Tiada perbincangan ‘korban kerusi’ di Selangor – PH
Tiada perbincangan ‘korban kerusi’ di Selangor – PH
Pakatan Harapan (PH) Selangor menafikan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasainya akan ‘dikorbankan’ untuk memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman, berkata perkara itu juga tidak dibincangkan pihaknya bersama Barisan Nasional (BN) dalam rundingan berkaitan agihan kerusi untuk mendepani PRN nanti.
Mengulas lanjut, katanya, pendirian pihaknya sangat jelas seperti mana diputuskan PH di peringkat pusat bahawa parti akan kekal bertanding di kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Tidak ada perbincangan berkaitan ‘korban kerusi’ di Selangor. Pendirian PH Selangor sebagaimana kenyataan Ketua Setiausaha PH (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) iaitu ‘status quo’ bagi semua kerusi yang dimenangi oleh PH.
“Jika kita tidak boleh menang banyak, jadi kenapa perlu adanya kerjasama,” katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian mengulas laporan menyatakan PH mungkin akan menyerahkan sekurang-kurangnya lima kerusi ‘selamat’ kepada BN dalam langkah strategik bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan.
DAP dan PKR dikatakan melakukannya untuk memastikan Selangor tidak jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN)
Malah, nama Bendahari BN Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, antara beberapa calon gabungan itu yang mungkin bertanding di kerusi selamat, yang dijangka dikorbankan oleh DAP dan PKR pada PRN akan datang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu yang tewas di Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dijangka diberi kerusi bandar majoriti Melayu yang agak selamat.
Antara kerusi disebut mahu dikorbankan adalah Sungai Pelek, Kota Kemuning, Dusun Tua, dan Dengkil.
Sebelum ini, Saifuddin berkata, PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada PRU14 dalam menghadapi PRN di enam negeri kelak.
Katanya, perbincangan pusingan pertama antara PH dan BN bersetuju membabitkan beberapa parameter yang akan memandu ke arah pengagihan kerusi pilihan raya, antaranya kerusi penyandang kekal untuk parti yang menang pada PRU14.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, beliau percaya undi orang Melayu di Selangor lebih bersifat realistik dan yakin keputusan pilihan raya itu nanti akan memihak kepada PH.
Katanya, PH Selangor juga yakin pengundi muda melalui UNDI18 di Selangor akan terus bersama dengan PH.
Berdasarkan keputusan PRU14, PH menang di 40 daripada 55 kerusi DUN di Selangor dengan PKR memenangi 19 kerusi, DAP (15) dan AMANAH (enam).
BN dan PN pula memenangi masing-masing lima kerusi. BH
Tiada perbincangan ‘korban kerusi’ di Selangor – PH
Baca Artikel Menarik:
- Shila Amzah dedah jadi magsa dera
- Maya Karin jawab soal kahwin
- Ahirine dedah pelakon lelaki ajaknya jadi kekasih gelap
- Peserta ratu cantik tunggang motosikal takut terlewat
- Adakah Muhyiddin bodoh atau pura-pura bodoh
- Sanusi mengadu ada gerakan singkirkannya dari Majlis Kewangan Negara
- Penumpang pesawat dihalau keluar menangis teresak-esak
- Zahid batalkan semua projek Jana Wibawa berjumlah RM7.2 bilion
- Gaji diawalkan 14 April sempena Aidilfitri – Cueapacs
- Artis rambut merah berlagak Diva dibenci ramai
- Intan Najuwa sorok tunang
- Remy puji Puteri Sarah
Layari Laman Facebook MYKMU.NET