Umno liabiliti kepada PH, ini kata Rafizi

Umno liabiliti kepada PH, ini kata Rafizi

Oleh Hishamuddin Aun

Senarai undangan bagi program temu bual satu saluran radio FM yang popular itu menunjukkan ketelitian dalam pemilihan mereka. Bukanlah ia berkisar sangat kepada stesen radio itu yang berkecuali tetapi dipercayai lebih kepada kemampuan tetamunya menjawab soalan secara bertalu-talu dan pantas.



Hakikat bahawa senarai undangannya sebelum ini merangkumi tokoh seperti Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Halimah Ali, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, menunjukkan tumpuannya ialah untuk mencungkil jawapan terhadap isu semasa yang panas daripada tujuan mempromosikan mereka.

Barangkali juga senarai undangannya lebih ramai tetapi bukan semua yang sanggup tampil untuk disoal sedemikian rupa sehingga berasa seolah-olah berada di bawah tekanan hebat tanpa meluangkan masa untuk berfikir dan menyusun kata-kata.

Apabila Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli didatangkan sebagai tetamu dua hari lalu, antara soalan cepu emas ditanya ialah adakah Umno menjadi liabiliti kepada Pakatan Harapan?

Juga bagaimana PH dan Barisan Nasional (BN) yang lama bermusuhan sebelum pembentukan kerajaan perpaduan selepas PRU15 November tahun lalu, boleh bekerjasama dalam kempen PRN 12 Ogos ini.



Menyorot bagaimana dua gabungan itu dapat bekerjasama, Rafizi tidak berselindung bahawa ia berhasil lebih baik daripada yang difikirkannya.

“Saya telah merundingkan pembahagian kerusi selama lebih satu dekad. Rundingan dengan PAS adalah menyukarkan satu dekad lalu. Rundingan dengan Mahathir dan Bersatu menyaksikan kami kerap meninggikan suara dan banyak kali keluar meninggalkan bilik rundingan. Ia amat-amat
menyukarkan.

“Jadi, saya pergi berunding dengan BN menjangkakan yang terburuk, sebaliknya ia agak lancar. Kami bersetuju terhadap parameter tertentu dan berunding mengenai prinsip.

“Saya fikir ini adalah matlamat bersama yang memudahkan PH dan BN untuk bekerjasama,” katanya dalam rakaman video temu bual berbahasa Inggeris itu di YouTube yang mendapat hampir 50,000 tontonan.



Apabila didesak oleh pengacara yang itu hanya di peringkat kepimpinan, Rafizi mengakui ia memerlukan masa untuk ia turun ke peringkat bawah tapi ia juga adalah antara cabaran mereka jangkakan.

“Tapi sedikit perbezaan dengan kepimpinan Umno hingga ke peringkat bahagian ialah mereka memahami bahawa ia adalah satu keperluan untuk kedua-dua pihak bekerjasama. Kami mempunyai perbezaan seperti diakui kedua-dua pihak, jadi kami fokus kepada kekuatan masing-masing.

“Dan itu yang membuat ia sedikit dipermudahkan. Dalam kempen PRN ini, saya telah melihat persefahaman dan kemesraan yang lebih baik. Keperluan untuk bekerjasama adalah kuncinya,” jelasnya.

Mengambil kira Umno mencatat keputusan buruk dalam PRU15, adakah parti itu menjadi liabiliti yang merendahkan PH, sebuah parti reformis yang menjenamakan ia sebagai sentiasa mendesak kerajaan yang bersih?



Kini, dengan PH menjadi sekutu Umno yang presidennya berhadapan tuduhan jenayah di samping wujud puak-puak dalam parti yang percaya Najib Razak tidak bersalah walaupun diputuskan sebaliknya oleh mahkamah tertinggi dalam negara, adakah itu boleh diterima penyokong tegar PH atau PKR?

Rafizi menjawab: “Seperti sekarang, data kami menunjukkan penyokong PH akan memberi undi kepada Umno. Untuk keadaan sebaliknya pula, ia akan sedikit mencabar buat pengundi Umno, bukan kerana Umno sebagai sebuah parti, tapi pertentangan politik sepanjang 70 tahun lalu.

“Ia sentiasa berkisar kepada politik sederhana dan ‘middle ground’ menentang politik ekstrem dan identiti.

“Dengan Umno kini kembali ke tengah-tengah bersama PH dan fokus kami ialah terhadap dasar-dasar, Umno haruslah mengurus sesetengah sokongannya kepada PAS dan Bersatu pada masa lalu kerana pembawa standard politik sekarang bukan lagi Umno.”



Sama ada Umno adalah satu liabiliti atau tidak, katanya, ia bergantung kepada bagaimana anda memilih untuk melihatnya.

“Pada saya, tanggungjawab kami kepada masyarakat ialah untuk membawa politik ke jalan pertengahan dan fokus kepada politik dasar yang konstruktif. Umno sedang melakukan yang terbaik ke arah itu di sebalik segala cabaran yang dihadapi mereka.

“Dengan kurang satu parti memilih kepada politik identiti, tentunya ia satu kebaikan buat negara. PKR atau PH tidak mengambil alih tampuk kuasa selepas hampir dua dekad kerana kami berbalas-balas politik identiti dan kaum dengan satu lagi cara politik identiti.

“Kami sentiasa bertanding dan meyakinkan pengundi dengan dasar-dasar dan bagaimana ia boleh menjadikan (keadaan) lebih baik buat mereka.



“Ia telah berhasil pada 2018 dan kami menang secukupnya pada 2022. Mungkin sekadar secukupnya saja tapi keadaan mungkin boleh lebih buruk daripada ini.

“Pilihan raya tidak pernah dimenangi dengan menenangkan penyokong teras kami. Ia selalunya dimenangi dengan menambat hati pengundi atas pagar.

“Pengundi atas pagar ini tidak pun tertarik dengan siapa yang lebih liberal atau siapa yang lebih kepada berbilang kaum, (sebaliknya) ia adalah bagaimana anda boleh membawa perbezaan dalam kehidupan harian mereka.

“Jadi, kami telah membuktikan sepanjang 20 tahun lalu bahawa fokusnya sentiasa kepada dasar dan politik konstruktif dan saya fikir itu juga cara yang akan memenangkan kami kali ini juga,” katanya.

Rafizi, yang pada penghujung temu bual itu menekankan tidak berminat untuk menjadi perdana menteri suatu hari nanti, berkata sebarang langkah atau pilihan untuk melawan politik kaum dengan satu lagi politik kaum hanyalah satu perlumbaan ke bawah.

“Kami tidak akan boleh jadi lebih Melayu dan lebih Islam daripada PAS atau Bersatu sekarang. Juga kami tidak boleh memikat hati orang Melayu dengan menunjukkan bahawa kami kurang Melayu kerana kami perlu mempertahankan bukan Melayu di kawasan bandar.

“Jadi, titik persamaannya ialah sentiasa mengenai bagaimana dasar-dasar kami dan politik ‘centre ground’ akan membuat hidup lebih baik buat semua orang,” tambahnya.

Ditanya adakah keputusan PRN kali ini satu referendum terhadap kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim?

“Tidak…tidak sekali-kali. Pengundi akan dapat membuat tapisan di antara retorik ketika kempen dan realiti.”

Umno liabiliti kepada PH, ini kata Rafizi

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Danny-Fateha, kenal 5 hari, nikah dua minggu akhirnya bercerai

Masya Masyitah tayang paha pulak, siap peluk siapa tu?

Kisah dicintai Azwan Ali, respon Ziana Zain memang ‘deep’

Silap-silap PH/BN yang menang 6-0 atau menang 5-1

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker