Hukum prank dalam Islam

Hukum prank dalam Islam

Gara-gara gurauan, seorang bayi berusia lima bulan maut akibat dirempuh oleh kereta yang dipandu oleh neneknya. Nenek yang terkejut dengan gurauan seorang lelaki yang memberitahu adanya seekor ular di dalam kereta tersebut, menyebabkan dia menekan pedal minyak, yang tertukar dengan pedal gear.

Begitulah, cerita benar tersebut pernah terpampang di dada akhbar dan di kaca televisyen suatu ketika dahulu. Begitu juga demi sebuah “content” untuk mendapatkan jumlah “view” yang tinggi, seorang tiktoker sanggup bergurau dengan membaling kek kepada wanita yang punya anak OKU di tempat awam. Apabila videonya mendapat kecaman masyarakat barulah terdedah bahawa itu hanya lakonan mereka untuk tujuan “experiment social”.

Akibat gurauan, nyawa melayang, kerana gurauan, maruah tercalar, kerana gurauan, saudara berdendam, dan kerana gurauan, masyarakat hilang kesopanan.

Semuanya kerana gurauan. Sudah banyak kes yang kita dengar, namun ramai yang tidak mengambil pengajaran daripadanya. Bahkan, dalam masyarakat hari ini, gurauan itu sudah dianggap budaya.

Ada yang bersetuju, dan ada juga orang yang tidak bersetuju dengan gurauan sesetengah pihak. Kerana mungkin baginya, gurauan yang diberikan kadang-kala melampaui batas. Ketika dalam keadaan yang tidak setuju, maka keluarlah kata sinis seperti “Tak boleh bergurau, pergi duduk surau”. Alahai..sampai begitu sekali pandangan orang terhadap agama.

Apakah Islam itu terlalu rigid hingga tidak boleh langsung bergurau? Apakah Islam itu agama yang serius? Dan apakah nabi Muhammad s.a.w tidak pernah bergurau selama hayatnya?

Segala tuduhan yang dilemparkan kepada Islam itu, semuanya tidak benar. Islam adalah agama yang mengharuskan gurauan, namun yang menjadi haramnya ialah apabila gurauan itu keterlaluan.

Bergurau keterlaluan ini sebenarnya telah menjadi budaya masyarakat untuk mengenakan orang lain. Mungkin pada orang yang bergurau, niatnya sekadar untuk suka-suka.

Namun orang yang kena gurau, tercalit perasaan marah, malu, geram dan sedih. Lebih teruk lagi apabila gurauan itu dilakukan di hadapan orang ramai, hingga ada yang menyebabkan gurauan seumpama itu tidak menyenangkan orang yang digurau tersebut.

Zaman Prank?

Tidak keterlaluan jika dinyatakan, zaman ini ialah zaman kenakan orang atau istilah popularnya prank. Ini zaman tidak pedulikan maruah seseorang, zaman aib orang dijaja ke situ sini, dan zaman yang penuh dengan fitnahnya.

Pelbagai isu dan persoalan timbul, apatah lagi selepas kemunculan pelbagai rancangan televisyen dan di radio yang berniat mengenakan orang. Tujuannya mungkin sekadar suka-suka, tetapi pandangan Islam harus diutamakan.

Kalau ingin disenaraikan, terlalu banyak program di televisyen, radio dan media sosial seperti tik tok yang berkonsepkan ‘prank’ (gurauan) semata-mata, contohnya Panggilan Hangit, Wa kena beb, Kena Kantoi, Just for laugh, Howie do it, Bang bang boom, dan bermacam lagi.

Semua program seumpama ini akan menjadikan seseorang sebagai subjek yang dijadikan bahan jenaka dan akhirnya membawa kepada gelak ketawa. Situasi sengaja direka dan perkara ini tidak diketahui oleh mangsa. Aksi tindak balas mangsa yang pelbagai akhirnya menimbulkan ketawa.

Seronok jutaan rakyat Malaysia mendengar dan melihatnya dengan aksi yang pelbagai, marah, geram, lucu, menyampah dan seumpamanya akhirnya boleh menghilangkan tekanan mereka yang melihat atau mendengarnya.

Namun, pernahkah terfikir? Apakah perasaan mangsa? Jika kita berada di situasi sedemikian, apakah tindakan kita seumpama itu? atau mungkinkah lebih dahsyat lagi?

Inilah antara contoh gurauan yang diharamkan dalam Islam. Perkara ini juga termasuk dalam bab mengaibkan orang lain, yang jelas hukumnya haram di sisi syarak. Tidak kira ia dilakukan atas alasan apa sekalipun.

Dalam bergurau, sepatutnya kedua belah pihak mengetahui akan situasi yang dihadapi ketika itu adalah dalam keadaan bergurau. Apabila salah seorang tidak mengetahui keadaan ketika itu adalah sedang bergurau, maka ia tidak menepati hukum asal harusnya bergurau.

Apatah lagi gurauan itu diselitkan dengan penipuan (mereka-reka cerita), aksi terlampau, dan lebih memburukkan keadaan apabila jutaan masyarakat sedang menonton aksinya.

Matlamat tidak menghalalkan cara

Mengada-adakan cerita untuk memberi hiburan kepada orang lain, walaupun sekadar bergurau senda, diharamkan dalam Islam. Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya fiqh al-Lahwi wa at-Tarwih (fiqah tentang hiburan dan perkara-perkara yang memberi keseronokan dan melucukan) telah memberi garis panduan berkenaan gurauan yang diharuskan syariat.

Perkara pertama yang ditegaskan ialah jangan menjadikan pembohongan atau sesuatu yang diada-adakan sebagai bahan untuk menjadikan orang ketawa. Ia bersandarkan kepada hadis Nabi s.a.w.

“Kecelakaan untuk orang yang bertutur, lalu ia berdusta semata-mata untuk menjadikan orang ramai ketawa. Kecelakaanlah untuknya, kecelakaanlah untuknya.” (Musnad Ahmad)

Daripada pandangan ulama kontemporari itu jelas konsep kesemua program di televisyen mahupun di radio yang bertujuan mengenakan orang lain, namun dilakukan atas dasar gurauan, haram hukumnya. Ia jelas, kerana setiap situasi yang dilakukan itu sengaja direka-reka bagi menimbulkan suasana yang melucukan.

Ia berlanjutan sehingga berlaku beberapa perkara yang tidak diingini, seperti melahirkan rasa marah mangsa yang terkena, hingga mengeluarkan kata-kata kesat, maki hamun, cacian dan pelbagai lagi kata-kata negatif yang tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang Muslim.

Bukankah itu telah mengaibkan sesama Muslim? Sampaikan boleh mendatangkan pandangan yang tidak elok kepada orang bukan Islam dengan perlakuan orang Islam yang sebegitu.

Si mangsa juga akan malu apabila mendapat tahu perbuatannya itu diketahui oleh jutaan orang secara langsung. Perkara itu akan membuatkan emosinya merundum. Jelas implikasinya sangat banyak dan selebihnya mendatangkan kesan negatif.

Gurauan yang berupa penghinaan kepada orang lain juga tidak dibenarkan dalam Islam. Bila sebut sahaja tentang gurauan, bagi setiap kita, tiada batas dan hadnya.

Apabila bergurau, kadang-kadang kisah silam orang itu juga diungkitnya, kecacatan juga dijadikan bahan untuk orang ketawa dengannya. Apa yang diucapkan, harap difahami oleh mereka yang terkena, itu hanya gurauan semata-mata, tidak perlu disimpan dalam hati.

Namun, bagi mereka yang menjadi mangsa kesannya menusuk sampai ke dalam hati. Pasti ada secalit perasaan sedih, marah, dan kecil hati dalam diri dengan gurauan seperti itu. Apatah lagi apabila bergurau itu dilakukan di hadapan orang yang tidak dikenali, atau kurang dimesrai selama ini.

Sabda Nabi s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim,

“Cukuplah seseorang itu dianggap jahat apabila ia menghina atau merendah-rendahkan saudara Muslimnya.”

Antara alasan lain membuatkan program gurauan seperti yang disebutkan itu adalah haram ialah kerana ia boleh menimbulkan ketakutan kepada orang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.

“Tidak halal bagi seseorang menimbulkan ketakutan kepada seseorang Muslim yang lain.” (HR Imam at-Thabarani)

Ia berkaitan dengan sebarang situasi yang sengaja direka yang menyebabkan si pemanggil atau subjek merasa tertekan dengannya. Sebagai contoh, pihak yang tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa kereta yang dipandu oleh mangsa bakal ditarik kerana tidak berbayar selama beberapa bulan, walhal bil kereta itu tidak pernah tertunggak sebelum ini.

Gurauan itu sekaligus menyebabkan mangsa merasa tertekan dan takut, serta mengandaikan bayaran yang dilakukan olehnya sebelum ini mungkin tidak diterima oleh pihak bank.

Bukankah situasi seperti itu telah menganggu emosi dan kerjanya selama mana ia berlangsung?. Bahkan, ada juga yang bergurau di tempat yang sepatutnya tidak berlaku gurauan.

Dr. Yusuf Qadrawi juga mengingatkan, jangan bergurau pada tempat yang sepatutnya bersikap serius, dan jangan ketawa pada tempat sepatutnya menangis. Nabi s.a.w pernah berpesan,

“Tiga perkara sesungguhnya adalah sungguh dan gurauannya juga adalah sungguh: nikah, talak, rujuk.” (HR at-Tirmizi)

Secubit garam, bukan segenggam

Berguraulah sekadar sahaja untuk menghilangkan gundah gelana dan kesedihan orang terdekat. Jangan berlebih-lebih, ikutlah sunnah nabi sebagaimana hadis yang diceritakan oleh Anas bin Malik r.a.

“Seorang lelaki meminta daripada Rasulullah s.a.w supaya menyediakan (seekor binatang) kenderaan untuk membawanya. Lalu Baginda menjawab, “Aku akan membawa kamu di atas anak unta betina”. Lantas dia menjawab, “Apa yang boleh aku lakukan dengan anak unta betina (untuk membawaku)?” Baginda pun menjawab, “Bukankah unta-unta betina yang melahirkan unta-unta?”

Persoalan nabi Muhammad s.a.w. tentang “bukankah unta-unta betina yang melahirkan unta-unta?” adalah bertujuan bergurau dengan lelaki berkenaan. Bukan ini sahaja, banyak lagi contoh lain yang Rasulullah pernah bergurau dengan orang pendalaman, kanak-kanak, sahabat dan juga isterinya. Ibrah yang baik perlu diambil dan dicontohi untuk masyarakat pada hari ini dalam meneruskan kehidupan.

Indahnya Islam. Mematuhinya bukan susah jika hidup berlandaskan syariat. Bergurau yang harus hukumnya harus jangan sampai menjadi haram. Malah berpada-pada dalam bergurau, jangan keterlaluan, sebagaimana pesan Saidina Ali

“Berilah gurauan kepada percakapan kamu hanya sekadar seperti kamu berikan garam kepada makanan.”

Sepatutnya pihak industri tidak mengambil kesempatan dengan menjadikan orang ramai sebagai bahan gurauan terlampau, dengan tujuan meraih keuntungan semata-mata. Sepatutnya banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk menaikkan ‘rating’ sesebuah rancangan.

Budaya ini telah merosakkan minda dan jiwa-jiwa anak muda. Apakah sanggup melihat anak muda dan kanak-kanak mentertawakan orang tua yang menjadi bahan gurauan. Itu sangat tidak bertepatan dengan syarak dan akhlak. Wallahu a’lam Utv

Hukum prank dalam Islam

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Syamsul, lepaskan saya – Puteri Sarah

Mentega Terbang, Jakim diarah ambil tindakan – Menteri

Cubaan sabotaj kerajaan, Hadi Awang dikecam

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker