40 balang 40 rasa

40 balang 40 rasa

KUALA TERENGGANU: “Seawal jam 4 pagi saya sudah memulakan kerja memasak air, membuat air gula dan membuat bancuhan perisa untuk menyediakan 40 balang air yang dijual setiap hari,” kata Muhammad Fahmi Sulaiman, 28, yang menjalankan perniagaan air balang di Bazar Ramadan Chabang Tiga, dekat sini.

Muhammad Fahmi berkata, pelbagai cabaran perlu dilalui untuk menyediakan 40 perisa air yang berlainan menggunakan pelbagai bahan dan campuran selain menggunakan 200 beg air batu setiap hari.



Katanya, dia turut menggunakan 172 liter air gula sebagai pemanis kepada air tertentu yang memerlukan penggunaan air gula sebagai bahan campuran.

“Selain itu, 10 tenaga kerja digunakan yang mana tiga orang membantu saya di rumah untuk kerja-kerja awal manakala tujuh lagi akan membantu untuk menjual air balang di bazar Ramadan.

“Tahun lalu saya hanya menjual 26 jenis air balang namun tahun ini saya menambah sehingga menjadi 40 balang air pelbagai perisa.

“Setiap balang airnya berlainan dan tahun hadapan saya berhajat untuk menambah 20 balang lagi menjadikan 60 balang keseluruhannya,” katanya yang berasal dari Kampung Kuala Ibai, di sini.



Menurutnya, kerja hakikinya setiap hari iaitu menjual air balang di Taman Awam Lagun Kuala Ibai, di sini dan pengalaman sepanjang sembilan tahun berniaga air balang setiap hari membolehkannya menyediakan air dengan pelbagai perisa dalam kuantiti yang banyak.

Katanya, kalau ikutkan sememangnya letih kerana setiap hari perlu membancuh 40 perisa air dan selain itu perlu ke pasar basah dan pasar raya bagi mendapatkan barangan untuk membuat air.

Muhammad Fahmi berkata, namun lelahnya terubat apabila air balang yang dijual mendapat sambutan pengunjung di bazar bekenaan selain ia adalah satu kelainan kerana menyediakan pelbagai jenis air balang dalam jumlah yang banyak.

“Air balang ini dijual dengan harga segelas RM2 namun untuk tiga gelas saya hanya menjual RM5 manakala bagi yang dibungkus di dalam plastik sebungkus RM3 manakala dua bungkus hanya RM5.



“Dengan harga serendah ini dapat meringankan beban pengguna terutama yang mempunyai anak ramai selain mereka dapat merasa pelbagai jenis air yang diinginkan.

“Contohnya, bagi yang membeli tiga gelas mereka boleh memilih tiga jenis air berlainan untuk dinikmati,” katanya.

Katanya, untuk menyediakan 40 perisa air berlainan memerlukan kesabaran dan dia terpaksa membuat senarai dan setiap jenis air yang siap dibancuh akan ditanda bagi mengelak dia mengulangi membuat perisa yang sama.

Katanya, air yang sering menjadi pilihan dan antara yang cepat habis serta perlu dibancuh lebih tiga hingga empat kali ketika sedang berniaga termasuk asam boi, blue lemon, soda mangga dan coklat.



Tambahnya, antara air yang dicipta sendiri adalah strawberi yogurt, jambu asam boi padu dan laici kang padu.

Pembeli, Mastura Abdullah, 40, berkata dia teruja melihat pelbagai aneka air balang dijual di gerai berkenaan selain harganya juga murah dan berpatutan.

“Saya tahu pemilik air balang berkenaan adalah peniaga air pada hari biasa dan bukannya peniaga bermusim apabila tiba bulan Ramadan.

“Justeru, saya memilih gerai berkenaan selain mempunyai pelbagai pilihan air balang, pemiliknya juga mempunyai pengalaman dalam penyediaan air yang dijualnya,” katanya. BH



40 balang 40 rasa

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Rintihan hati Ali Puteh



Diana peroleh hadanah interim dua anak

Ini kata mahkamah kepada Farid dan Diana

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker