Taikun bidas bos Khazanah bohong, tak jual PLUS bodoh

Pengerusi eksekutif sebuah syarikat yang membuat tawaran mengambil alih PLUS Malaysia Sdn Bhd menyifatkan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Shahril Ridza Ridzuan ialah pembohong, beberapa jam selepas Putrajaya mengumumkan keputusan tidak menjual konsesi lebuh raya terpanjang di negara ini.

Abu Sahid Mohamed daripada Maju Holdings turut menyifatkan keputusan itu “bodoh” dan mempersoalkan kenapa ia tidak dimaklumkan kepadanya walaupun syarikatnya dipelawa untuk membuat tawaran.

“Saya tidak tahu kenapa mereka tidak mahu menjualnya. Mereka tidak beritahu saya kenapa mereka tidak mahu jual,” kata Abu Sahid kepada FMT.

Terdahulu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Kabinet memutuskan tidak menjual PLUS kepada sektor swasta dan ia kekal milik Khazanah yang mempunyai 51% kepentingan melalui UEM Group serta baki 49% dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).



Perdana menteri bagaimanapun berkata, kadar tol akan dikurangkan sebanyak 18% mulai tahun ini dan tiada kenaikan untuk 30 tahun.

Lebuhraya yang dikendalikan PLUS melebihi 800km, termasuk Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Jambatan Pulau Pinang.

Putrajaya sebelum ini berkata, ia akan mengkaji sebarang cadangan untuk mengambil alih kepentingan PLUS, jika ia memenuhi permintaan negara dan memanfaatkan pengguna jalan raya dengan menawarkan kadar tol rendah.

Selain Maju Holdings, 3 cadangan lain datang daripada Widad Business Group, RRJ Capital dan tawaran bersama oleh taikun Halim Saad serta Wong Gian Kui.



Pengumuman kerajaan hari ini menyusul 2 hari selepas Shahril dilaporkan berkata, Khazanah tidak pernah menawarkan penjualan PLUS dan menyifatkan tawaran pembida sebagai tawaran secara sendirian yang dikemukakan kepada kerajaan, tetapi bukan 2 pemegang sahamnya.

Abu Sahid berang dan mendakwa Shahril sebagai pembohong kerana Maju Holdings adalah pihak pertama yang menulis kepada Khazanah selepas dipelawa untuk membuat tawaran.

“Mereka perlu ingat saya dipelawa untuk membida, bukan seperti orang lain yang hanya masuk tanpa jemputan.

“Kenapa Shahril cakap macam itu? Dia ialah pembohong. Bagaimana mereka boleh kata saya tidak dipelawa dan mereka tidak tahu apa-apa mengenai tawaran kami? Kami tulis surat kepada mereka, kami orang pertama menulis surat kepada mereka.”



Shahril ketika dihubungi mempertahankan kenyataannya sebelum ini.

“Kami tidak pernah mengeluarkan sebarang jemputan untuk membida aset itu. Ia adalah tawaran tanpa diminta,” katanya kepada FMT.

‘Keputusan bodoh’

Sementara itu, Abu Sahid menyifatkan keputusan kerajaan mengekalkan PLUS sebagai “bodoh” dan Khazanah “mencuri wang”.



Beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Shahril.

Katanya, kos penurapan semula lebuh raya oleh syarikatnya hanya satu pertiga daripada kos Khazanah.

“Mereka membayar RM58 untuk menurap setiap meter persegi jalan. Saya bayar RM18.”

Dalam cadangan yang dipinda Oktober tahun lalu, Maju Holdings menawarkan RM34.9 bilion, termasuk hutang untuk membeli PLUS.



Syarikat itu berkata, ia mampu mengurangkan kadar tol 25% hingga 36% dan tidak meminta pampasan daripada kerajaan untuk pengurangan kadar tol itu.

Syarikat itu turut menyentuh pengurusan keberkesanan kos Maju Expressway (MEX).

“Malah, kami mempunyai satu daripada lebuh raya paling rendah kos bagi setiap km di negara ini. Oleh itu, kami yakin boleh mengurangkan kos penyelenggaraan PLUS.”

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker