Jenayah sadis makin dasyat

Jenayah sadis makin dasyat

Satu wajah namun memiliki dua personaliti berbeza termasuk ‘rahsia’ identiti sebagai pembunuh sadis.

Itu antara rumusan penganalisis jenayah bebas, Shahul Hamid Abdul Rahim berhubung kekerapan kes pembunuhan kejam ‘luar kotak’ berlaku di negara ini.

Terbaru ia membabitkan kes pembunuhan seorang gadis berusia 21 tahun yang dipukul hingga mati, sebelum perutnya toreh dan mayatnya dibakar teman lelaki.

Dalam kejadian Isnin lalu, mayat mangsa ditemui hangus di kebun kelapa sawit di Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor.

Shahul berkata, kes pembunuhan terbaru itu menggemparkan negara dan mengundang simpati ramai.

“Jika luaran seseorang itu tampak normal, tidak bermaksud orang itu (pembunuh) tidak akan bertindak di luar batasan akal. Mungkin dia sudah lama menyimpan masalah dihadapi atau konflik psikologi,” katanya.

Beliau berkata, terdapat banyak faktor mempengaruhi seseorang bertindak di luar kawalan termasuk faktor tekanan hidup, dendam dan masalah kewangan yang mengganggu fikiran hingga menyebabkan suspek bertindak kejam.

“Ada kes pembunuhan kejam berpunca ‘isu’ yang dipendam lama oleh suspek dan ia menanti masa untuk ‘dikeluarkan’.

“Sepanjang tempoh itu, mungkin kita nampak mereka seperti tiada masalah, tetapi jauh di dalam (jiwa), individu itu sebenarnya sedang menunggu masa untuk ‘meletup’.

“Pada masa sama, ada juga kes pembunuhan kejam yang dilaporkan berpunca pengaruh dadah atau alkohol menyebabkan suspek hilang pertimbangan sebelum bertindak kejam terhadap mangsa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Shahul berkata, antara faktor lain yang mendorong pembunuhan kejam adalah terikut-ikut trend dunia luar yang disebarkan melalui media sosial.

“Jika dulu, kita hanya mendengar kes pembunuhan kejam, sadis dan pelik hanya dilaporkan di luar negara.

“Namun kini ia berjangkit ke Malaysia kebelakangan ini. Sudah ada trend dan pengaruh luar yang mendorong perbuatan jenayah ini,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga sebilangan kecil kes pembunuhan kejam berlaku secara terancang seperti penculikan membawa kepada pembunuhan, dibakar atau dibuang kerana mahu menghapuskan bukti,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Rezki Perdani Sawai berkata, mencari jalan pintas untuk menutup malu dan kesalahan dilakukan turut boleh menjadi punca pembunuhan kejam.

Menurutnya, faktor masalah keluarga berantakan, tekanan hidup dan kegagalan mengawal emosi antara faktor utama seseorang itu tergamak melakukan perbuatan di luar batas.

“Bila emosi itu negatif atau kurang consciousness (kesedaran) maka terjadilah perkara seperti ini,” katanya.

Dr Rezki berkata selain itu, pengaruh rakan sebaya, media sosial, filem dan sejarah hidup antara faktor menyebabkan seseorang itu tergamak bertindak di luar kawalan.

Tambahnya, personaliti psikopat juga menjadi salah satu faktor kecenderungan melakukan perbuatan di luar logik akal walaupun mampu bergaul secara normal di dalam komuniti sosial.

“Individu psikopat ini kurang atau tiada rasa bersalah. Bila bercakap tentang rasa bersalah ini dari segi psikologi individu terbabit tiada rasa empati atau kemampuan menyelami emosi dan perasaan orang lain,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat membuat sebarang kesimpulan berhubung keadaan mental suspek terbabit kerana perlu mengambil kira pelbagai aspek dan latar belakang kejadian.

‘Karakter suspek boleh berubah-ubah’

Jenayah pembunuhan kejam boleh berlaku atas faktor crime of passion termasuk membabitkan siri kes mangsa dirogol sebelum dibunuh kejam.

Secara dasarnya istilah crime of passion merujuk kepada ledakan kemarahan yang membabi buta kerana merasa terhina dan cemburu hingga membuatkan pelaku tergamak melakukan pembunuhan kejam.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, isu pembunuhan kejam ada kaitan dengan karakter seseorang yang boleh berubah mendadak akibat pelbagai faktor termasuk kesempitan hidup.

“Ada banyak faktor yang mendorong pembunuhan kejam termasuk faktor psikologi di mana penjenayah memiliki karakter ganas.

“Jika penjenayah terserempak dengan mangsa dan takut mangsa mengenalinya, ia turut boleh mendorong kepada kes bunuh.

“Ada juga kes di mana suspek cuba menakutkan mangsa sehingga berlaku keganasan menyebabkan mangsa dibunuh selain mangsa melawan dan akibatnya terbunuh. Terdapat juga penjenayah dilaporkan di bawah pengaruh dadah ketika kejadian (pembunuhan kejam),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, kebelakangan ini, kegawatan ekonomi dan kesempitan hidup mendorong individu tertentu mengambil peluang melakukan jenayah.

“Jenayah bunuh ini kadang-kadang berlaku kerana crime of passion apabila mangsa dirogol dan kemudian dibunuh. Ia agak serius kerana karakter suspek boleh berubah-ubah.

“Ia (pembunuhan) tidak boleh dijangka kerana pembunuhan boleh berlaku disebabkan pergaduhan. Untuk mengelakkan dikesan polis, mayat mangsa dibakar, ditanam atau dibuang ke dalam sungai,” katanya.

Menurutnya, cabaran dalam penyiasatan kes bunuh adalah mendapatkan saksi yang melihat kejadian itu.

Majikan mahu pastikan pemergian mangsa diadili

“Walaupun kejadian itu amat meruntun hati, saya akan pastikan pemergian arwah diadili sebaik-baiknya.”

Begitu kata Mohd Eirham Romsani, 37, majikan kepada wanita berusia 21 tahun yang mayatnya ditemui dalam kawasan belukar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau di sini, Isnin lalu.

Anak yatim piatu malang itu bukan sahaja dibunuh dan dibakar dua kali, malah perutnya ditikam dengan pisau untuk mengeluarkan kandungannya berusia empat bulan.

Susulan kejadian, seorang lelaki berusia 20 tahun ditahan polis dan mengaku berbuat demikian kerana mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit dengan mangsa.

Menceritakan peribadi arwah, Mohd Eirham berkata, mangsa yang juga anak yatim piatu mula kerja di restorannya Disember tahun lalu sebagai pelayan dan dinaikkan pangkat kepada juruwang selepas Aidilfitri.

“Dia seorang yang komited. Pernah motosikalnya rosak namun tetap datang bekerja.

“Memang kami sangat rapat sehingga anak saya pun mengenalinya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, ketika ini dia belum bersedia membuka semula restoran selepas mengetahui tragedi menimpa mangsa.

“Pada hari kejadian, saya dan pekerja dengar ada kes bunuh dan bakar di Jalan Sungai Limau. Rasa tidak sedap hati itu timbul apabila mengetahui arwah hilang lalu cuba menghubunginya namun gagal.

“Dalam masa sama, nampak gambar mayat tular di laman sosial dan gerak hati kami mengatakan itu adalah arwah,” katanya.

Menurutnya, dia menganggap tragedi hitam itu tidak seharusnya berlaku memandangkan ramai orang mengenali mangsa.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan.

Majlis pengebumian yang selesai 8.25 malam dihadiri ribuan orang terdiri ahli keluarga, sahabat, jiran dan penduduk kampung.

Sebelum ini, media melaporkan keputusan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kerana tikaman di dada pada badan yang melecur.
Suspek direman sehingga 29 Mei ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. HM

Jenayah sadis makin dasyat

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Bunuh Skandal Sebab Hamil, Teman Wanita Sifatkan Suspek Seorang Yang Baik

Pelajar Ini Selamba Tanya PMX Bila e-Belia Akan Masuk (Video)

Hanya dua minggu kecapi bahagia sebagai suami isteri (Video)

Syatilla Melvin beri amaran kepada penyondol (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker