Tiga faktor punca jemaah umrah terkandas, tiada penginapan

Tiga faktor punca jemaah umrah terkandas, tiada penginapan

Tiga faktor iaitu permainan harga oleh pengusaha hotel, tawaran pakej ejen pelancongan Indonesia lebih tinggi dan kerenah jemaah Malaysia, adalah di antara faktor yang menyumbang kepada isu jemaah umrah terkandas dan tiada penginapan di Makkah dan Madinah.

Berikutan sambutan menggalakkan jemaah seluruh dunia untuk mengerjakan haji dan umrah, pengusaha dan pemilik hotel di Arab Saudi, didakwa lebih mengutamakan keuntungan dan tawaran harga lebih tinggi.

Pengurus Umrah Muqmeen Travel and Tours Sdn Bhd, Mohd Khairil Azwan, berkata disebabkan itu biarpun ada syarikat ejen pelancongan yang sudah membayar deposit, namun tempahan dibatalkan pada saat akhir dan diberi kepada syarikat lain yang menawarkan harga atau meletakkan deposit lebih tinggi.

Beliau berkata, begitu juga dengan faktor kuasa pembeli di Indonesia menjadikan harga pakej umrah yang ditawarkan antara syarikat pelancongan Indonesia dan Malaysia sangat jauh beza.

“Pakej ekonomi ditawar syarikat umrah Indonesia bermula pada harga RM10,000 seorang, manakala di Malaysia masih ada yang menawarkan bawah RM7,000.

“Jadi harga pakej syarikat Malaysia memang tidak lagi relevan pada waktu ini, bila syarikat Indonesia kenakan pakej ekonomi pada harga berkenaan, mereka boleh tawarkan harga tinggi bagi tempahan atau pajakan hotel.

“Yang tawar harga rendah memang akan ditolak secara automatik oleh pihak hotel,” katanya kepada BH hari ini.

Mohd Khairil memaklumkan, beliau juga sudah mengadakan pertemuan dengan beberapa pengusaha hotel di Makkah dan Madinah, bagi mengutarakan isu kos penginapan dan pembatalan tempahan saat akhir.

“Mereka dedahkan sebab keutamaan kepada jemaah Indonesia berbanding Malaysia. Kata mereka jemaah Indonesia bayar lebih, tapi kurang permintaan atau tiada permintaan lain, berbeza jemaah Malaysia, bayar rendah tetapi minta bermacam-macam.

“Jemaah Indonesia tidak kisah dari segi jarak hotel, makan atau minum, yang penting pada mereka adalah sampai di sana.

“Mereka rata-rata tidak kisah, tapi jemaah Malaysia berbeza. Mahu bayar harga rendah selepas itu mahu hotel yang dekat 50 meter, 10 meter ke Masjidilharam, sedangkan mereka tahu situasi semasa di sana.

“Jadi mereka yang mahu ke sana kena ubah pemikiran, kalau hendak dapat hotel dekat, makanan disediakan, memang pakej itu perlu RM10,000 dan ke atas,” katanya.

Jelasnya, syarikat ejen pelancongan umrah yang mempunyai ‘panel’ hotel di Arab Saudi juga menghadapi masalah sama kerana semuanya berbalik kepada tawaran harga tertinggi.

“Memang ada syarikat yang sudah ada ‘panel’ hotel mereka di sana tetapi perlu diingat persaingan untuk menempah hotel sangat tinggi, jadi ia tetap kembali kepada siapa yang menawarkan harga lebih tinggi.

“Contoh kita syarikat ejen pelancongan yang ada modal, kita boleh sahaja untuk buat tempahan atau pajak bilik selama setahun, itu tidak jadi masalah selagi ada modal.

“Namun kita juga perlu bersaing dengan syarikat ejen pelancongan dari negara lain, seperti Mesir, Afrika, Indonesia yang turut mahu membuat tempahan dan mereka juga meletakkan deposit, jadi terserah mereka hendak letak beberapa, kebiasaan lebih tinggi.

“Jadi ini juga menyumbang kepada kekurangan bilik, sebab kuota untuk bilik pada harga normal sudah habis kerana sudah diambil syarikat lain,” katanya.

Sabtu lalu, hampir 400 bakal jemaah kecewa selepas sebuah agensi pelancongan memaklumkan penangguhan penerbangan ke Tanah Suci bagi menjalani ibadah umrah, pada saat akhir.

Lebih mendukacitakan, apabila kumpulan pertama yang sepatutnya berlepas pada 25 Februari lalu, menerima mesej dua hari sebelum penerbangan dengan alasan tiada kekosongan hotel di Makkah.

Semalam Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) sudah mengadakan perjumpaan dengan wakil Kerajaan Arab Saudi bagi menyelesaikan masalah kekurangan penginapan di Makkah yang membelenggu agensi pelancongan. BH

Tiga faktor punca jemaah umrah terkandas, tiada penginapan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Ceramah Ustaz Wadi Annuar pula dibatalkan di Selangor

Rasa Macam Nak Bagi Penampar, Awie Naik Angin

Tetamu tidak hadir majlis perkahwinan, Pengantin rugi RM121,000

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker