan disebarkan secara meluas.

Ekoran itu juga, terdapat segelintir pihak yang tidak bersalah mulai runsing dan ketakutan untuk keluar mencari rezeki. Situasi ini berlaku disebabkan mereka bekerja dengan syarikat yang disenaraikan untuk memastikan dapur-dapur mereka berasap dan sekiranya boikot berlanjutan kemungkinan mereka akan kehilangan kerja dan terjejas sumber pendapatan.

Secara umumnya, dalam seruan boikot produk dan perkhidmatan yang berorientasikan Israel, pihak yang terlibat melakukan kempen secara agresif tanpa mempertimbangkan sisi maslahah dan mafsadah kepada pihak lain di samping tanpa melihat latar belakang sesuatu syarikat secara lanjut. Sedangkan dalam senarai yang dikemukakan, memang terdapat produk dan perkhidmatan milik orang Yahudi dan Israel. Mereka terbahagi kepada dua, iaitu golongan yang menyokong serangan atas Palestin dan golongan yang tidak menyokong serangan.

Di samping itu, ia turut melibatkan syarikat francais. Terdapat syarikat francais yang mempunyai pendirian yang berbeza dengan syarikat induk dan tidak menyokong serangan, malahan mereka menyumbang kepada tabung Palestin.



Selain itu, wujud juga syarikat bukan milik Israel, tetapi kalangan mereka ada yang menyalurkan dana dan ada yang menyatakan sokongan kepada pihak Israel. Dalam senario ini, pemboikotan terhadap pihak yang menyokong serangan, menyalurkan dana dan yang terang-terang menyokong rejim Israel adalah jelas.

Kita boleh bersepakat untuk memboikotnya, tetapi dalam keadaan yang melibatkan syarikat berasaskan francais dari luar negara, pertimbangan berasaskan maslahah dan mafsadah perlu diambilkira. Ia melibatkan beberapa produk yang memegang sijil halal Malaysia dan mempunyai ramai pekerja muslim, bahkan mereka turut menyumbang kepada tabung Palestin.

Pada dasarnya, ulama menggariskan bahawa hukum boikot sebagai pembelaan terhadap bumi Palestin dan Baitul Muqaddis adalah bersifat fardu ain. Ramai ulama yang menfatwakan tentang kewajipan untuk memboikot produk dan perkhidmatan yang menyalurkan bantuan kepada Israel kerana ia sebahagian daripada jihad fi sabilillah.

Namun begitu, dalam konteks semasa, tindakan memboikot ini perlu diteliti dengan mendalam dan tidak boleh digeneralisasi kerana ia boleh menimbulkan kesan berantai terhadap ramai pihak yang tidak bersalah.



Dalam persoalan ini, penelitian dari aspek maslahah dan mafsadah amat dititikberatkan supaya dapat mencapai matlamat syariah yang sebenar. Para ulama telah menggariskan panduan dalam
menentukan aspek maslahah ini dapat dicapai supaya ia mampu mendatangkan kebaikan kepada manusia. Ini kerana Islam adalah agama yang menitikberatkan maslahah, iaitu mendatangkan manfaat dan menghindari kemudaratan.

Islam menolak mafsadah kerana ia membawa kepada kerosakan dan kemudaratan kepada manusia. Dalam hal ini, tindakan pemboikotan selari dengan maslahah, iaitu mendatangkan kebaikan dengan memberi tekanan kepada syarikat-syarikat milik Yahudi dan Israel serta penyokong rejim zionis.

Tekanan berbentuk ekonomi ini mampu untuk mengurangkan keuntungan walaupun tidak menyebabkan kerugian besar kepada mereka.

Sebaliknya, jika syarikat yang bersifat francais, pertimbangan mafsadah atau keburukan perlu dipertimbangkan. Ini kerana ramai orang Islam yang terlibat dalam rantaian produknya dan kemudaratan akan berlaku kerana kelangsungan hidup mereka yang terlibat akan terjejas.



Sekiranya tiada jualan dan premis ditutup, mereka akan kehilangan kerja dan sumber pendapatan. Kesan ini turut melibatkan pelbagai pihak yang berada dalam rantaian ekonomi terbabit seperti pembekal, pengedar, penyedia logistik, penghantar makanan dan lain-lain.

Pertimbangan ini selari dengan kaedah fikah: Mengelak kemudaratan lebih utama daripada mendapatkan kemaslahatan. Jika dibuat pertimbangan antara maslahah yang boleh diperolehi dengan mafsadah yang boleh berlaku, maka kedudukan mafsadahnya lebih besar.

Mengambil kira kaedah fiqh di atas, maka pemboikotan terhadap syarikat francais boleh mendatangkan mafsadah yang jelas berbanding maslahah. Pihak yang memboikot tidak mengalami apa-apa kerugian yang nyata. Dan pihak syarikat francais terpaksa menanggung kerugian yang besar, sedangkan mereka mempunyai pendirian yang berbeza dengan pihak francais yang berada di Israel. Malahan syarikat francais di Malaysia turut bersolidariti dan menyumbangkan derma dengan jumlah yang besar kepada tabung Palestin.

Dalam masa yang sama, pihak yang menganjurkan kempen boikot secara besar-besaran tidak menyediakan sebarang pelan tindakan lanjutan untuk membela nasib pemilik tempatan dan pekerja setempat yang terjejas agar mereka dapat meneruskan kelangsungan kehidupan tanpa terkesan.



Jadi, dalam tindakan boikot terhadap produk syarikat francais yang berada di Malaysia, yang mana mereka tidak menyokong serangan pihak Israel ke atas rakyat Palestin perlu dibuat pertimbangan yang adil dan jernih, bukan sekadar desakan populis, sentimen semasa dan ledakan emosi sematamata.

Sekiranya tindakan boikot ingin juga dilakukan, nasib mereka yang terkesan terutama para pekerja dan pencari nafkah perlu dibela dengan menawarkan bantuan pekerjaan yang lebih baik agar dapur mereka terus berasap dan tiada yang kebuluran. Utv

Penulis merupakan Profesor Madya di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di emel: [email protected]

Pertimbangan maslahah dan mafsadah dalam isu boikot



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Achey guna populariti anak demi lariskan bisnes?

Penyertaan dalam FD3 macam sampah, ini kata Ryan Bakery

Nabil gurau ‘face shaming’ pulak kali ini

Leona dikecam nampak lurah, Azhar Sulaiman ‘back up’

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker