Sejarah Sa’i. Di lembah tandus dan sepi Hajar berlari (Siri 1)

Sejarah Sa’i. Di lembah tandus dan sepi Hajar berlari (Siri 1)

Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Ismail yang masih menyusu di sebuah tempat berhampiran Baitullah di sisi pohon besar di atas sumber air perigi zamzam. Ketika itu tidak ada sesiapa pun menghuni kawasan tandus itu. Ditinggalkan kepada kedua-duanya sebuah kantung berisi kurma dan sebuah gereba air.

Tanpa menoleh ke belakang, Nabi Ibrahim melangkah pergi. Hajar mengejarnya,

“Wahai Ibrahim, ke mana engkau akan pergi? Apakah engkau akan meninggalkan kami di lembah yang tidak ada seorang pun manusia dan tidak ada sesuatu pun.”

Berulang kali Hajar menanyakan hal itu namun Ibrahim tidak menoleh.

Maka Hajar bertanya lagi, “Apakah Allah menyuruhmu melakukan ini?”

“Ya.” Jawab Ibrahim. Hajar berkata,

“Kalau memang demikian, Dia tidak akan membiarkan kami.”

Hajar kembali ke tempat di mana dia mula-mula ditinggalkan dan Ibrahim meneruskan perjalanannya hingga ke bukit Tsaniyah, tempat di mana Hajar dan Ismail tidak boleh melihatnya lagi. Lalu Ibrahim memanjatkan doa,

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman berhampiran rumah Mu (Baitullah) yang dihormati. Ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”(surah Ibrahim: 37).

Tinggallah Hajar di lembah yang tidak berpenghuni bersama Ismail. Sampailah ketikanya bekalan air kehabisan, Hajar kehausan begitu juga anaknya. Belas hatinya melihatkan Ismail yang kehausan. Dia akhirnya meninggalkan Ismail dan menuju ke bukit berhampiran iaitu bukit Safa untuk melihat kalau-kalau ada orang lain melalui kawasan itu.

Dipandang ke sana dan ke sini namun tidak melihat sesiapa pun. Lalu dia turun daripada bukit Safa dan berjalan hingga ke lembah. Dia mengangkat hujung bajunya dan berlari-lari anak dengan susah payah hingga berjaya melepasi lembah itu.

Lalu dia mendaki bukit Marwah dan kemudian berdiri di atasnya sambil melihat. Apakah ada orang lain selainnya namun tidak ada sesiapa pun yang kelihatan. Begitulah berulang-ulang kali Hajar berlari antara Safa dan Marwa sebanyak tujuh kali.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa Nabi bersabda,

“Kerana itulah orang-orang melakukan Sa’i (berlari-lari anak) di antara keduanya (Safa dan Marwah).”

Ketika berada di bukit Marwah, Hajar mendengar suara dia pun berkata dalam hati, “Diamlah.”

Sesaat kemudian Hajar mendengar lagi suara yang sama. Hajar pun berkata, “Kami mendengar suaramu, jika kau mampu menolong maka tolonglah kami.”

Tiba-tiba di hadapannya muncul malaikat di tempat sumber air zamzam berada. Lalu malaikat menghentakkan tumitnya atau ada riwayat lain dengan sayapnya hingga memancar air mata air daripada tanah. (Sumber: Kisah para Nabi Ibnu Kathir dan Sahih Tafsir Ibnu Kathir)

Kemudian Hajar membendung air itu dengan tangannya dan mencedoknya ke dalam bekas air yang dibawanya. Setelah dicedok air itu terus mengalir dengan deras.

Ibnu Abbas berkata bahawa Rasulullah bersabda,

“Semoga Allah merahmati Ibu Ismail. Seandainya saja ia membiarkan zamzam nescaya zamzam akan menjadi air mata air yang terus mengalir (menjadi sungai yang mengalir)”

Lalu Hajar minum air itu dan menyusui anaknya. Kemudian malaikat berkata kepadanya,

“Janganlah engkau khuatir akan terbiar, kerana di sini ada sebuah rumah Allah (Baitullah) yang akan dibangunkan oleh anak ini dan ayahnya. Dan sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan ahli keluarganya.”

Keberadaan sumber air di lembah itu telah menarik Bani Jurhum untuk bermukim. Ketika mereka mendongak ke langit kelihatan burung terbang berputar-putar bagaikan memberi isyarat bahawa terdapat air di lembah tandus itu.

“Burung-burung itu pasti sedang mengelilingi sumber air. Bagaimana mungkin, lembah tandus ini ada air sedangkan selama ini ia memang tidak wujud langsung,” kata mereka.

Seorang utusan dikirimkan ke lembah itu dan ternyata sebagaimana yang diteka bahawa di situ ada sumber air. Dengan keizinan Hajar mereka menetap di kawasan itu.

Ibnu Katsir mengungkapkan bahawa doa Nabi Ibrahim dimakbulkan Allah sebagaimana yang disebut dalam firman Allah,

“Dan apakah kami tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagimu) daripada sisi Kami.” (surah al-Qashash: 57).

Ia merupakan rahmat, kelembutan dan keberkatan daripada Allah. Sedangkan daerah itu (tanah suci Mekah) tidak ada sepohon pokok pun yang menghasilkan buah. Namun semua buah-buahan yang tumbuh di kawasan sekitar di luar daerah itu dengan mudah dapat diperoleh di sana. Itulah salah satu petanda doa Nabi Ibrahim telah dimakbulkan. Wallahu a’lam Utv

Sejarah Sa’i. Di lembah tandus dan sepi Hajar berlari (Siri 1)
Sejarah Sa’i. Di lembah tandus dan sepi Hajar berlari (Siri 1)

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Syamsul bayar edah RM15 ribu, nafkah anak RM6 ribu sebulan, insuran RM3.5 ribu dan percutian RM5 ribu setahun

Sophia Albarakbah bikin hal lagi?

Penunggang Ducati elak motosikal lawan arus maut jatuh dari Lebuhraya SUKE [VIDEO]

Kes saman Puteri Sarah terhadap Ira selesai

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker