PAS nak ubah Selangor jadi Kelantan

PAS nak ubah Selangor jadi Kelantan

Oleh Hasmi Hashim

PAS begitu galak mahu menawan Selangor. Kempen dilancarkan, dengan slogan “Selangor baru”.

“Baru” dalam konteks PAS ialah satu undi kepada PN, maka setapak untuk menjadikan Selangor jadi Kelantan.

Selangor penting untuk masa depan PAS. Negeri ini negeri kaya, justeru kekayaan Selangor perlu demi menjamin survival politik PAS—kerana parti itu bukan lagi “parti tin Milo”.

Sekarang PAS parti yang mahal. Mungkin sahaja antara parti yang termahal di negara kita dengan kos operasi yang semakin tinggi. PAS punya bangunan berjuta ringgit di ibu kota, punya kakitangan ibu pejabat dan pejabat-pejabat di seluruh negara.

Terlebih menjadikan PAS parti yang mahal apabila pemimpin utamanya tempohari juga sempat memegang jawatan utama di dalam kerajaan dan GLC.

Apabila PN gagal merampas kerajaan persekutuan buat kali kedua dalam PRU lalu, keselesaan berkenaan tidak boleh terhapus begitu sahaja.

Setiap pemimpin utama PAS tentu sudah mempunyai pelbagai komitmen, daripada yang bertujuan untuk parti sehinggalah keselesaan diri sendiri.

Paling tidak, komitmen ansuran bulanan kereta-kereta, rumah-rumah, bil-bil lain selain program politik. Dalam tempoh singkat 31 bulan berkuasa sama ada di bawah perdana menteri Muhyiddin Yassin atau Ismail Sabri, ada yang sempat menukar kereta dan membeli rumah baru.

Sekarang apabila sudah tidak lagi jadi menteri, duta atau pengerusi GLC, takkanlah mereka mahu menggadai kesemuanya kembali kepada bank.

Tentu pemimpin PAS perlu berusaha untuk mengekalkan gaya hidup dan apa sahaja yang boleh diselamatkan—cara paling ‘afdal’ ialah dengan merebut lubuk emas Malaysia, yakni Selangor!

Meskipun sukar, PAS nampaknya terdesak untuk mengalahkan PH di samping secara senyap mampu mengenepikan pula rakan kongsinya sendiri, iaitu Bersatu yang juga bercita-cita mahu menjadi MB dan mengemudi Selangor.

PAS cukup kenal pemain politik Bersatu di Selangor. Kempen “Selangor untuk anak Selangor” bukan sangat dihalakan kepada PH, tetapi mahu menyinggung Bersatu yang juga berkemungkinan menampilkan mantan menteri besar sebagai calon MB. Calon berkenaan khabarnya lahir di Singapura.

Sentimen anak negeri

Sepertimana di Kedah, Terengganu dan Kelantan, PAS percaya sentimen anak negeri boleh dijual di Selangor. Di mata PAS, Selangor sama sahaja seperti ketiga negeri yang masih dikuasai mereka.

PAS menganggap, 99.9 peratus penduduk Selangor memang asal Selangor. Mereka sebenarnya tidak sedar, 60-70 peratus penduduk Selangor ialah anak dagang atau orang luar.

Daripada baki 30-40 peratus anak Selangor, 10-15 peratus pula adalah daripada ibu-bapa yang juga bukan berasal dari Selangor.

Hal inilah yang menjadikan Selangor negeri maju yang bersifat kosmopolitan. Kalau Selangor negeri mundur, tiada siapa yang mahu datang dan berhijrah ke sini.

Sekiranya sesebuah negeri itu dihuni hampir 100 peratus anak tempatan sahaja, maka itulah petanda negeri berkenaan negeri mundur.

New York, London, Dubai, Singapura, Jakarta (hanya menyebutkan beberapa contoh), kesemuanya dihuni lebih ramai orang luar. Presiden Indonesia, Joko Widodo yang pernah menjadi wali kota Jakarta bukanlah anak jati Jakarta. Dia orang Solo, lahir di Surakarta.

Selangor pula sebuah negeri yang hampir menjadi “negeri kota” di mana banyak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah bertaraf bandar mahupun bandaraya. Hanya di Selangor ada tiga PBT yang bertaraf bandaraya iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam.

Tinggal satu sahaja PBT yang bertaraf daerah (Sabak Bernam), sementara baki lapan PBT bertaraf perbandaran.

Ada dua lagi yang bila-bila masa boleh dinaik-taraf menjadi bandaraya iaitu Klang dan Ampang.

Dalam tempoh kurang 10-15 tahun lagi, beberapa PBT juga akan bertaraf bandaraya seperti Puchong, Bangi dan Sepang.

Status ini menunjukkan Selangor akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang bertaraf “negeri kota”. Konsep negeri kota itu menyerupai sahaja dengan konsep klasik “negara kota” yang menjadi asas kepada kegemilangan banyak kerajaan di dunia sejak dahulu.

PAS ‘pakai sondol’ saja

Dari Srivijaya, Mahapahit, Pattani dan Melaka, semuanya merupakan empayar negeri kota. Begitu juga di Eropah, seperti kerajaan Yunani dan Rom. Terlebih lagi dalam sejarah tamadun Muslim dari Mekah dan Madinah; dari Abassiyah ke Uthmaniah—semua itu merupakan empayar yang berasaskan negeri atau negara kota.

Visi ke depan bagi Selangor ialah menjadikan negeri ini sebagai negeri kota pertama di Malaysia. Dari sana Selangor bakal muncul sebagai kuasa ekonomi yang sekaligus menjadi teras tamadun Malaysia moden.

PAS buta dengan semua fakta ini. Mereka main ‘pakai sondol’ saja. Isu anak jati lawan anak dagang yang cuba dimainkan oleh MB Kedah, Sanusi Md Nor tempohari, ibarat mahu menarik Selangor ke belakang menjadi sepertimana mundurnya negeri-negeri yang masih dikuasai PAS yang lain.

Sentimen berkenaan hanyalah kepanjangan daripada sentimen kaum yang selalu menjadi mainan parti berkenaan.

PAS tidak pernah ada rekod berjaya memajukan mana-mana negeri. Ketika PAS mentadbir sesebuah negeri, negeri berkenaan menjadi semakin mundur dan menyiksakan. Apabila dikritik, dalil dan ayat Quran melimpah menjadi ‘banjir’ yang menutup kelemahan dan kecuaian mereka.

Faktor yang memundurkan negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS, seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan adalah pemikiran jumud dan tingkah laku angkuh pemimpin mereka sendiri.

Mustahil dengan faham aliran keras agama dan cenderung menjadi puak pelampau kaum, PAS boleh memajukan serta memberi kemakmuran ke manapun negeri yang ditadbirnya.

Tidak kisahlah sama ada negeri itu majoritinya orang Melayu atau masyarakat pelbagai kaum yang berimbang.

Kelantan contoh ‘terbaik’ yang sekaligus menyayat hati. Kelantan puluhan tahun lalu tidaklah begitu ketingggalan jika dibandingkan dengan Kelantan hari ini.

Misalnya, Terminal Bas Kelantan di Kota Bharu pada 1980-an adalah setaraf atau sama sahaja dengan terminal bas di negeri-negeri lain.

Kini, melalui sekeping foto yang tukar di media sosial, terminal yang dahulunya dua tingkat, tinggal setingkat sahaja: bertiangkan besi, tidak berdinding dan beratap zink.

Jika PAS perintah, apa jadi S’gor 10 tahun lagi

Jalan yang dahulunya besar, kini juga semakin sempit.

Cuba bayangkan bagaimanakah terminal di Seksyen 17, Shah Alam akan menjadi begitu lima ke sepuluh tahun akan datang kalau PAS memerintah Selangor? Nauzubillahiminzallik! Semuga dijauhkan.

Saya amat takut bila memikirkan, bagaimana nanti nasib anak-anak kami di Selangor terpaksa berhijrah mencari rezeki di Johor, Melaka atau Sarawak?

Apabila tiba hari raya, bersama keluarga mereka tidak terpaksa merempuh jem berjam-jam untuk pulang ke Subang Jaya atau Shah Alam.

Keadaan berkenaan tidak mustahil berlaku kalau PAS menawan Selangor dalam PRN nanti, dan kekal menjadi kerajaan selama 30 tahun sepertimana di Kelantan.

Turut menakutkan apabila pada hari raya tahun depan, orang Selangor terpaksa menadah tong-tong hitam depan rumah kerana bekalan air terputus serta ampangan kering seperti apa yang terjadi di Kedah.

Kalau dibiarkan, mungkin penduduk di Sabak Bernam, Tanjung Karang atau Hulu Langat pula mulai mendapat air ‘teh tarik percuma’ yang disalurkan melalui batang paip ke rumah-rumah mereka.

Bukankah lebih baik kalau Kedah, Terengganu dan Kelantan itulah yang sewajarnya diubah segera menjadi negeri maju yang makmur?

Tak boleh tangguh lama lagi

Anak rantau Kelantan yang kini menetap di “Shah Ale” atau “Kaje” perlu ikut bertanggungjawab. Usah lagi selesa di negeri orang, tetapi pulang nanti memangkah ‘bulan’ sehingga menyiksa keluarga di kampung halaman.

Saya yakin, pengundi-pengundi Kelantan yang menetap di Kelantan sudah tidak sanggup lagi hidup tanpa pembelaan—dan mereka mahukan perubahan.

Kita tidak boleh membuat keputusan hanya atas sentimen “parti Isle” membela “Isle”. Islam bukan untuk ditunggangi; bukan untuk digunakan bagi menakut-nakutkan orang Melayu bahawa mengundi PAS menjamin kita ke syurga.

Politisasi agama dan pembodohan sebegitu sudah berlarutan berpuluh-puluh tahun dan perlu dihentikan segera—di dalam PRN kali ini!

Perubahan untuk Kelantan, Terengganu dan Kedah memang bukan mudah, tetapi ia tidak boleh ditangguh-tangguh lebih lama. Kalau boleh selesaikanlah sekali ini, dan buat selama-lamanya. Mk

PAS nak ubah Selangor jadi Kelantan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Tumbuk muka kekasih, gara-gara tak dapat pinjam kereta

Kau ingat hamba abdi kau ke – Reen Rahim

Netizen balun Jabatan Perdana Menteri, tak tahu beza antara padi dan gandum

Pulau Pinang milik Kedah, jadi tiada isu sempadan – Sanusi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker