Azizulhasni ‘meletup’ tuntut janji

Azizulhasni ‘meletup’ tuntut janji

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meluahkan rasa kecewa terutama melibatkan sistem sokongan sukan di Malaysia yang didakwa ‘perlahan’ hingga menjejaskan persiapannya ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Menerusi luahan di Facebook miliknya semalam, Azizul yang digelar The Pocket Rocketman berkata, dia membuat keputusan meninggalkan pusat latihan di Melbourne, Australia untuk kembali ke tanah air selepas janji ‘manis’ Majlis Sukan Negara (MSN) namun, ia sekadar ber­akhir de­ngan perbincangan tanpa penyelesaian.

Azizul menegaskan, pihaknya sudah mengadakan beberapa siri perjumpaan dan perbincangan bersama pihak berkaitan, namun sehingga kini jawapan yang di­terima mengecewakan sekali gus mengganggu persiapannya untuk mengharungi Olimpik Paris tahun depan.

“Malangnya, daripada perjumpaan pertama kali dan beberapa siri perbincangan selepas itu serta setelah pulang ke tanah air hingga sekarang, masih tidak ada penyelesaian. Perbincangan dan perjumpaan dengan wakil saya berlangsung lebih 10 kali dan jawapan yang diterima amat mengecewakan.

“Tersangat tidak profesional dan hanya membiarkan perkara tergantung dalam jangka masa yang amat lama. High performance sport (sukan berprestasi tinggi) ape benda macam ni!

“Sudah dinasihatkan untuk duduk berbincang bersama de­ngan saya dan beritahu terang-terang, apa yang boleh dibantu dan apa yang tidak, ‘like a real gentleman’, tapi sampai ke sudah tidak ada seorang pun yang da­tang berjumpa,” kata Azizulhasni.

Berdasarkan perancangan awal, atlet berusia 35 tahun itu bersedia untuk pulang ke tanah air selepas persaraannya nanti, namun selepas berbincang bersama pihak MSN, beliau menuruti permintaan berkenaan demi pasukan dan negara.

“Sirih tidak kisah untuk pulang ke gagang, asalkan ‘support system’ Malaysia adalah setara ataupun lebih bagus daripada di Melbourne. Demi pasukan dan demi negara saya turutkan.

“Penting untuk diingatkan juga, saya mempunyai keluarga dan keputusan yang dibuat untuk pulang ke Malaysia bukan suatu keputusan yang mudah, ia melibatkan anak-anak dan isteri saya.

“Bagi saya amat mudah, kalau tidak dapat ‘support system’ yang bagus, lebih baik saya pulang berlatih di Melbourne. Ha­nya tinggal setahun lebih saja sebelum Olimpik Paris 2024. Bukan tidak suka berada di Malaysia, tetapi untuk atlet bertaraf dunia seperti saya, berlatih di Melbourne adalah lebih efektif.

“Di sana saya boleh berlatih dengan tenang tanpa gangguan pelbagai perkara terutamanya politik sukan seperti ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azizul juga mendedahkan bahawa dia telah menyerahkan masalah tersebut ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga jawatankuasa Program Road to Gold (RTG). K Online

Azizulhasni ‘meletup’ tuntut janji

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Putri Ariani Di America’s Got Talent Bikin Meremang (Video)

Saya akan dedahkan apa dihisap Khairy minggu depan – Bung

Artis hamilkan anak orang

Durian duri hitam dijual RM98 1 kilogram di Vietnam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker