Guru, pegawai bank turut terima Insentif Pengeluaran Getah

Guru, pegawai bank turut terima Insentif Pengeluaran Getah

ALOR SETAR: Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH) mendakwa berlaku kesalahan dalam bayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG) apabila ada pemilik tanah kebun yang memiliki kerja tetap turut mendapat bantuan itu.

Pengerusinya, Mohd Taufik Yaacob, berkata keadaan itu menyebabkan penoreh sebenar yang sepatutnya menerima bantuan tidak layak memohon IPG menyebabkan keluarga mereka terus hidup di bawah paras kemiskinan.

Justeru, beliau berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (PKP) sepatutnya menentukan siapa sebenarnya golongan penoreh yang melakukan kerja menoreh getah dan pemilik tanah yang menggunakan kaedah pawah.

“Kita ada ramai penoreh seluruh negara, namun yang dapat tuntut IPG ini adalah pemilik kebun sahaja. Ada antara pemilik tanah ini golongan senang, bekerja sebagai kakitangan awam seperti guru dan ada juga pegawai bank. Mereka ini ada gaji tetap dan bukan miskin tegar, penoreh yang ambil upah menoreh di kebun mereka yang hidup susah.

“Ini berlaku kerana syarat untuk tuntut IPG mesti ada geran tanah atau kebun, sudah semestinya mereka yang bekerja tetap ini mampu beli tanah kebun getah. Hanya sebahagian saja penoreh yang menoreh di kebun sendiri kerana kebanyakan mereka menoreh di kebun milik orang lain.

“Sekiranya ada pemilik kebun baik hati, mereka akan kongsi bayaran IPG dengan penoreh. Tetapi jika pemilik kebun diam, maka penoreh tak dapat apa-apa sedangkan mereka hidup susah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram, dengan peruntukan berjumlah RM350 juta bagi membantu pekebun kecil yang terbabit dalam sektor getah.

Mohd Taufik berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sepatutnya mengkaji semula sistem agihan IPG yang dilaksana sejak 2015 bagi memastikan hanya golongan sasar dan benar-benar layak sahaja dapat menuntut bayaran itu.

Katanya, PERGETAH juga berharap penoreh yang mengambil upah menoreh secara pawah turut diberikan kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) bagi membolehkan mereka turut menerima bayaran IPG.

“Mengikut laporan yang dikeluarkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) hanya RM575 juta bayaran IPG dibuat bermula 2015 hingga 2022, sedangkan dalam tempoh itu kerajaan memperuntukkan RM2 bilion untuk IPG, ia membuktikan tidak ramai penoreh dapat menuntut bantuan itu.

“Proses tuntutan IPG juga penuh birokrasi dan menyusahkan, di Kedah contohnya, tuntutan IPG hanya boleh dibuat di pejabat LGM di Sungai Petani, kita cadangkan agar diwujudkan mini kaunter LGM di setiap daerah bagi tujuan tuntutan berkenaan.

“Kaunter ini boleh dibuka di pejabat kerajaan atau di pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), cara ini lebih efisien bagi memastikan IPG dapat dituntut dengan mudah berbanding penoreh yang tinggal jauh di pedalaman terpaksa ke bandar bagi membuat tuntutan,” katanya.

Selain itu, Mohd Taufik menegaskan, skim IPG juga dilihat kurang relevan di negara ini berikutan faktor cuaca yang tidak menentu menyebabkan bantuan itu memerlukan penambahbaikan.

“Faktor cuaca negara ini menyebabkan musim hujan atau kemarau menjadi terlalu panjang sehingga penoreh hanya dapat ke kebun beberapa hari sahaja dalam tempoh sebulan. Selepas menoreh, hendak penuhkan satu mangkuk tadahan ambil masa tiga ke lima hari, sedangkan IPG dibayar mengikut kilogram.

“Disebabkan itu, saya sarankan sebahagian dana IPG yang berjumlah berbilion ringgit itu dikeluarkan dan disalurkan di bawah skim Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) supaya lebih ramai penoreh mendapat faedahnya,” katanya. BH

Guru, pegawai bank turut terima Insentif Pengeluaran Getah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rintihan hati Ali Puteh

Diana peroleh hadanah interim dua anak

Ini kata mahkamah kepada Farid dan Diana

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker