Apa yang Melayu tak puas hati?

Apa yang Melayu tak puas hati?

Oleh Mohsin Abdullah

Dua hari sebelum enam PRN 12 Ogos lalu, Ilham Centre mengeluarkan tinjauannya yang mencadangkan hanya satu daripada empat orang Melayu di negeri mengadakan pilihan raya itu berpuas hati dengan prestasi Anwar Ibrahim selaku perdana menteri.

Sehari kemudian media mendapatkan reaksi perdana menteri. Saya kira pertanyaan yang diaju wartawan menggunakan bahasa Inggeris lalu respons Anwar dalam bahasa itu juga. Begitulah lazimnya. Tanya dalam bahasa Inggeris jawab dalam bahasa Inggeris.Tanya bahasa Melayu jawab bahasa Melayu. Bukan Anwar sahaja. Hampir semua ahli politik begitu.

“I don’t agree with that. It is a flawed analysis,” kata beliau mengenai dapatan Ilham Centre yang diperkata. Perdana menteri seterusnya menjustifikasikan pendiriannya. Saya tidak bercadang mengulanginya. Sesiapa yang mahu mengikuti penjelasannya secara penuh sila “Google”.

Yang ingin saya katakan di sini ialah penggunaan perkataan “flawed”. Terjemahannya dalam bahasa Melayu ialah “cacat”. Oleh itu “flawed analysis” dalam bahasa Melayu ialah “analisis cacat”. Istilah inilah yang digunakan media bahasa Melayu. Terjemahannya betul intonasinya keras. Saya sendiri tidak senang perdana menteri menyifatkan tinjauan itu satu analisis cacat. Jika tidak setuju nyatakan tidak setuju tetapi tidak perlu kata ia “analisis cacat”. Begitu pendapat saya. Waktu itu tanpa membaca laporan bahasa Inggeris.

Apa pun keputusan enam PRN lalu menyajikan kemenangan besar gabungan politik Melayu, Perikatan Nasional (baca PAS) di Kedah, Kelantan dan Terengganu di samping membuat “inroads” di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang diperintah Pakatan Harapan. Kali ini bertanding bersama Barisan Nasional (baca Umno) bawah panji kerajaan perpaduan.

Itu menunjukkan ramai Melayu (tentunya bukan semua) menyokong PN. Bolehkah dikata mereka tidak senang dengan Anwar? Jika tidak masakan mereka tidak mengundi PH-BN? Jika tidak suka Anwar mereka agaknya?

Adakah Anwar tidak cukup Melayu buat orang Melayu? Bukankah Anwar semasa menuntut di Universiti Malaya tahun 1970-an bersama rakan siswazah pernah menubuhkan apa yang dikenali sebagai Yayasan Anda di Kuala Lumpur? Ia sebuah pusat pengajian untuk anak Melayu miskin. Yuran pengajian yang dikenakan adalah paling minimum.

Dan bukankah Anwar selaku pemimpin pelajar memperjuangkan nasib petani khususnya di Baling, Kedah? Golongan tani miskin bangsa Melayu. Dan semasa berada dalam kerajaan BN pimpinan Dr Mahathir Mohamad dulu bukankah Anwar memartabatkan penggunaan bahasa Melayu? Dan memperkenalkan dasar penerapan nilai-nilai Islam? Tidak cukup Melayu, tidak cukup Islam itu semua?

Sebagai perdana menteri hak keistimewaan Melayu dikekalkan. Atau orang Melayu tidak gemar konsep Madani diketengahkan yang antaranya mahu memastikan keadilan dan kesaksamaan buat semua rakyat? Melayu dan bukan Melayu. Mungkinkah orang Melayu mahu Malaysia ini hanya untuk Melayu? Lalu satu daripada empat Melayu tidak puas hati dengan Anwar seperti dihuraikan dapatan tinjauan Ilham Centre yang disebut tadi?

Kata Ketua Penyelidikan Ilham Centre Yusri Ibrahim isu sebenarnya bukan mengenai Anwar. Ia lebih naratif orang Melayu yang kini dikawal hampir keseluruhan oleh PAS setelah Umno hilang naratif mereka.

Untuk berlaku adil dan supaya tidak salah tafsir dan salah erti saya huraikan di sini penjelasan sepenuh Yusri yang diberi kepada saya melalui “voicemail”. Begini kata beliau: “Orang Melayu ni menyandarkan keyakinan mereka kepada seseorang ketua dalam konteks sekarang. Kalau sebelum ini orang Melayu naratifnya mereka meletakkan kepercayaan kepada kepimpinan Umno dan kepimpinan PAS.

Siapa yang lebih Melayu dalam konteks “Melayuism” mereka letakkan kepercayaan kepada Umno. Manakala yang saya namakan “Muslimism” (yakni) yang lebih kepada pro Islamik mereka letakkan kepada kepimpinan PAS. Orang Melayu ni mereka letak keyakinan kepada apa saja yang diperkatakan oleh pemimpin yang mereka percaya. Itulah yang mereka pegang.

Apabila Umno telah hilang naratif, ia sudah tidak mampu lagi meyakinkan orang Melayu. Kedua-dua elemen sama ada Melayu atau Muslim (maka) mereka berpindah kepada PAS sekarang. Pemimpin PAS membawa naratif kebencian, penolakan kepada Anwar. Majoriti orang Melayu yang menyandarkan keyakinan kepada kepimpinan PAS ini mereka terus terima dan percaya.

Penolakan terhadap Anwar dengan pelbagai faktor, itu yang saya katakan. Bukan kerana Anwar PMX tidak menjalankan kerja, banyak perkara yang dibuat. Tetapi apabila orang Melayu banyak menyandarkan kepercayaan mereka kepada kepimpinan PN sebab faktor tersebut mereka tolak Anwar.

Bukan kerana prestasi. Bukan kerana kualiti kerja tapi banyak yang disebabkan oleh sentimen dibawa naratif PN.”

Saya setuju dengan pendapat Yusri kerana bagi saya itu realiti. Persoalannya adakah Anwar tahu ini semua? Atau setidak-tidaknya adakah tuan-tuan penasihatnya tahu dan memaklumkan kepada beliau? And what is Anwar doing about it? Jika tahu dan percaya apa yang diperkatakan. Jika tak percaya okay tak perlu buat apa-apa.

Berbalik naratif Yusri tadi. Berpandukan itu asalnya saya bercadang mengakhiri penulisan ini dengan kata-kata atau lebih tepat pesanan Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad. Lebih dikenali sebagai Ibnu Rusyd. Ahli falsafah, perubatan, matematik, teologi, ahli fiqah mazhab Maliki, astronomi, geografi dan sains. Orang hebat.

Pesanannya yang saya maksudkan ialah “mengenai cara menguasai orang”. Rasanya tetap relevan dan boleh digunakan kerana apa yang terjadi di banyak negara dewasa ini. Namun tidak tergamak pesanan Ibnu Rusyd saya gunakan untuk negara ini.

Saya harap ia tidak sesuai diadaptasi dalam konteks Melayu di Malaysia untuk menggambarkan keadaan masa kini. Apa kata Ibnu Rusyd? Itu anda kena cari sendiri. Dalam era digital sekarang semua boleh dicari dan didapati dengan mudah. Betul tak? FMT

Apa yang Melayu tak puas hati?

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Lepas pakai tudung, tak dapat job sampai kereta kena tarik – Lisdawati

Sayangnya Hidup Dah Habis Dengan Kau Lelaki – Zarina Zainuddin

Suami curang ‘dibantai’ isteri di restoran di hadapan skandal

Rozita Che Wan mengamuk, ‘bab* mana buat cerita ni’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker