Hapus harga siling gula – Ameer Mydin
Harga RM2.85/kg tidak diselaraskan selama bertahun-tahun dan jauh lebih murah berbanding negara jiran.
Hapus harga siling gula – Ameer Mydin
Ketua rangkaian pasar raya besar tempatan menggesa harga siling runcit gula dimansuhkan susulan laporan bahawa had RM2.85/kg, yang hampir tidak berubah sejak sedekad lalu, mungkin diapungkan.
Pengarah Urusan Pasaraya Mydin, Ameer Ali Mydin, berkata kerajaan bukan sahaja perlu membenarkan mekanisme pasaran bebas dalam pasaran gula tetapi juga harus menghapuskan permit import (AP) untuk mengimport gula bagi mewujudkan “padang yang sama rata”.
CGS-CIMB Research berkata, minggu lalu industri penapisan gula sedang berbincang dengan kerajaan untuk mengapungkan harga siling runcit gula, yang menyaksikan kenaikan bersih hanya 1 sen sejak 2013.
Terdapat kenaikan 11 sen pada 2017 kepada RM2.95/kg sebelum harganya diturunkan kepada RM2.85/kg pada 2018.
“Harganya tidak diselaraskan selama bertahun-tahun dan jauh lebih murah berbanding negara jiran, yang membawa kepada ketirisan,” kata Ameer.
“Kerajaan harus secara progresif membenarkan pasaran bebas dan membuka import gula. AP, yang diberikan kepada segelintir orang yang mempunyai hak istimewa, juga harus dihapuskan.
“Jika pengilang meminta supaya harga gula tidak dikawal, maka kerajaan juga harus membuka import untuk berlaku adil.”
Beliau berkata, jika sistem pasaran bebas dilaksanakan, orang ramai akan memilih pengeluar tempatan jika kos import gula lebih mahal, begitu juga sebaliknya.
Sementara itu, ahli ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Razak berkata mekanisme harga siling mewujudkan “banyak gangguan dalam pasaran”.
Beliau berkata, walaupun harga makanan dan minuman yang menggunakan gula pasti akan meningkat jika harga siling dinaikkan, ini harus ditimbang dengan risiko kesihatan penggunaan gula secara berlebihan.
Menyedari bahawa harga gula di Malaysia adalah bawah purata serantau, Barjoyai berkata dengan adanya pasaran bebas akan menjadikan harga lebih realistik, dan akan memberi manfaat kepada kedua-dua pengilang dan pengguna.
MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd menguasai perniagaan penapisan gula tempatan, dengan MSM menikmati 60% bahagian pasaran berbanding CSR dengan 40%.
Dalam temubual dengan The Sun Daily baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad, menyatakan harga siling Malaysia iaitu RM2.85/kg adalah lebih murah daripada negara pengeluar gula terkemuka seperti Thailand, di mana gula dijual pada harga RM3.50/kg.
Beliau berkata, gula di seluruh Asia dijual pada harga antara RM4.50 dan RM6.50/kg.
Gula adalah barang terkawal bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, dengan mereka yang menjual melebihi harga siling berdepan denda RM100,000, penjara tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Syarikat pula berdepan denda RM500,000 bagi kesalahan pertama. FMT
Hapus harga siling gula – Ameer Mydin
You must be logged in to post a comment.