Ramai ragu beli daging import

Pendedahan kegiatan kartel daging import yang diragui statusnya di negara ini mengakibatkan berlaku peningkatan terhadap jualan daging tempatan, manakala jualan daging import kurang mendapat sambutan.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Besar Alor Setar mendapati peniaga daging import mengalami kesan paling ketara apabila jualan mereka merosot hampir 50 peratus.

Peniaga, Mohd Farhan Che Ariffin, 32, berkata, jualan daging import berkurangan daripada 300 kilogram (kg) sehari kepada hanya 200kg hingga 180kg sehari sejak bulan lalu.

“Keluarga saya berniaga di pasar ini sejak 1997, ini kali pertama kami rasa kesan agak teruk tempias daripada pendedahan isu kartel daging import yang tidak bertanggungjawab.

“Selalunya semasa musim cuti sekolah dan kenduri, ramai pelanggan akan membeli daging import namun kali ini permintaan agak kurang.

“Pelanggan sebenarnya tak perlu bimbang kerana kami mendapat bekalan daging import daripada pemborong yang sah dan halal dari India,” katanya.

Peniaga lain, Mohd Fadli Mohd Rodhi, 35, berkata, jualan daging tempatan di gerainya meningkat kira-kira 20 peratus selepas isu kartel daging haram didedahkan.

“Jualan (daging tempatan) di gerai saya kira-kira 100kg saja seminggu sebelum ini, tapi sekarang naik sikit kepada 120kg seminggu.

“Jualan daging import pula berkurangan daripada 60kg kini hanya 30kg sahaja seminggu, saya harap keyakinan pengguna terhadap jualan daging import di negeri ini tidaklah terlalu serius. Lagipun, rata-rata peniaga mendapat bekalan daripada pembekal daging import yang berstatus halal dan tidak mempunyai masalah seperti di Johor,” katanya.

Peniaga daging di Pasar Moden Seksyen 16, Shah Alam, Meor Mohamed Hafzan Abu Bakar, 36, sejak kebelakangan itu, bukan sahaja pelanggan datang membeli daging tempatan, malah dia menerima kunjungan ramai pelanggan baharu termasuk golongan muda.

“Sejak isu (daging import haram) itu timbul, golongan muda juga beralih kepada membuat pembelian di pasar. Walaupun tiada peningkatan pembelian (daging tempatan) secara mendadak, sudah nampak pelanggan baharu, mungkin Februari atau Mac lebih ramai.

“Cuma saya amat berharap isu (status halal) daging import itu diuruskan dengan betul dari semua segi terutama penyembelihan dan pembungkusan.

“Bukan sahaja daging tempatan, malah daging import juga perlu sebab harga berbeza dua kali ganda, sebab bukan semua orang mampu beli daging tempatan,” katanya.

Keadaan berbeza berlaku di Terengganu apabila jualan daging import mahupun daging tempatan didakwa terjejas teruk susulan isu daging import haram yang berlaku di negara ini.

Peniaga di Pasar Bukit Besar, Kuala Terengganu, Mohamad Faiz Badruddin, 30, berkata, dia tidak pasti sampai bila perniagaan daging yang dijalankan di pasar itu mampu bertahan.

“Sekarang nak dapat RM1,000 sehari pun sukar berbanding sebelum ini, jumlah jualan harian sebanyak RM3,000 sehari.

“Tetapi, gara-gara isu daging import yang tular dan hangat diperkatakan mengenai status halal, permintaan daging juga terjejas teruk disebabkan pelanggan berasa ragu-ragu.

“Pelanggan juga bimbang untuk beli daging import kerana ada pihak mengeluarkan dakwaan kononnya daging import itu daging haiwan lain dan bukan daging lembu,” katanya.

Tinjauan di Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur pula mendapati rata-rata peniaga daging masih menjual daging import.

Bagi peniaga daging, Khairuddin Mohd Noor, 30, berkata, pelanggannya masih membeli daging import namun mereka rajin bertanya status halal terlebih dahulu sebelum memberikan penjelasan mendapatkannya daripada pembekal yang diiktiraf.

“Ada juga pelanggan meminta daging tempatan, tetapi tak sampai menjejaskan permintaan daging import.

“Harga daging tempatan dijual lebih mahal berbanding daging import. Harga daging import masih kekal sama iaitu sekitar RM20 satu kg berbanding daging tempatan sekitar RM30 ke atas bagi satu kg.

Selain itu, peniaga daging, Nazri Mohamed, 33, turut mengakui rata-rata peniaga di Pasar Chow Kit menjual daging import.

“Daging tempatan ada juga kami jual, tetapi selalunya pada Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya.-HM

Pemuda UMNO buat laporan polis isu kartel daging haram

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker