Usah jadi makhluk perosak

Usah jadi makhluk perosak

Oleh Dr Zuraimy Ali

Alam ciptaan Tuhan adalah amanah untuk dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Sebahagian alam ini memberikan banyak kebaikan buat manusia.

Dalam al-Quran, Allah SWT banyak menyebut mengenai kejadian sungai, bukit-bukau, gunung-ganang, lautan dan daratan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.

Semua ini hakikatnya adalah sebahagian kurniaan nikmat Tuhan kepada hamba-Nya.

Antara ayat al-Quran yang menyebut mengenai kurniaan alam bagi manusia ialah ayat yang berbunyi: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 29)

Namun, kejadian alam ciptaan Tuhan yang disediakan buat manusia di bumi ini sering diabaikan. Bahkan munculnya kemusnahan alam berpunca daripada tangan manusia. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Rum, ayat 41)

Allah SWT yang Maha Pencipta alam ini telah memerintahkan manusia untuk memakmurkan bumi ini dengan baik dan rapi sebagaimana yang diamanahkan Allah SWT terhadap hamba-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dia lah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya.”(Surah Hud, ayat 61)

Jika diteliti kepada ayat al-Quran begitu jelas dan banyaknya ayat-ayat yang melarang manusia daripada melakukan kerosakan di atas muka bumi Allah. Antaranya Allah SWT berfirman bermaksud “Makanlah dan minumlah kamu daripada rezeki Allah itu dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi.” (Surah al-Baqarah, ayat 60)

Allah SWT juga menegaskan kepada manusia bahawa Dia sangat benci terhadap manusia yang menjadi makhluk perosak di atas bumi milik-Nya sebagaimana dijelaskan melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al- Maaidah, ayat 64)

Kejadian banjir besar yang melanda negara menyebabkan banyak kemusnahan harta benda dan nyawa berpunca daripada kerakusan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.

Sebahagian alam ciptaan Tuhan seperti bukit bukau dan tumbuh-tumbuhan dimusnahkan dan dibiarkan tanpa apa-apa langkah perlindungan yang sepatutnya diambil tindakan sewajarnya.

Penguatkuasaan yang lemah terhadap tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan mereka kebal dan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Justeru, mari kita bersama-sama membanteras kegiatan yang tidak beramanah terhadap alam ciptaan Tuhan kerana sesungguhnya setiap kita tidak boleh membiarkan orang-orang yang sombong ini dengan rakusnya menghancurkan bumi tempat kediaman buat kita semua. Dan kepada golongan yang sombong dan angkuh serta tidak beramanah dalam memelihara alam sekitar, ingat bahawa perbuatan itu dilarang dalam al-Quran sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”(Surah Luqman, ayat 18)

Mari kita rakyat Malaysia bangun untuk bersama membina kebahagiaan dalam kehidupan kita. Perbuatan merosakkan alam sekitar ini sememangnya akan memberikan kesan buruk terhadap harta dan ketenteraman hidup kita.

Musibah ini boleh dielakkan jika setiap kita mengambil peranan dan tanggungjawab dalam memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara baik.

Kemakmuran bumi ini bermula dengan sikap amanah dan tanggungjawab kita bersama. HM

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis

Usah jadi makhluk perosak


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan siasat perbelanjaan RM600 billion Muhyiddin Yassin

Myvi RM25,000: Magik Rafizi ‘Si Raja Formula’ yang ditunggu-tunggu rakyat

Ogy bakal berkahwin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker