Muhyiddin dipanggil beri keterangan di Ibu Pejabat SPRM esok

Muhyiddin dipanggil beri keterangan di Ibu Pejabat SPRM esok

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan akan hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) esok untuk memberi keterangan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman mengesahkan perkara itu.



Beliau berkata seluruh barisan kepimpinan tertinggi BERSATU sudah bersiap sedia untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM esok untuk menghadapi apa saja kemungkinan.

“Hingga kini tiada penafian daripada pihak SPRM mengenai dakwaan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditahan.

“Kami barisan kepimpinan tertinggi parti akan pergi Ibu Pejabat SPRM esok pagi, kita tunggu sahaja esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya sama ada Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Pagoh itu sudah ditahan, Dr Faiz berkata setakat 6.30 petang ini belum ada apa-apa berita mengenai penahanan beliau.



“Setakat ini, yang diberitahu kepimpinan parti ialah esok jika presiden disahkan menerima arahan untuk ke ibu pejabat SPRM, kami akan bersama-sama beliau ke sana,” katanya.

Terdahulu sejak petang tadi, spekulasi bertiup kencang bahawa SPRM akan menahan seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik dan mengheretnya ke mahkamah atas pertuduhan rasuah.

BH difahamkan pertuduhan akan dikenakan terhadap pemimpin parti itu yang dikatakan sebagai ‘VVIP’, berkaitan siasatan berterusan SPRM terhadap dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.

Desas-desus Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.



Bendahari Agung BERSATU, Datuk Salleh Bajuri turut ditahan SPRM pada 2 Februari lalu selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh parti kepada pembekal dan vendor parti.

Akhir bulan lalu, SPRM membekukan beberapa akaun milik parti BERSATU dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) sebagai saksi dan bukannya suspek.

Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu adalah antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.



Pada 20 Februari lalu, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.

Pada 21 Februari lalu, bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama.



Pada 28 Februari lalu, Adam Radlan didakwa kali ketiga berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.

Terdahulu, pada 22 Februari lalu, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung Program Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.

Program Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir Perikatan Nasional (PN) diterajui Muhyiddin. BH



Muhyiddin dipanggil beri keterangan di Ibu Pejabat SPRM esok

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Musa Hassan beri amaran jangan masuk campur urusan keluarga [VIDEO]

Logo rahsia beruang pada coklat Toblerone

Didakwa gigit ‘kemaluan wanita’, anak billionair dipanggil polis

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker