Dua kali minta tolong sebelum ‘senyap’

Dua kali minta tolong sebelum ‘senyap’

Lipis: “Kejadian berlaku begitu pantas, gajah jantan berkenaan muncul depan kami dan segera menerkam… kami segera lari.

“Dia (Andy Yok Manin) yang berada paling hampir dengan gajah terjatuh ketika berlari dalam kawasan semak, mungkin ketika itu gajah menikam belakangnya dengan gading,” kata Fairul Yok Tong, 22.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, Andy, 15, maut akibat diserang gajah jantan yang mengamuk ketika sedang mencari petai bersama abangnya, Borhan, 20-an dan Fairul di Kampung Tual B, Pos Senderut, di sini.

Menurut Fairul, ketika kejadian mereka sudah kira-kira tiga jam merayau dalam hutan untuk mencari petai, tetapi tidak menemuinya sebelum tiba-tiba muncul gajah setinggi kira-kira 3.6 meter.

Katanya, ketika gajah bertindak menyerang, mereka terpaksa berpecah untuk menyelamatkan diri dalam kawasan semak dalam hutan terbabit.

“Saya hanya mendengar dua kali Andy menjerit minta tolong, kemudian senyap… bunyi serangan sahaja yang kedengaran.

“Ketika itu saya sempat memanjat pokok bagi menyelamatkan diri. Selepas menyerang Andy, gajah berkenaan menghampiri pokok tempat saya berada. Kerana terlalu takut, saya terkencing terutama apabila haiwan terbabit mengangkat belalai ke arah saya.

“Saya berada di atas pokok kira-kira sejam dan sebaik gajah meninggalkan tempat itu, saya segera melihat Andy yang sudah tiada dan gajah berkenaan turut menutup sebahagian badan Andy dengan daun,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu tidak mungkin dapat dilupakan dalam hidupnya terutama selepas kehilangan rakan sekampung.

“Saya melihat kecederaan serius yang dialami Andy di bahagian dada selepas gajah bertindak menikam dengan gadingnya,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Normah Esa, 48, berkata, dia tidak menyangka kejadian buruk berlaku kepada anaknya.

“Anak saya berusaha mengumpul duit untuk membeli telefon bimbit kerana malam dia akan menunggu buah di kebun durian datuknya manakala siang pula masuk ke hutan mencari petai.

“Dia tidak pergi ke sekolah semata-mata untuk mengumpul duit, selepas musim durian dan petai dia berjanji akan meneruskan persekolahan,” katanya yang masih tidak dapat menahan kesedihan.

Katanya, dia berharap kejadian yang berlaku kepada anaknya tidak berulang dan usaha untuk menangkap gajah berkenaan perlu segera dilakukan segera.

Elak terserempak gajah cari makan

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menasihatkan penduduk Orang Asli di beberapa kampung di Pos Senderut, di sini, supaya sentiasa berwaspada terhadap ancaman gajah.

Ini berikutan kejadian seorang remaja Orang Asli, Andy Yok Manin, 15, maut akibat diserang haiwan liar berkenaan ketika sedang mencari petai bersama abang dan rakannya di Kampung Tual B, Pos Senderut, Isnin lalu.

Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi berkata, penduduk Orang Asli di kawasan berkenaan dinasihatkan tidak keluar malam bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, gajah aktif mencari makan pada waktu malam hingga ke pagi dan amat merbahaya sekiranya terserempak dengan haiwan terbabit kerana ia boleh bertindak agresif sekali gus mengancam nyawa.

Katanya, musim durian kini turut mengundang kehadiran gajah ke kawasan kampung Orang Asli bagi mencari raja buah itu di kebun milik penduduk kampung.

“Saya difahamkan kematian mangsa disebabkan mengalami kecederaan parah akibat ditusuk gading gajah pada belakang badan hingga tembus ke bahagian dada.

“Haiwan berkenaan mengamuk mungkin disebabkan merasakan dia diancam selepas dipercayai bergerak sendirian akibat terpisah daripada kumpulanya,” katanya selepas bertemu keluarga mangsa dan penduduk Kampung Tual A dan Kampung Tual B, Pos Senderut, di sini, kelmarin.

Menurutnya, pihaknya akan meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang untuk terus memantau dan mengambil tindakan menghalau haiwan terbabit lebih jauh bagi mengelak ia terus mengancam keselamatan penduduk.

“Penduduk diharap dapat memberi kerjasama dengan Perhilitan dengan segera melaporkan kepada agensi terbabit sekiranya mengetahui kehadiran gajah di kampung mereka.

“Saya bersimpati dengan keluarga remaja terbabit yang kehilangan seorang ahli keluarga mereka dalam kejadian amat tragis dan diharapkan kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Katanya, selepas kejadian menimpa remaja itu, penduduk beberapa kampung di Pos Senderut kini bimbang dan takut untuk keluar menoreh getah mahupun menunggu durian di kebun kerana bimbang kemunculan gajah lagi.

“Saya difahamkan gajah berkenaan sebelum ini turut memusnahkan kebun pisang penduduk Kampung Tual B dan beberapa kampung lain di Pos Senderut.

“Remaja suku Semai yang terkorban itu adalah kes kedua kematian Orang Asli yang diserang gajah di Pahang kerana sebelum ini seorang wanita dari Kampung Simoi Baru, Pos Betau dipijak gajah pada 7 Disember tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya sudah memulakan operasi mengesan dan menangkap gajak dipercayai menyebabkan kematian seorang remaja Orang Asli di Kampung Tual B, Pos Senderut, kelmarin.

“Penjejakan akan dibuat setiap hari berdasarkan kesan terbaru yang ditemukan kumpulan peninjau dan maklumat daripada penduduk.

“Jarak penjejakan dianggarkan antara 10 hingga 20 kilometer setiap hari bergantung kepada jejak yang ditinggalkan haiwan berkenaan,” katanya yang turut meninjau kawasan Kampung Tual B, Pos Senderut, semalam. HM

Dua kali minta tolong sebelum ‘senyap’

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Seleweng RM92.5 bilion dan makan komisyen 5 peratus, Ini komen Muhyiddin

Puteri Sarah nekad minta cerai, tidak rela dimadu

Isu Bikini: Ilmuan Turkiye Mustafa Akyol bidas kembali Mufti Perlis

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker